Saturday, June 6, 2026

Dengan Nama

Ahmad cuba dapatkan pasu bunga di atas tembok. Sikit lagi.

Berjaya!

Ah, terseret pula jari di dinding. Luka jari sebab kena dinding.

Ahmad cuba pula menarik rumput yang sudah menjadi pokok. Potong dulu bahagian atas, senang sikit nak tarik.

Berpusing-pusing kayu itu dibuatnya. Nampak berlubang dah tanah di situ. Dengan sekuat hati, ahmad tarik batang yang boleh menjadi parasit kepada jirannya.

Berjaya!

Tapi, tapak tangan pula terkena batu kecil di lantai simen. Luka tapak tangan sebab terkena lantai.

Bila fikir balik, macam kelakar pula tangan berdarah sebab terkena dinding, terkena lantai. Selalunya orang luka terkena pisau ataupun duri.

"Itulah, lain kali baca Bismillah," kata seseorang di sebelah Ahmad.

"Hmm... Dah terbiasa sangat. Bismillah pun terlupa, alhamdulillah pun selalu terlupa."

Kadang-kadang (mungkin selalu juga) kita terlupa dengan perkara yang dianggap remeh. Seperti membaca Bismillahirrahmanirrahim, yang hanya mengambil masa lebih kurang satu saat. Tak susah pun.

Tahukah anda, ada satu ayat yang lebih hebat. Ringan di mulut, tetapi berat di timbangan. Timbangan apa? Timbangan di akhirat, yang menentukan kehidupan kita yang kekal abadi!


حَدَّثَنِي أَحْمَدُ بْنُ إِشْكَابٍ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْلٍ، عَنْ عُمَارَةَ بْنِ الْقَعْقَاعِ، عَنْ أَبِي زُرْعَةَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ، خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ، ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ ‏"‏ ‏.‏

Narrated Abu Huraira: The Prophet (ﷺ) said, "(There are) two words which are dear to the Beneficent (Allah) and very light (easy) for the tongue (to say), but very heavy in weight in the balance. They are: ''Subhan Allah wa-bi hamdihi'' and ''Subhan Allah Al-`Azim."
(see Hadith 6682).

Sahih al-Bukhari 7563
https://sunnah.com/bukhari:7563


Output

Pernah aku terfikir, apa beza pelajar luar negara dan dalam negara? Lebih-lebih lagi apabila pelajar luar negara hanya bergaul dengan rakan-rakan dari negara yang sama.

Memang ada bezanya, pensyarah berbeza, suasana berbeza. Tetapi, aku rasa ada kepentingan untuk berkongsi apa yang dialami di luar negara. Kita sudah ada pengalaman yang penuh dengan pengajaran. Kenapa mahu disimpan? Kalau disimpan pula, nanti dilupakan. 

Ataupun meletup otak sebab tak ada output 🤔
Input - output + generation - consumption = accumulation

Ramadan ini, aku ada target sendiri (alang-alang cuti). Aku fokus kepada mendengar perkongsian-perkongsian tentang Islam juga penulisan, melalui kursus dan kelas berbayar serta YouTube seperti Yaqeen Institute dan BayyinahTV.

Kemudian berkongsi pula di media sosial. Ikutlah, mahu gunakan Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan lain-lain. Aku gunakan Instagram untuk berkongsi pengajaran tadabbur My#QuranTime melalui ilustrasi, kemudian pengajaran dari video Yaqeen Institute di Twitter sebab videonya pendek-pendek, dalam kurang dari 10 minit.

Setakat ini, alhamdulillah masih konsisten.

Dalam kursus penulisan, banyak panel yang menyebut bahawa seorang penulis perlu membaca, membaca, membaca kemudian baru menulis. Satu pengajaran dari ungkapan ini adalah pentingnya membaca untuk menulis. Tetapi, kalau hanya membaca, tiada penulisan, bagaimana mahu memberi manfaat kembali kepada masyarakat? Boleh jadi juga melalui ucapan-ucapan, lukisan dan sebagainya.

Setiap orang ada ceritanya sendiri, dan cerita itu unik. Setiap orang ada idea, walaupun hanya dari cerita orang lain.

Yang penting, menulis, atau apa-apa mekanisme output, harus beriringan dengan wawasan supaya gerak kerja lebih tersusun dan bermanfaat. Nak untung boleh, tetapi hanya dapat untung lah kalau hanya itu niatnya. Salah satu perkara yang boleh menjadi amal berterusan ialah ilmu yang bermanfaat, maka penulisan itu boleh menjadi amal kita yang infiniti! Selagi manusia masih ada, selagi dunia belum kiamat. Contohnya, karya-karya sejarah yang sudah berdekad masih dirujuk walaupun penulis sudah lama meninggal dunia.

Wawasanku, untuk menunjukkan Islam itu cara hidup yang bermakna, boleh diamalkan oleh semua.

- Written in 2021

Bersepah Tapi Tersusun

Semasa kita masih kecil, pemandangan bintang-bintang di langit sangat mendamaikan dan menakjubkan. Lebih-lebih lagi apabila tiada awan-awan gelap dan kelabu yang menghalang cahaya-cahaya kecil itu dari terus bersinar. Ditambah dengan cuaca sejuk pada waktu malam. Seronok! 

Bintang-bintang yang berkerlipan ibarat berlian bertaburan di langit yang gelap gelita. Sekali imbas, susunannya seperti rawak, tiada apa-apa corak kecuali beberapa yang kadangkala hanya imaginasi semata-mata. Ada bintang di situ, di sana, kiri, kanan, atas, bawah. Berterabur, namun tetap kelihatan cantik seperti kertas pembalut hadiah yang penuh dengan corak yang juga kelihatan rawak.

Saat kini, kita yang sudah dewasa ini juga masih mengkagumi kejadian alam ini, menikmati keindahannya juga suasana malam yang tenang. Bezanya, kita tahu bintang-bintang itu berada di lokasi yang tetap menurut pandangan kita selama kita hidup. Maka, boleh dikatakan itu bintang kejora, itu gugusan bintang biduk, itu buruj pemburu dan sebagainya. Tambahan lagi, boleh pula kita tahu arah sesuatu tempat hanya berpandukan bintang!

Dahulu berterabur, kini menjadi panduan pula. Padahal, pandangan yang sama. Akal yang semakin berkembang.

Pernahkah kita terfikir, al-Quran itu kelihatan berterabur juga? Ada kisah-kisah nabi di surah-surah yang lain walaupun nabi yang sama. Ada perintah tentang perkara yang sama di tempat yang berbeza. Tak perlu surah panjang, surah pendek pun ada yang seperti berubah topik di tengah-tengah penceritaan. Boleh ambil contoh surah al-Adiyat. 

Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya, serta mencetuskan api dari telapak kakinya, dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh, sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh; Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian; Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka - pada hari itu.

Mula-mula, Allah ceritakan tentang kuda perang. Tiba-tiba semasa klimaks, apabila kuda itu menggempur, terus bertukar kepada peringatan supaya bersyukur. Apakah?

Seperti bintang-bintang, ayat-ayat al-Quran juga terusun dalam caranya yang tersendiri. Bahkan, cara ini sangat unik dan hebat sehingga tiada manusia yang menulis sebegini. Betapa hebatnya ilmu Allah, betapa istimewanya mukjizat Rasulullah s.a.w. ini!

Seperti bintang-bintang juga, al-Quran juga merupakan panduan. Panduan bagi kita untuk bersedia bertemu Allah, panduan untuk kita menjalani hidup ini dengan cara yang diredhaiNya. Susunan ayat-ayat itu sebenarnya merupakan susunan yang sempurna untuk kita amalkan dalam hidup, untuk memahaminya dengan cara yang berkesan.

Namun, seperti bintang-bintang juga, kita perlu ada usaha untuk mempelajarinya. Lebih-lebih lagi bahasa Arab bukan bahasa ibunda kita. Memahaminya satu keperluan, mengamalkannya juga penting. Membaca terjemahan itu boleh, namun untuk lebih menghayati memerlukan ilmu gaya bahasa Arab serta situasi dan amalan orang Arab pada zaman dahulu. Usaha itu penting supaya kita nampak apa yang sebenarnya Allah ingin sampaikan. Supaya kita nampak bagaimana indahnya ayat-ayat itu, laksana bintang-bintang di langit yang bergemerlapan. Supaya al-Quran menerangi hati kita, laksana bintang-bintang yang menerangi malam yang gelap.

Demi bintang semasa ia menjunam. Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (An-Najm, 53:1-4)

Al-Quran itu ibarat bintang. Menerangi malam yang gelap, memandu manusia ke jalan yang benar.


Rujukan: Nouman Ali Khan

Friday, January 14, 2022

Belajar disuap?

Ada yang mempertikaikan mengapa mahu belajar subjek-subjek tertentu yang tiada kaitan pun dengan minat atau target bidang pekerjaan. Belajar subjek Calculus, tapi akan mengambil jurusan berkaitan Sejarah contohnya. Adakah itu dikira membuang masa?

Mungkin saya ada sedikit bias kerana saya belajar di salah satu universiti di Amerika Syarikat yang sistemnya sudah tentu berlainan dari di Malaysia. Namun, penulisan ini juga diinspirasikan dari perbualan bersama seorang yang belajar di institusi pendidikan tinggi Malaysia. 

Apa yang menarik tentang sistem pendidikan tertiari di Amerika Syarikat? Perkara yang paling saya rasa bertuah adalah fleksibiliti dalam mengambil subjek-subjek tertentu di luar bidang utama. Pihak universiti ada menetapkan jenis subjek-subjek yang perlu diambil, tetapi kebanyakan syarat tersebut boleh dipenuhi dengan memilih satu antara berpuluh-puluh subjek. Contohnya, bagi pelajar kejuruteraan, salah satu topik umum yang perlu diambil ialah sejarah. Ada baaaaanyak subjek yang memenuhi syarat itu, seperti sejarah dunia, negara tertentu, mahupun sejarah teknologi dan agam tertentu. Saya sendiri pernah mengambil sejarah Uthmaniyyah yang sangat menarik dan dekat sebagai seorang Muslim. Walaupun tenaga pengajarnya bukan seorang Muslim, bagi saya beliau tetap cuba bersikap neutral kerana dalam topik itu juga, ada berkisar tentang penganut Kristian dan Yahudi. Selain itu, saya juga sebagai pelajar kejuruteraan ada mengambil subjek ekonomi, sosiologi, Adobe Photoshop dan Illustrator, dan lain-lain lagi. Semuanya dipilih kerana minat untuk menuntut ilmu. Alhamdulillah, semuanya bermanfaat dalam meluaskan lagi perspektif pemikiran dan boleh juga diaplikasikan sama ada dalam kerjaya ataupun kehidupan bersama masyarakat secara umum.

Salah seorang rakan sekelas saya pernah mengadu kepada professor kerana kelas tersebut terlalu sukar (memang semua pelajar, termasuk pelajar tahun sebelumnya merasakan perkara yang sama), dan perkara itu diakui oleh professor. Apa yang menarik minat saya ialah kegusarannya dalam kehilangan fokus menuntut ilmu kerana sebaliknya terlalu fokus untuk mendapat markah yang baik dalam peperiksaan supaya purata nilai gred tidak terlalu rendah. Selalunya, apa yang saya dengar adalah untuk mendapat gred yang terbaik sahaja. Mungkin pelajar ini memiliki semangat belajar yang tinggi, kerana memang selalu saya dengar tentang pelajar yang hanya memilih untuk mengambil subjek yang mudah mendapat A tanpa kerja yang banyak. 

Berdasarkan perbincangan saya dengan yang pernah menuntut di insititusi di Malaysia, beliau berpendapat bahawa kebanyakan sistem di Malaysia hanya fokus untuk mendapat gred yang baik bagi subjek tertentu. Banyak peperiksaan yang dibuat mudah dan hanya berpandukan nota yang diberi di dalam kelas tanpa aplikasi dalam kehidupan sebenar. Kalau peperiksaan dibuat terlalu susah (juga luar dari nota kelas), ramai yang akan mengadu dan gagal peperiksaan. Hal ini akan memburukkan nama pengajar atau institusi tersebut. Namun, apabila peperiksaan hanya sekadar menghafal, bagaimana pelajar mahu mengaplikasikan perkara tersebut dalam kehidupan sebenar dan kerjaya nanti? Apabila ditemuduga, ada pelajar yang cemerlang dalam akademik, tetapi tidak boleh melakukan kerja yang perlu dilakukan nanti kerana tiada dalam nota. Bagaimana mahu meningkatkan taraf intelektual dan produktiviti negara kita yang keadaan sebenarnya sentiasa berubah?

Hakikatnya, ilmu perlu dipelajari sentiasa. Kerana ilmu itu tak akan habis dipelajari.

Walaupun hanya ilmu al-Quran. Lihatlah, betapa banyak buku tafsir yang telah ditulis, sudah berjilid-jilid tetapi masih belum habis diteroka isinya. Ada sahaja pengajaran baru yang boleh diambil, lebih-lebih lagi seiring dengan peredaran masa.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan". (18:109)

Ini merupakan antara ayat kesukaan saya, dan ada beberapa lagi ayat yang hampir membawa maksud yang sama (mungkin juga ada keunikan tersendiri kerana Allah tidak akan mengulang tanpa sebab).

