Tak dinafikan, media sosial merupakan ketagihan anak-anak muda zaman sekarang. Beberapa jam, mungkin beberapa minit sekali, mahu melihat apa yang orang lain post di Instagram, InstaStory ataupun kicau di Twitter. Orang akan mengadu, tiada masa untuk menyiapkan kerja sekolah, kerja di pejabat ataupun mengemas rumah. Padahal, masa di media sosial boleh jadi melebihi beberapa jam sehari jika dikira.
Tak juga dinafikan, media sosial ada kebaikannya. Dapat mengeratkan hubungan dengan mengetahui keadaan masing-masing. Dapat 'bertemu' kawan lama di alam maya. Dapat mengetahui berita terkini di seluruh dunia. Dapat menyebarkan dan meningkatkan ilmu pengetahuan secara umum. Dapat banyaklah!
Maka, bagaimana kita mahu menggunakan media sosial dengan betul?
Ada yang bertindak menjauhkan diri sepenuhnya dari media sosial. Mungkin ini boleh menjadi terapi atau rawatan sementara. Namun akhirnya, kita tak dapat menafikan yang media sosial semakin menjadi keperluan pada masa kini. Lebih-lebih lagi yang ada berhubungan dengan yang berada di luar negara.
Teringat tentang salah satu ilmu yang perlu ditekankan dalam buku Seni Berfikir yang Hilang oleh saudara Hasrizal Abdul Jamil. Buku ini mengupas Thaqafah Al-Da'iyah karangan Hasan al-Banna. Terdapat enam cabang ilmu yang patut didalami oleh seorang da'i (yang pada hakikatnya semua Muslim itu da'i). Salah satu daripadanya ialah ilmu isu semasa.
Pada saya, media sosial menjadi medan pertemuan kebanyakan sumber berita isu semasa sama ada dalam kalangan kenalan kita, dalam negeri, dalam negara mahupun di luar negara. Ada juga 'berita' yang hanya bersumber semata-mata dari media sosial tersebut, seperti perkara yang tular sehingga menjadi isu sensasi dan memberi kesan kepada alam sebenar. Namun ada juga berita yang palsu, mengakibatkan keresahan sesetengah pihak akibat fitnah atau sebaran perkara yang memalukan.
Maka, sekali lagi kita bertanya. Bagaimana mahu sentiasa mengikut peredaran berita tanpa dijangkiti ketagihan media sosial?
Mungkin kita sendiri boleh menetapkan masa untuk berada di media sosial. Pada jam sekian-sekian, kita gunakan masa sepenuhnya untuk melayari media sosial. Juga fikirkan dan rancang apa yang anda mahu tahu di situ, sebelum melayarinya.
Kebanyakan 'social media influencer' dilihat seperti banyak masa berada di media sosial. Kadangkala saya juga kagum dengan mereka mengurus masa dengan baik. Bolen menjawab soalan-soalan yang begitu banyak, namun juga mampu melakukan sesuatu yang lain di alam sebenar. Ada juga yang bekerja sepenuh masa. Pada masa yang sama, menginspirasi anak-anak muda dengan tulisan-tulisan yang matang walaupun hanya satu ayat. Mungkin di sinilah pentingnya pengurusan masa di media sosial.
Namun, ada juga masalah lain. Algoritma media sosial ini membuatkan kita tertarik untuk melihat perkara yang tidak dirancang. Contohnya, iklan-iklan yang disusun berdasarkan apa yang kita baca atau ikuti. Tiada masalah untuk mengetahuinya, cuma sentiasalah melihat masa. Mungkin boleh cuba tetapkan, hanya tekan sekali, bukan terus-menerus mengikut apa yang disusun oleh algoritma.
Dengar seperti mudah. Mudah merancang, namun mahu kekal seperti yang dirancang itu lebih susah dari memulakannya. Apa yang penting, kita usaha.
Jom urus masa kita dengan baik!
Banyak perkara yang boleh dilakukan walaupun hanya dalam satu minit!