Jika kita telusuri kembali kisah Adam a.s., kita dapat merasakan betapa kasihnya Allah terhadap kita di dunia. Kita bukanlah ditempatkan di dunia hanya sebagai ujian, malah ini adalah satu penghormatan terhadap manusia yang dilantik sebagai khalifah dunia. Manusia yang diberikan kebolehan untuk mengkaji dan memperturunkan ilmu.
Adam a.s. diceritakan oleh segelintir masyarakat sebagai manusia berdosa. Namun, kisah penciptaan Adam a.s. merupakan kisah yang menggembirakan seperti yang diceritakan dalam Al-Quran. Antara anggapan yang salah terhadap kisah ini:
"Adam a.s. diturunkan ke dunia kerana bersalah memakan buah yang dilarang."
Allah telah memaklumkan sejak awal bahawa Dia akan mencipta khalifah di BUMI dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 30. Hal ini bermaksud walaupun Adam a.s. tidak memakan buah itu, baginda tetap akan ditempatkan di dunia kerana manusia sememangnya dicipta untuk dunia ini, memegang amanah yang besar sebagai penghormatan terhadap manusia. Buah itu hanyalah sebagai ujian dan pengajaran bagi Adam a.s. dan manusia secara amnya, kerana pada masa yang sama, kita dapat mengetahui fakta bahawa Iblis bukanlah rakan kita. Kita perlu berhati-hati kerana dia akan datang kepada kita seperti kawan, namun sebenarnya dialah musuh dalam selimut.
"Dunia ini merupakan kesengsaraan"
Benar, dunia ini sangat berbeza daripada syurga. Namun, dua perkara yang perlu dijelaskan di sini:
![]() |
| Kredit: https://john.do/fear/ |
- Adanya kesedihan dan ketakutan, sadness and fear. Walau bagaimanapun, Allah menunjukkan jalan yang lurus buat kita melalui Al-Quran. Jika sikap ini tidak dipandukan dengan al-Quran, tindakan-tindakan yang tidak masuk akal akan berlaku. Boleh jadi orang yang terlalu sedih dengan kematian ibunya, akan bertindak membunuh ayahnya sendiri kerana berpendapat bahawa ayahnya menyebabkan peristiwa itu. Ada pula golongan yang terlalu takut terhadap kekalahan sehingga sanggup memfitnah rakan baik sendiri. Tetapi, Allah tidak meninggalkan kita sendiri mencari jalan penyelesaian, Allah membantu kita melalui kalamNya sendiri. Bukankah Allah berfirman:
"Dan ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
- Dunia ini sebenarnya adalah gambaran bagi nikmat di syurga kelak. Buktinya? Allah menggambarkan di dalam Al-Quran bahawa di dalam syurga adanya sungai, buah-buahan, pasangan yang cantik, pokok yang rendang dan banyak lagi (gambaran di dalam al-Quran lebih indah kata-katanya). Mengapa begitu? Kerana Allah ingin menarik kita menuju ke syurga. Andainya syurga terlalu berbeza buat kita, sukar untuk kita tahu adakah itu perkara yang menarik. Seperti kita membayangkan tempat makhluk asing. Kita sudah mengalami betapa indahnya dunia ini, sungai yang sejuk menyenangkan. Oleh itu, manusia akan berasa bahawa syurga ini amat sesuai bagi kita semua, dan menjadikan tujuan di akhirat.
![]() |
| Kredit: https://en.wikipedia.org/wiki/River |
"Hawa merupakan orang yang bersalah, dan Allah sangat murka kepada beliau. Kerana itulah perempuan berasa sakit ketika mengandung, dan adanya haid setiap bulan."
Bahkan Allah merahmati perempuan! Perkataan 'rahim' itu sendiri ternyata merupakan salah satu daripada nama Allah, ar-Rahim. Dan di dalam Al-Quran, Allah tidak pernah menyalahkan Hawa semata-mata. Kebanyakannya disebut Adam a.s. dan iblis. Maka, mengapa pula Allah murka terhadapnya?
Ini hanyalah sebahagian daripada perkongsian Bro. Nouman Ali Khan untuk Tafsir Surah Al-Baqarah edisi Ramadan 1437H. Boleh rujuk Al-Quran anda untuk membaca kisah menarik ini, bermula daripada ayat 30. Setelah kita mengetahui kisah ini, maka sentiasalah ingat bahawa kita adalah khalifah di sini! Maka bertindaklah seperti khalifah.
Professor yang memeluk Islam hasil penceritaan ini dalam al-Quran, Prof Jeffrey Lang. Boleh tonton di sini.