Cuba kita fikir, berapa besar lautan itu? Adakah semua dakwat ilmu yang manusia tahu tidak cukup dengan dakwat sebanyak lautan?

Bagi saya, setelah tamat belajar, mungkin tiada kelas formal yang diambil. Namun, itulah masanya untuk mengaitkan pelajaran yang mungkin disuap dengan realiti kehidupan. Hatta ketika menyambung pendidikan pasca siswazah pun, ramai yang mengatakan betapa seseorang merasakan banyak lagi ilmu yang belum dipelajari atau diketahui apabila lebih banyak yang dia pelajari. Dan pada masa ini, tiada lagi peperiksaan yang menentukan gred kita di akhir semester atau penggal. Yang penting, ilmu itu bermanfaat.

Saya ada menyertai sesi bersama Dr Alizi Alias, ahli psikologi organisasi. Dalam psikologi, 'growth mindset' atau pemikiran yang berkembang mempunyai pemikiran yang suka terhadap proses dan tak semestinya hasil. Matlamat yang ingin dicapai adalah belajar, untuk membina kompetensi dan seterusnya terlatih dalam sesuatu bidang itu. Berbanding 'fixed mindset', 'growth mindset' selalunya lebih membawa kepada kesejahteraan kerana proses itu dilalui dengan seronok tanpa berasa terlalu tertekan hanya kerana hasilnya. Dengan 'growth mindset', seseorang akan berani untuk memperbaiki diri apabila gagal, dan tak cepat berputus asa kerana sedar itu adalah proses pembelajaran, bukannya untuk membuktikan kebolehan diri semata-mata. Apabila ditimpa masalah, strategi lain lebih mudah diaplikasikan. Contohnya, kisah Nabi Musa a.s. dengan seorang yang soleh dalam Surah Al-Kahfi menunjukkan 'growth mindset' baginda yang sudi ditegur untuk belajar, dan proses itulah sebenarnya yang membawa manfaat kepada dirinya. 

Sama juga seperti belajar dalam sistem pendidikan formal. Kalau hanya difokuskan kepada gred SPM, PNG dan sebagainya, memang boleh penat dan hanya akan dapat itu sahaja. Sebaliknya, proses pelajaran itu sendiri boleh meningkatkan skil berfikir secara berkesan, mengurus masa dan urusan, selain subjek akademik itu sendiri. 

Lain subjek, lain cara berfikirnya. Saya (rasanya) merupakan seorang yang analitikal dan selalunya berfikir secara saintifik dan konkrit. Bukti yang jelas perlu ada untuk merumuskan satu-satu hal. Sebaliknya, jurusan sains sosial selalunya menerapkan cara berfikir yang lebih abstrak, kerana fikiran dan perbuatan manusia itu kompleks dan sangat mudah berubah. Skil-skil 'lembut' ini diterapkan bukan melalui nota kelas, tetapi proses itu sendiri.

Untuk mengaitkannya kembali dengan perkongsian pengalaman yang disebut pada awal penulisan ini, kami didedahkan kepada pelbagai cara berfikir melalui pelbagai subjek yang dipelajari lebih kurang pada masa yang sama. Walaupun mungkin kita tak mampu menjadi pakar dalam bidang yang hanya dipelajari satu semester, kita akan lebih faham dengan pemikiran yang pakar dan seterusnya meluaskan pandangan dan memudahkan kita berkomunikasi dengan mereka.

Disuap itu mungkin bermaksud penilaian hanya bulat-bulat (kenapa bulat ya?) berdasarkan nota dalam kelas. Namun, kita sepatutnya lebih menghargai proses pendidikan itu sendiri serta meluaskan horizon dalam mendalami ilmu yang tak akan pernah habis.

Tuesday, August 10, 2021

Tokyo 2020 pada 2021

Dua hari lepas Olimpik Tokyo 2020 baru sahaja melabuhkan tirai, yang ditangguhkan selama hampir setahun kerana pandemik COVID-19. Seingat saya sebelum ini, saya jarang mengikuti sepenuhnya acara sukan ini. Alhamdulillah, tahun ini saya berpeluang menonton acara-acara yang disertai atlet Malaysia, khususnya Badminton dan Track Cycling. Secara jujurnya, ada banyak pengajaran yang dapat saya simpulkan sepanjang program ini berlangsung, dari pihak atlet sehingga ke netizen.

Antara acara yang terawal dipertandingkan ialah Badminton. Malaysia memang mensasarkan pingat dalam acara yang pernah mengharumkan nama negara menerusi bekas pemain Badminton Nombor 1 Dunia ini. Walaupun Lee Zii Jia baru berusia 23 tahun, beliau diberi tanggungjawab membawa bendera Malaysia dalam upacara pembukaan, menunjukkan betapa tingginya harapan negara kepadanya. Semangat beliau membakar sehingga berlawan dengan Chen Long. Game pertama dimenangi Lee Zii Jia, manakala yang kedua dimenangi tipis oleh Chen Long, dan seterusnya Chen Long menguasai. Rakyat Malaysia secara umumnya memberi semangat dan berterima kasih dengan beliau yang menunjukkan semangat yang kuat. 

Namun, berbeza beberapa hari sebelum itu apabila pemain beregu campuran Malaysia dikritik kerana tidak berjaya melepasi saringan awal dalam kumpulan, walaupun berjaya mendapat pingat perak dalam Olimpik Rio 2016. Lee Chong Wei sendiri juga ada menegur dan meluahkan kekecewaannya, kerana siapa yang ingin kalah dalam bertanding. Mungkin mereka terlalu tertekan, mungkin mereka tak dapat berlatih dengan baik kerana pandemik. Pandelela Rinong yang pernah mendapat pingat dalam Olimpik Rio juga tidak berjaya mengulangi kejayaan pada tahun ini. Tapi jangan kita lupa pengorbanan mereka, bukan mereka saja-saja ke Tokyo. Terpaksa dikuarantin berkali-kali, dan tiada pula peluang berjalan-jalan di sana. Pengajaran daripada peristiwa ini, kekal sokong atlet negara kita kerana mereka berkorban untuk menaikkan nama negara.

Dhabitah juga menyatakan bahawa tekanan itu memang memberi kesan, dan beliau sebaliknya berfikir bahawa itu adalah ibarat latihan biasa. Begitu juga dengan Azizulhasni, yang menjawab soalan netizen tentang kesibukan dalam latihan. Mereka meluangkan masa bergurau senda dan bersembang apabila tak berlatih, supaya dapat mengurangkan tekanan menggalas harapan negara. Namun, dapat dilihat juga beliau sedikit kecewa tidak dapat mendapat pingat emas pertama untuk negara, sehingga pelbaga perasaan terluah semasa temubual selepas penyampaian pingat. 

