Sunday, June 11, 2017

Panopticon

Pada waktu malam, seorang perompak sedang berjalan ke arah rumah yang menjadi tumpuannya sejak minggu lalu. Dia hanya seorang. Keadaan sekeliling juga gelap, seakan-akan tiada manusia lain. Hanya kedengaran bunyi cengkerik dan tikus yang berkeliaran. Dengan profesional, dia memanjat pagar rumah tanpa kedengaran sebarang bunyi. "Menyerah!" Kedengaran jeritan pasukan polis yang sedang memantau setelah sekian lama. "Bam!" Sepandai-pandai perompak melompat, akhirnya jatuh ke lantai juga...

Perompak tersebut tidak menyedari pengawasan pihak polis terhadap dirinya. Jika dia tahu, pasti dia akan membatalkan niat merompak pada hari itu.

Bagaimana pula jika timbul perasaan diperhatikan ketika tiada siapa di situ? Pasti dia juga akan bertindak meninggalkan rumah itu tanpa melakukan kejahatan. Walaupun dia jahat, namun rugi bukan?

Inilah konsep yang diterangkan melalui model Panopticon oleh Jeremy Bentham. Pada zaman dahulu, mereka ingin melahirkan masyarakat berdisiplin melalui pengawalan fizikal tanpa penyeksaan.
Kredit: https://foucault.info/doc/documents/disciplineandpunish/foucault-disciplineandpunish-panopticism-html

Panopticon dibayangkan seperti sel-sel penjara di sekeliling sebuah menara tinggi. Cermin menara tersebut hanya membenarkan orang di dalamnya melihat tanpa disedari oleh orang di luar, seperti 'tinted.' Dengan kata lain, hanya pengawal yang boleh melihat tanpa disedari oleh banduan. Situasi ini menyebabkan banduan berkelakuan baik kerana mereka merasakan bahawa mereka sentiasa dilihat. Hakikatnya, pengawal boleh meninggalkan menara itu pada bila-bila masa. Oleh itu, banduan itu seperti menjadi pengawal kepada diri sendiri tanpa kehadiran pengawal sebenar.

Tatkala belajar tentang konsep ini di dalam kelas Sains dan Teknologi dalam Budaya Amerika, saya teringat tentang konsep Ihsan dalam hadith kedua daripada koleksi Hadith 40 Imam An-Nawawi:

"... Ihsan itu beribadah kepada Allah seperti kamu melihatNya. Sekiranya kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu..."

Kita perlu sedar bahawa kita sentiasa diawasi. Bukanlah mahu menyamakan kita seperti banduan, tetapi kita hanyalah hamba Allah yang Maha Melihat. Berlaku ihsan dapat mengelakkan kita daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam. Bayangkan, jika perlakuan buruk kita diketahui orang, buruk padahnya. Apatah lagi apabila Allah mengetahuinya!

Pernah saya mendengar kisah seorang guru menyuruh anak muridnya menyembelih ayam di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa. Maka, bertebaranlah mereka ke belakang pokok, dalam perigi, dan sebagainya. Namun, salah seorang muridnya tidak berjaya menyembelih ayam tersebut. Apabila ditanya, beliau menjawab bahawa tiada tempat yang tidak dilihat oleh Allah. Betapa sedarnya murid tersebut bahawa Allah Maha Melihat!

Para pengawal dalam Panopticon mungkin akan pergi pada bila-bila masa. Andai ada banduan yang sangat cerdik sehingga dapat menjangka masa yang tepat apabila pengawal tidak melihat, pasti dia dapat juga melarikan diri. Para pengawal tersebut perlu ditukar supaya dapat berehat dan tidur. Berbeza dengan Panopticon, Allah tidak pernah lalai dalam mengawasi kita sebagaimana dalam Ayat Kursi:

"Allah... Dia tidak mengantuk dan tidak tidur..." (Al-Baqarah: 255)

Sememangnya Allah Maha Mengetahui segalanya, sehinggakan sebutir pasir yang bergerak pun Allah tahu. Maka, bagaimana pula kita mahu bertindak seperti tiada orang yang melihat kita?
Kita takkan dapat lari dari CCTV Allah!

Ada orang yang tak dapat merasakan pengawasan Allah. "Tak apa, orang lain tak nampak..." Tetapi, bagaimana kita boleh begitu pasti orang lain tidak nampak? Tahukah anda, perlakuan buruk yang tidak diketahui orang itu disembunyikan Allah? Walaupun tidak diketahui orang, Allah Maha Berkuasa untuk mendedahkannya kepada masyarakat.

Mungkin pada masa itulah, Allah mengambil nyawa kita tanpa sempat kita memadamkan atau mengubah perlakuan itu.
Mungkin, Allah mendatangkan ujian yang memaksa orang lain menyiasat perbuatan itu.
Mungkin juga, Allah sengaja membiarkan kita bergelumang dengan dosa seperti Istidraj (mendapat nikmat yang banyak tetapi ingkar Allah, supaya tidak bertaubat).
Semoga kita dihindarkan daripada situasi-situasi ini.

Apabila aib kita ditutup oleh Allah, bersyukurlah dan bertaubatlah. Allah masih memberikan kita masa untuk mengubah diri. Adakalanya seseorang kelihatan baik dan warak, namun hakikatnya Allah lah yang menutup aibnya.

Sememangnya, kita hanyalah hamba Allah. Allah Maha Melihat, lebih hebat daripada Panopticon. Mengapa mahu melakukan kemungkaran dan perkara sia-sia apabila dilihat Allah?