Thursday, January 4, 2018

Prokrastinasi

Kelihatan kerlipan lampu biru merah dari belakang kereta kami secara tiba-tiba. Polis! Tiba-tiba siren berbunyi menandakan kami perlu berhenti. Setelah menunggu dan mendapatkan penjelasan, rupa-rupanya kesalahan kami hanyalah meletakkan nombor plat kereta secara terbalik depan dan belakang kereta. Polis tidak dapat melihat tarikh luput pendaftaran kereta tersebut yang sepatutnya terpapar di belakang. Maka, kami diberhentikan dan hampir terlewat menghantar rakan ke lapangan terbang.

Insiden ini sebenarnya dapat dicegah sekiranya kami tidak berlengah untuk menukarnya. Sudah beberapa orang menegur sejak enam bulan yang lalu, tetapi tiada siapa yang menukar (sebenarnya kerana memerlukan spanar yang perlu dipinjam daripada orang lain). Dahulu pun sudah disaman kerana lambat menukar nombor plat yang lama kerana sudah luput, padahal nombor plat baru sudah ada di dalam kereta. 

Masalahnya hanya berlengah dan malas. Selalunya akan ada amaran yang kecil-kecil sebelum terjadinya insiden besar. Namun, amaran kecil itu selalu diabaikan. Apabila berlaku sesuatu yang mengejut, baru mahu bertindak. Sudah terhantuk baru terngadah. Masalah boleh selesai apabila insiden itu masih belum besar. Seperti kes tadi, Alhamdulillah kami tidak disaman. Namun, bagaimana jika perkara yang tak diingini berlaku?

Pada bulan Februari tahun 2008, satu letupan berlaku di Georgia, Amerika Syarikat. Pasti anda terfikir tentang kilang minyak ataupun nuklear. Tidak! Kejadian ini berlaku di kilang gula, Imperial Sugar Refinery. Apa-apa bahan serbuk adalah mudah terbakar, seperti gula ising. Sebelum kejadian itu, pernah berlaku beberapa kejadian yang mana api kecil ternyala pada gula. Namun, semuanya ibarat tidak dipedulikan kerana 'hanya' api kecil. Letupan pada tahun 2008 itu berlaku apabila gula yang sangat banyak tumpah dalam tempat yang tertutup, menyebabkan udara di dalamnya penuh dengan habuk gula yang mudah terbakar. Apabila terdapat hanya sedikit cas elektrik mungkin akibat geseran, ... semua meletup! 



Letupan ini boleh dielak jika tidak berlaku 'prokrastinasi' (procrastination) dalam mengambil berat isu api-api kecil yang berlaku sebelum ini. Kisah lanjut boleh didapati di website ini: http://www.csb.gov/imperial-sugar-company-dust-explosion-and-fire/

Dalam sirah juga terdapat kisah Kaab bin Malik yang berlengah untuk ke Perang Tabuk, sehingga terlepas untuk bersama Rasulullah s.a.w. ke sana. Disebabkan itu, beliau dipulaukan oleh semua dalam tempoh yang sangat lama. Dalam masa itu, beliau sangat menyesal dan bertaubat kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Sehingga pada suatu hari, Allah memaafkannya dan disampaikan melalui sabda Rasulullah s.a.w. Betapa gembiranya Kaab bin Malik pada hari itu.



Bukankah Allah telah berfirman:

Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
Al-Asr:1-3

Rugilah kita, jika kita tidak melakukan empat perkara itu. Mengelakkan kejadian yang tidak baik juga merupakan amal yang soleh, kerana mengelakkan kerugian. Bayangkan, berapa banyak masa kita sudah terbazir untuk perkara tidak berfaedah. Bayangkan, jika kita meninggalkan dunia ketika melakukan perkara yang merugikan diri dan masyarakat. 

Apa yang kita perlu lakukan sekarang? Sibukkan diri dengan perkara yang menambah iman dan nilai diri. Menonton filem pun, pilihlah yang berfaedah. Mendengar lagu, pilihlah yang dapat dipelajari daripada liriknya. Bermain, pilihlah yang dapat meningkatkan kemahiran dan kesihatan. Jadikan ini azam tahun 2018!