Saya seperti dapat mengaitkan dengan pengalaman diri sendiri, yang pernah menjadi harapan sekolah (harapan sekolah sahaja haha). Tekanan sebelum acara itu tak dirasai, mungkin kerana saya hanya fokus untuk membuat yang terbaik. Saya juga ada impian untuk mendapat tempat terbaik di seluruh negara, untuk menjamin masa depan yang lebih baik. Namun, selepas keputusan keluar, saya tak mencapai yang terbaik walaupun keputusan itu terbaik (macam target emas tapi dapat perak), sekaligus meruntuhkan harapan menjadi yang terbaik seluruh negara. Para guru juga bunyi seperti kecewa. Rakan-rakan juga seperti tak sangka. Rasanya itu seperti saat paling kecewa, walaupun keputusan itu boleh dikira sangat baik bagi orang lain dan saya masih berusaha untuk bersyukur.

Satu lagi tarikan dalam acara sukan pada tahun ini ialah isu aurat dan akhlak. Ada beberapa atlet yang berhijab walaupun dalam acara pecut, ada juga atlet gimnastik negara lain yang memilih pakaian yang menutup sehingga hampir ke buku lali (bukan hanya atas peha), ada pula pemain badminton Indonesia yang menutup sehingga ke bawah lutut walaupun berseluar pendek (memang antara pemain terbaik dunia). Ada juga beberapa atlet Malaysia berhijab dalam acara menembak dan perahu layar. Saya percaya keazaman mereka untuk menutup aurat walaupun semasa bersukan dapat menunjukkan bahawa Islam itu praktikal dan tak rigid. Azizulhasni dan Shah Firdaus juga menunjukkan akhlak yang bagus apabila bersalam (atau cara lain) selepas bertanding dalam acara sprint. Mereka tidak mahu persengketaan antara pemain, juga netizen yang pada mulanya menyerang akaun pemain yang terlanggar Shah Firdaus. Azizulhasni juga mengajak untuk mengangkat juara Keirin, Jason Kenny, sebagai tanda menghormati beliau. Semangat kesukanan yang tinggi boleh menjadi contoh kepada orang lain tentang tingginya akhlak Islam. Yang menang merendah diri, yang kalah usaha lagi.

Berbicara tentang Shah Firdaus, kemalangan yang berlaku dan semangatnya untuk terus berjuang menjadi inspirasi rakyat Malaysia untuk tak berputus asa. Beliau sakit tulang rusuk sehingga disangka patah, dan disarankan untuk tak meneruskan saingan kalau masih sakit. Namun, semangat yang ada mengatasi kesakitan. Beliau berjaya ke peringkat suku akhir walaupun sebelumnya kemalangan sehingga terkoyak kulit di bahu dan peha. Walaupun hanya tamat pada suku akhir, mungkin kerana masih sakit, namun semangatnya menawan hati rakyat Malaysia yang terus menyokong. Dahulu juga, Azizulhasni pernah kemalangan sehingga kayu tertusuk menembusi betis, tetapi beliau tetap terus berusaha untuk berjuang dalam sukan berbasikal. Kadang-kadang, semangat kita untuk mencapai satu impian itu melebihi kesakitan yang dihadapi, lebih-lebih lagi kita perlu ada untuk mendapat syurga dan redha Allah.

Banyak lagi pengajaran yang boleh diambil dari acara sukan kali ini. Sukan bukan hanya hiburan, tapi boleh menjadi medan dakwah. Semoga kita dapat mengambil iktibar dan mengaplikasikan dalam kehidupan, supaya kita dapat berhijrah kepada yang lebih baik.

Malaysia Boleh!

*Contoh novel yang mempromosikan sukan sebagai dakwah ialah Gelombang Baru atau VT karya Hilal Asyraf. Boleh cuba baca :)

Wednesday, March 31, 2021

Tudung dan Usrah

Anda bertudung? Apa persepsi anda terhadap perempuan tak bertudung?

Dulu, aku ada persepsi yang perempuan tak bertudung ini pasti tak berminat dengan Islam. Islam sekadar pada nama. Islam hanya dalam kad pengenalan. Tapi aku ditemukan dengan pelbagai manusia.

Ada yang naik bas hari ini, tiba-tiba nampak dah tak bertudung. Padahal minggu lepas baru jumpa dalam keadaan bertudung. Namun, ada juga yang memilih untuk bertudung kembali. Alhamdulillah.

Ada yang dulu ikuti usrah. Usrah yang secara sukarela. Maka, dia ada minat untuk mendalami Islam atau ingin menjadi lebih baik. Bukanlah seorang yang langsung tak berminat dengan Islam. 

Ada juga yang pernah beberapa kali menyertai usrah yang dijalankan di rumahnya. Maka, dia bukan seorang yang menolak orang yang "islamik".

Ada yang memilih untuk tak bertudung, tetapi masih menyertai usrah mingguan kami. Dia tak menolak kepentingan bertudung. Dia tetap solat berjemaah bersama.

Pengalaman ini mengubah persepsi terhadap yang tak bertudung. Mereka mungkin ada masalah dalaman atau luaran yang tak selesai. Bukanlah semua menolak menjadi Muslim yang lebih baik. Bukan semua yang menjauhi gerakan-gerakan Islam. 

Maka, kita perlu mendekati mereka. Memahami masalah mereka. Memberi kekuatan kepada mereka. 

Nasihat ini untuk aku juga. 

Perkara yang susah untuk dibincangkan.

Tapi penting.

Sebelum segalanya terlewat.


Semoga mereka semua diberi kemudahan dan kekuatan untuk mendekatiMu, tanpa berputus asa dengan rahmatMu.

Friday, February 12, 2021

Hebatnya Burung Itu!

Hari minggu. Suasana di kedai haiwan itu lengang. Mungkin kerana cuaca yang mendung seperti akan berlakunya ribut petir. Cuma ada satu keluarga sedang melihat-lihat burung-burung di dalam sangkar. 

"Ayah, burung itu cantiklah! Boleh tak ayah belikan untuk Amir?" Kedengaran si anak menjerit teruja, memandangkan tiada bunyi lain.

"Boleh, apa salahnya. Cuma Amir janji dengan ayah, jaga burung itu elok-elok. Makanan, air, kebersihan sangkar, semua kena ambil berat. Kita tak mahu bunuh burung. Burung pun makhluk Allah."



Lalu bermulalah kehidupan baru Amir bersama burung yang sangat cantik tersebut. Saat Amir sampai di rumah, dia terfikir satu nama yang sangat sesuai: Kakak Muda.

"Kenapa namanya burung Kakak Tua? Burung ini masih cantik dan berwarna-warni! Amir nak namakannya Kakak Muda lah."

Kakak Muda ditempatkan di dalam sangkar di bahagian beranda rumah mereka. Setiap hari sebelum pergi dan selepas kembali dari sekolah, Amir tidak lupa memberi makan Kakak Muda. Pada hari minggu pula, dia meluangkan masa untuk membersihkan sangkarnya.

Walau bagaimanapun, Kakak Muda seperti tidak tenteram di situ. Setiap hari, kedengaran bunyi bising yang dibuat olehnya. Jiran-jiran pun mula berasa tidak senang dengan kehadiran Kakak Muda.

"Surah Al-Fatihah merupakan surah yang paling utama di dalam al-Quran. Ramai yang memulakan doa dengan surah ini. Selain itu, surah ini juga diulang-ulang dalam solat sehingga sekurang-kurang 17 kali sehari," Amir teringat kata-kata gurunya tempoh hari.

Tanpa berlengah, Amir memasang CD Surah Al-Fatihah secara berulang kali sehingga 17 kali, dengan harapan Kakak Muda berhenti mengganggu ketenteraman awam. Maklumlah, Amir tiada telefon pintar yang dia boleh gunakan untuk memasangnya melalui YouTube. Lagipun, apa gunanya pemain cakera padat itu jika tidak digunakan. Ibu dan ayah Amir pula hanya membiarkannya. Mungkin jangkaan anak mereka itu benar. Tidak salah untuk mencuba. Walaupun bunyinya seperti kelakar.

Selepas 17 kali surah al-Fatihah berkumandang, pemain cakera padat itu ditutup. 

Suasana sunyi sepi. Semua tergamam, termasuk Kakak Muda. 

Amir menapak ke arah Kakak Muda. Mana tahu ada masalah fizikal pada badannya. Namun, semua kelihatan normal.


Dia cuba berbicara dengan burung kesayangannya itu.

"Kakak Muda ok?"

"Kakak Muda ok!" Kedengaran suara sang burung tanpa sebarang tanda sakit. Seperti biasa, dia hanya mengulang apa yang dikatakan oleh tuannya. Namun, tiada kata-kata atau bunyi lain yang ditambah sehingga membingitkan telinga.

Adakah rawatan surah al-Fatihah itu berjaya? 

Mungkin. Wallahu a'lam.

Sunday, January 31, 2021

Tolong, nanti aku belanja al-Quran!

Dia sudah dibuang kerja!

Kalau nak difikirkan kerja yang telah dibuat, seperti tiada apa-apa kelemahan yang nyata. Bahkan, nampak kesungguhan yang dipamerkan untuk menjayakan projek tersebut dalam masa dan bajet yang sepatutnya. Lagipun, bukan majikannya yang terdekat yang memecat, tetapi yang lebih tinggi pangkat. Apa masalahnya?

Dia tahu masalahnya. Majikannya yang sebelum ini juga sudah dipecat. Maka, kini sudah tiba masa untuknya. Dan tiada siapa dapat membantunya kini.

Ada satu rahsia yang dia simpan.

Beberapa hari sebelum itu, dia perasan akan keanehan pada kewangan projek. Jumlahnya tidak sama seperti yang sepatutnya, bahkan kurang. Bukanlah banyak, hanya beberapa sen seunit. Namun, berdasarkan pengalaman lalu, satu sen untuk satu benda pun boleh menjadi banyak apabila berjuta-juta unit dibeli. Contohnya, satu sen seunit menjadikan RM10,000 untuk sejuta unit!

Keraguan itu dilaporkan kepada majikannya yang dipercayai. Hubungan mereka yang rapat menjadikan kepercayaan itu tinggi terhadap integriti masing-masing. Maka, ada harapan untuk menyelesaikan masalah tersebut sekiranya benar ada salahlaku kuasa. Dan majikannya bersetuju untuk melaporkan kepada pihak berkuasa atas keraguan yang munasabah.

Namun, sebelum laporan dibuat, majikannya tiba-tiba dipecat.

Dan dia pula, dibuang pada hari selepasnya. Dia bukanlah pekerja tetap. Hanya pekerja kontrak yang mencari projek untuk diuruskan. Dalam kata lain, lebih kepada freelance. Maka, lebih tepat dikatakan bahawa dia ditamatkan kontrak.

Masalah itu tak terhenti di situ. Dia cuba mencari projek-projek lain, tetapi tak berjaya mendapatkan tempat, lebih-lebih lagi di syarikat besar. Ada kemungkinan bahawa semua syarikat itu sudah menyenaraihitamkannya selepas percubaan pembongkaran itu.

Dia terpaksa berlapar dan mencari pekerjaan lain sepanjang dua tahun kemudian. Cabaran yang perlu dihadapi hanya kerana ingin bersikap jujur. Alhamdulillah, ada projek yang diterima selepas itu.

Kisah ini diinspirasikan dari kisah benar. Ada yang cuba melaporkan rasuah, tetapi seperti diugut. Orang yang berjawatan tinggi, tatkala berasa terancam, akan cuba melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri. Orang yang jujur diperkotak-katikkan, sehingga tidak mendapat kerja langsung akibat penyebaran informasi kepada orang-orang yang setaraf tinggi dan menjadikan amalan rasuah itu perkara yang biasa.

Tahukah anda, kes rasuah di Malaysia sangat membimbangkan? Untuk tahun 2020, kadar rasuah dikatakan lebih membimbangkan dari tahun sebelumnya, berdasarkan Transparency International (TI) Corruption Perceptions Index (CPI). Untuk negara-negara ASEAN, hanya Singapura yang berada pada kedudukan 10 teratas yang paling bagus tahap rasuahnya. Kita perlu lakukan sesuatu! Boleh jadi rasuah ini berlaku dalam kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan dan ahli politik. Namun, kita juga boleh menjadi agen pengubah, lebih-lebih lagi di tempat kerja.

Aku pernah dengar, ada satu masa, secara tiba-tiba ada ayam goreng KFC terletak di dalam pejabat. Dari mana datang duit itu? Bagaimana pula jika ada kawan kita cakap seperti ini:

"Tolong aku clock-in setiap hari boleh? Aku bangun lambatlah. Nanti bulan depan, aku bagi kau al-Quran yang kau suka."

Rasuah yang 'diislamkan'. Perkara itu tetap tak jujur walaupun al-Quran yang menjadi 'hadiah pertolongan' itu. 

Ingatkah kita dengan kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang enggan menggunakan pelita kerjanya untuk urusan keluarga? Betapa tingginya integriti beliau untuk memastikan tiada benda yang disalahgunakan, walaupun hanya sekecil-kecil perkara dan di rumahnya sendiri. Kerana beliau percaya, Allah itu Maha Melihat. Allah itu Maha Mengetahui.

Banyak cabaran untuk menegakkan kebenaran, tatkala kebatilan itu sudah menjadi adat. Tetapi, bagaimana kita boleh mengatakan kita ahli syurga sedangkan kita tak diuji? Hatta diuji dengan perkara yang melibatkan nyawa, menghalang rasuah itu boleh diibaratkan sebagai jihad melawan kebatilan. Menjadi perkara yang kita perlu hadapi untuk mencapai impian akhirat kita. Jalan dakwah ini bukan jalan yang mudah. 

Perkara ini bukan sahaja sepatutnya melibatkan orang Islam. Malah, kita perlu menyebarkan keperluan membanteras rasuah dalam kalangan semua rakyat Malaysia. Orang yang diceritakan pada awal post ini juga sebenarnya bukanlah seorang Muslim, namun dia komited memastikan tiada salah laku dalam projek-projek yang dikendalikannya. 

Ada satu tips untuk melaporkan kes rasuah dengan lebih berjaya, apabila rasuah ini menjadi normal. Yang penting perlu ada hubungan dengan orang yang dipercayai, atau istilahnya networking, lebih-lebih lagi dengan yang berkuasa melakukan perkara yang sepatutnya. Jalan itu mungkin lebih bersimpang siur dari terus melaporkan kepada pihak berkuasa, namun lebih berpotensi berjaya membanteras kes itu seperti mengelakkan dipecat sebelum dilaporkan.

Semoga kita semua dijauhkan dari terlibat dengan rasuah, sama ada memberi atau menerima.

Rujukan:
[1] https://www.theedgemarkets.com/article/malaysia-drops-six-spots-57th-position-corruption-perceptions-index

Sunday, November 1, 2020

Saya Bangga Menjadi Muslim

Asalnya merupakan tugasan karangan pada tahun 2015, sebagai peringatan kepada diri ini untuk menjadi Muslim yang bukan hanya pada nama, bahkan sebaliknya mendalami Islam dan berjuang untuknya...

---

Saya bangga menjadi seorang muslim kerana Islam telah menjadikan hidup saya amat bermakna. Islam merupakan cara hidup yang terbaik dan sempurna, seperti dalam firman Allah dalam surah Al-Ma'idah:

“...Pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan kepada kamu nikmatKu, dan telah Aku reda Islam sebagai agama kamu...” [5:3]

Berdasarkan petikan ayat ini, Islam sememangnya telah sempurna. Oleh itu, sesiapa yang mengikutnya juga pasti mempunyai hidup yang sempurna. Hal itulah yang menjadikan saya berbangga dengan Islam.

Agama Islam adalah berdasarkan fitrah manusia. Islam tidak memaksa seseorang untuk menyeksa dirinya sendiri seperti agama lain. Sebaliknya, perkara-perkara yang selaras dengan tabiat manusia dianjurkan dalam Islam disertai dengan panduannya. Sebagai contoh, manusia secara fitrahnya suka perkara yang suci. Sekiranya kita melihat sesuatu yang tidak teratur atau sampah-sampah bertaburan di atas jalan, pasti kita akan berasa tidak selesa. Walaupun ada sesetengah orang bersifat pengotor, pasti dia juga akan berasa jijik andai badannya diselimuti najis. Oleh itu, Islam menggalakkan bahkan mewajibkan umatnya untuk bersuci supaya tubuh serta persekitaran kita sentiasa bersih dan terhindar daripada penyakit. Firman Allah dalam surah Al-A'la:

“Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang yang membersihkan dirinya” [87:14]

Ayat ini menunjukkan betapa Islam mengambil berat terhadap kesucian umatnya, kerana manusia secara fitrahnya suka terhadap kesucian. Sekiranya hal ini tidak diambil berat oleh Islam, manusia akan hidup dalam keadaan tidak selesa serta mudah dijangkiti penyakit akibat tidak menjaga perkara ini seperti penyakit taun dan keracunan. Oleh itu, dengan menjadi seorang Muslim, saya dapat melandaskan fitrah saya dengan berpandukan Islam.

Selain itu, Islam memberi panduan kepada umatnya dalam segala aspek kehidupan, termasuk politik, sosial dan ekonomi. Firman Allah dalam surah An-Nahl:

“Dan kami turunkan kepadamu al-Quran untuk menjelaskan tiap-tiap sesuatu” [16:89]

Dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, saya dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak sesuai ataupun tidak berfaedah. Sebagai contoh, berbeza dengan agama lain, Islam mengajar umatnya tentang cara makan yang baik. Seperti dalam hadith:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah untuk anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya dia terpaksa melakukannya juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya, dan satu pertiga untuk nafasnya.”
[Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah]

Rasulullah s.a.w. telah memberi panduan kepada umat Islam tentang kuantiti makanan yang sesuai dimakan supaya tidak keterlaluan. Menurut Imam Al-Ghazali juga, terlalu kenyang menyebabkan hawa nafsu bergelora dan akhirnya tubuh badan dihinggapi penyakit. Bukan sahaja pemakanan, malah terdapat juga panduan untuk mandi, tidur dan berhibur. Hal-hal yang dianggap kecil seperti ini jarang dititikberatkan dalam agama lain. Oleh itu, terbuktilah Islam merupakan agama yang sempurna kerana mengambil berat berkenaan setiap perlakuan umatnya termasuk pemakanan agar tidak mudah terpesong atau mendapat kemudaratan. Sememangnya saya berbangga dengan Islam yang sangat menyeluruh dalam memandu kehidupan manusia yang kompleks ini.

Walaupun terdapat beberapa kewajipan yang perlu diikuti, Islam merupakan agama yang mudah kerana terdapat beberapa keringanan atau 'rukhsah' yang boleh menyenangkan umatnya sekiranya terpaksa, terlupa ataupun mempunyai kesukaran dalam mengerjakannya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah:

“Allah menginginkan kemudahan bagimu dan Dia tidak menginginkan kesukaran bagimu” [2:185]

Ayat ini membuktikan bahawa Islam sememangnya mudah. Contohnya, walaupun puasa dalam bulan Ramadan pada asalnya wajib bagi setiap Muslim, kewajipan ini digugurkan bagi sesetengah golongan seperti musafir dan orang yang sakit. Dalam keadaan musafir, seseorang itu mungkin mudah letih kerana melalui perjalanan yang jauh. Begitu juga dengan orang yang sakit. Puasa mungkin boleh memudaratkan tubuh badan mereka kerana kekurangan nutrien ataupun air. Oleh itu, untuk memelihara kesihatan mereka, Islam mngharuskan golongan tersebut untuk berbuka. Begitu juga bagi mereka yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang. Pertukaran zon waktu yang sangat cepat menyukarkan mereka untuk menentukan masa berbuka dan fajar yang kadangkala terlalu panjang atau pendek jarak waktunya. Oleh sebab itulah Islam memudahkan umatnya dengan keringanan ini. Kemudahan-kemudahan yang diharuskan oleh Islam ini membuatkan saya berasa senang untuk mengamalkannya di samping terus mengikut panduan Islam yang tidak akan menyebabkan saya tersesat.

Dengan adanya panduan bagi setiap aspek kehidupan, setiap amalan amat bermakna kerana diberikan ganjaran sekiranya dilakukan dengan niat kerana Allah serta cara yang berlandaskan Islam.  Imam An-Nawawi ada meriwayatkan sebuah hadith:

Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat...”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Oleh itu, hal ini menjadikan kehidupan saya lebih produktif kerana masa tidak terbuang begitu sahaja. Setiap saat, bermula daripada bangun tidur sehingga tidur, bahkan semasa tidur pun, tidak akan sia-sia sekiranya mengikut landasan Islam. Hal ini berbeza dengan agama lain yang biasanya hanya beribadah di dalam rumah ibadahnya sahaja dan pada waktu tertentu. Dalam Islam, ibadah boleh dilakukan di semua tempat. Contohnya, solat yang merupakan tiang agama boleh dilaksanakan bukan sahaja di masjid, malah di padang, rumah dan mana-mana tempat yang bersih. Membuang air serta mandi juga dikira sebagai ibadah. Pendek kata, semua yang manusia lakukan merupakan ibadah apabila berlandaskan syariat Islam. Tambahan lagi, sesetengah amalan juga dilipatgandakan ganjarannya. Sebagai contoh, amalan menafkahkan harta di jalan Allah akan digandakan sehingga 700 kali.

“Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada setiap tangkai seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” [2:261] 

Oleh hal yang demikian, Islam dapat menjadikan saya seorang yang produktif dengan memanfaatkan masa dengan sebaiknya kerana setiap perlakuan dapat dijadikan sebagai ibadah. Tanpa Islam, manusia akan terus terumbang-ambing dalam menjadikan hidupnya bermakna kerana mereka terlalu sibuk dengan urusan yang kadangkala tidak memberi manfaat kepada mereka.

Segala yang ditetapkan oleh Islam ternyata bermanfaat. Allah tidak akan menjadikan sesuatu secara sia-sia. Firman Allah dalam surah Ali Imran:

“Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” [3:191]

Perkara-perkara ini telah dibuktikan dalam kajian Sains terkini. Misalnya, Islam mengharamkan umatnya mengambil minuman yang memabukkan seperti arak. Dalam Surah Al-Baqarah, Allah telah berfirman:

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar(arak) dan judi. Katakanlah: Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” [2:219]

Sememangnya ada sesetengah pakar perubatan berpendapat bahawa arak bermanfaat untuk jantung, seperti dalam ayat tersebut yang menyatakan bahawa terdapat manfaat pada arak. Walau bagaimanapun, hanya sedikit bahan daripadanya yang bermanfaat. Sebahagian besarnya boleh merosakkan jantung dan lain-lain organ badan. Kenyataan ini telah diterbitkan oleh Dr James H Stein dari Fakulti Perubatan Universiti Wisconsin. Bahkan menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), arak merupakan punca 2.5 juta kematian setahun, mengatasi kematian disebabkan AIDS. National Institute on Alcohol Abuse and Alcoholism di Amerika Syarikat juga melaporkan alkohol menyebabkan kerugian sebanyak $185 bilion setahun. Oleh itu, tebuktilah bahawa Islam tidak meletakkan kewajipan pada sesuatu tanpa alasan. Dengan mengikut perintah Allah, suasana aman dan tenteram dapat dicapai serta kesihatan juga dapat dikekalkan. 

Sememangnya umat Islam merupakan umat terbaik. Selain daripada amalan-amalan yang terbukti bermanfaat, Islam juga dapat menenangkan hati umatnya dan tidak mudah resah.

“Sabda Rasulullah s.a.w: Sungguh ajaib urusan orang beriman! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka  kebaikan baginya. Dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.”
[Riwayat Muslim]

Saya sendiri pernah mengalami situasi ini. Semasa kami bermusafir di Amerika Syarikat, kereta sewa kami telah dipecah masuk. Beg komputer bapa saya dicuri dan di dalamnya terdapat segala dokumen penting termasuk pasport dan pas kemasukan ke Amerika Syarikat. Setelah tidak berhasil menjumpai beg tersebut di mana-mana, kami bersetuju untuk menetap di rumah kawan ibu saya yang terletak berhampiran dengan kawasan itu. Semasa kami di rumahnya, kami memperbanyakkan solat hajat secara berjemaah serta berdoa agar beg itu ditemui. Bapa saya terpaksa mencari jalan supaya kami dapat membuat pasport baru di Kedutaan Malaysia. Banyak duit yang terpaksa kami keluarkan sehingga rakan ibu saya turut meminjamkan wangnya. Hal ini kerana jumlah kos membuat pasport baru dan pas kemasukan tersebut ialah lebih kurang RM1300 seorang. Walau bagaimanapun, kami tetap yakin dengan ketentuan Allah bahawa segala perkara ada hikmahnya. Rakan ibu saya yang merupakan seorang Kristian telah mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan saya. “Kamu semua kelihatan tenang walaupun dalam situasi sebegini. Jika orang lain, pasti mereka sudah bergaduh dan menyalahkan antara satu sama lain.” Kami berasa terharu mendengarnya. Mungkin Allah telah memberikan ketenangan dan kesabaran kepada kami. Bagi agama lain, mungkin mereka tiada panduan sekiranya menghadapi musibah dan perkara yang tidak dijangkakan. Untungnya Islam kerana mensyariatkan umatnya supaya membanyakkan doa dan solat apabila dalam keadaan gelisah. Semoga satu hari nanti, dia diberi hidayah untuk memeluk Islam, InsyaAllah. Dan Alhamdulillah, keesokan harinya, segala dokumen penting dalam beg tersebut dijumpai oleh seorang 'Black American'. Kami amat bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepadanya. Sesungguhnya benarlah bahawa Islam dapat menjadikan umatnya ajaib. Mereka sentiasa bersyukur apabila mendapat nikmat dan bersabar apabila ditimpa musibah.

Kesimpulannya, umat Islam merupakan umat terbaik di dunia ini. Segala panduan yang disyariatkan adalah berlandaskan fitrah serta keselesaan manusia bagi menjamin kebaikan dalam kehidupan. Tanpa Islam, seseorang itu mudah lalai dan sentiasa berada dalam keadaan tidak tenteram. Saya amat berbangga dan bersyukur kerana dilahirkan dan hidup dalam Islam sehingga hari ini. Semoga keadaan ini berterusan sehingga akhir hayat dan menjamin kedudukan di syurga, InsyaAllah.


Tuesday, October 20, 2020

Jam Kesebelas

Pintu kelihatan terbuka. Jam pun sudah menunjukkan pukul 3 petang. Aku melangkah masuk ke dalam bilik Dr Lim setelah dibenarkan masuk. Kami sudah menetapkan masa ini untuk berbincang tentang penyelidikan yang sedang berjalan.

Beliau seorang yang kelakar. Ada sahaja cerita untuk dikongsikan selain pelajaran. Kalau dulu, hampir setiap kelas beliau ada bercerita tentang kucing. Setelah bayinya dilahirkan, bayinya pula menjadi topik tetap setiap kali berjumpa. Aku juga banyak tahu tentang kereta mewah daripadanya, seperti jenama Maserati yang memang selama ini tak pernah aku dengar. Ada pula disembangkan tentang bunyi kereta yang bising bagi aku, tapi sedap didengar baginya.

Kali ini, aku dapat melihat beliau sedang menyiapkan pembentangan tentang salah satu tajuk penyelidikan yang diketuainya. Tatkala aku masuk pun, matanya masih memandang tepat pada dokumen itu.

"Hi there. Just a minute. I'm making slides for today's meeting, right after this!"

Aku mengangguk sahaja. Biasalah, mungkin ada beberapa perkara yang dia terlepas pandang sebelum ini. 

"You know, I just started making the slides this morning. It feels really good. Usually I started early, maybe several days. But today, I am proud that I managed to do this late!"

Mataku membesar. Apa yang dia seronok apabila membuat kerja lambat? Sehingga jam kesebelas baru mula. Kalau tak sempat, macam mana? Kalau aku, dah lama kelam kabut, resah dan macam-macam lagi.

"I know it sounds ironic. But usually when I started early, I tend to think about it all the time, trying to fix everything to make it so perfect. But at the end of the day, I should not put that much effort on that thing since it is probably just a weekly meeting."

"Oh, I never thought of that. Hmm..."

Sebenarnya, aku baru sedar yang aku juga ada masalah yang sama. Semua benda mahu kelihatan sempurna, cantik. Kalau ada tugasan penulisan, kertas kerja atau laporan, pasti aku mulakan awal. Tapi sampai ke tarikh untuk menghantar pun aku masih mahu mencari apa lagi yang boleh diperbaiki. Seperti tugasan yang tak berkesudahan. 

Sebab itu, aku lebih suka peperiksaan dari tugasan di luar kelas. Kalau peperiksaan, ada masa yang ditetapkan, dan tak terlalu panjang. Yang susahnya hanya persediaan sebelum itu. Semasa peperiksaan, kalau tak boleh jawab, tak terlalu rasa terpaksa untuk menjawab kerana memang tak ingat. Hanya perbanyakkan berdoa supaya diberi ilham oleh Allah. Tetapi kalau tugasan, apa-apa informasi boleh dicari dengan adanya internet. Kalau tak jumpa, seperti tak terlalu bersungguh-sungguh pula mencari jawapan.

Jadi, ada benarnya 'strategi' Dr Lim itu. Kalau mula lambat, tak adalah terlalu banyak masa diluangkan untuk satu-satu perkara hanya untuk menyempurnakan lagi perkara yang mungkin sudah hampir sempurna.

Aku terlihat Dr Lim yang secara tiba-tiba mengalihkan pandangannya kepadaku.

"But don't do this for important things. It's dangerous!"

"Oh, of course Dr."

Aku tersenyum lebar. Sekali lagi beliau benar. Amaran yang mungkin kedengaran terlalu keras untuk perkara ini, tetapi penting. Yang sedang beliau lakukan itu hanyalah untuk perjumpaan bersama rakan sekerjanya, bukanlah pembentangan untuk syarikat-syarikat atau pihak atasan. Kalau untuk pembentangan PhD atau projek tajaan, pastilah perlu teliti. Kalau boleh, hanya mahu menjalaninya sekali sahaja tanpa perlu mengulang. Jadi, perlu mula awal juga.

Namun, aku dapat inti utama perbincangan yang tak disengajakan ini. Satu pendapat yang pada aku tak pernah didengar dari orang lain. Mengajak orang melengah-lengahkan membuat sesuatu. Namun, mungkin pengajaran yang lebih tepat ialah mengatur masa dengan lebih baik berdasarkan prioriti. 

Jika satu perkara itu bukanlah sesuatu yang terlalu penting dan tak memerlukan kesempurnaan, jangan terlaku fokus dengannya. Kalau mula awal pun, boleh juga hantar awal. Ataupun lakukan kerja lain sebaik sahaja siap. Tak perlu gunakan masa yang banyak untuk itu. Masih ada banyak lagi perkara lain yang lebih berfaedah dari berulang-ulang meneliti perkara yang sama.

Lagipun, kalau mahu memeriksa, mungkin lebih banyak pembaikan yang boleh dilakukan setelah berehat dari perkara itu, daripada terus-menerus menelitinya. Ada idea lain yang mungkin akan timbul apabila kita berfikir tentang perkara lain.

Mungkin lain orang, lain nasihatnya. Kerana ada orang yang sentiasa suka membuat sesuatu pada jam kesebelas, dan semuanya bertimbun pada masa yang sama. Itu juga bahaya.

Teringat firman Allah dalam surah Al-Asr.

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, melainkan yang beriman dan beramal soleh, serta saling menasihati tentang kebenaran dan saling menasihati tentang kesabaran.

Tanpa mengasingkan prioriti dengan yang lain, kita rugi. Kalau kita tak beriman dan beramal soleh, dan saling menasihati, kita rugi. 

Kalau anda perasan, ada dua elemen penting dalam ayat ini: hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Kita perlu memberi prioriti untuk kedua-dua aspek itu. Maka, rugilah kita kalau hanya fokus satu aspek sahaja.

Berpada-padalah dalam mengurus masa. Jadikan prioriti itu, satu prioriti tanpa melebihi prioritinya. Mungkin susah untuk dilakukan pada mulanya, namun mungkin lama-lama kita boleh agak masa yang diperlukan untuk melakukan perkara itu.