Thursday, May 7, 2020

Berat? Anda masih hidup.

"If you feel like you've got the weight of the world on your shoulder, look around you're alive. Alhamdulillah." 
(Starfeather - Faizal Tahir)
Sangat menyentuh hati apabila melihat orang tanpa rumah (homeless) menolong yang senasib dengannya. Berkongsi makanan yang sedikit. Berkongsi tempat tidur yang kecil. Membelikan makanan untuk rakan. Kadangkala aku tertanya-tanya, apakah yang mereka fikirkan ketika itu? Bukankah mereka amat memerlukan?

Cuba bayangkan andai ada seorang yang diberi sebungkus makanan. Dia lapar, mungkin seminggu tak makan. Namun ada orang lain disebelahnya yang juga dalam keadaan yang sama. Mungkin orang yang mendapat reseki itu merasakan bahawa dia hanya perlu makan sedikit untuk terus hidup, dan mungkin yang disebelahnya itu lebih teruk keadaannya andai tidak mendapat makanan.

Aku teringat pula kisah drama Nur di TV3 yang sangat popular dua tahun lepas, sehingga diulangtayang Ramadan tahun 2020 ini. Watak utama itu berterima kasih kepada Allah kerana walaupun dia merasakan doa-doanya selama ini tidak dimakbulkan, dia masih dapat bersujud kepada Yang Maha Kuasa. Kerana dalam kalangan orang sekelilingnya, ramai yang sudah berputus asa untuk menjadi lebih baik kerana merasakan diri mereka sudah ditakdirkan berada di lorong. Nur, cahaya di lorong kegelapan. Kerana tanpa kegelapan, cahaya sukar dihargai. Tanpa cahaya pula, mana ada istilah kegelapan.

Secara jujurnya, aku bukanlah dibesarkan dalam kalangan orang yang susah dari sudut ekonomi. Maka, mungkin aku tak mampu menghayati kehidupan mereka. Tafsiranku hanya berdasarkan kisah-kisah yang aku dengar dan baca.

Namun, sesungguhnya setiap manusia ada ujiannya tersendiri. Kadangkala kita melihat orang lain senang kerana mendapat apa yang kita tiada, tetapi kita tidak sedar perkara yang mereka tiada. Kadangkala kita melihat orang lain amat susah kerana tidak mendapat nikmat yang kita perolehi, tetapi yakinlah bahawa mereka ada nikmat lain yang istimewa untuk mereka. Ada kemungkinan ujian orang lain juga lebih hebat walaupun mereka kelihatan lebih senang, kerana kesenangan itu juga ujian.

Nikmat terbesar kita ialah kehidupan dengan Islam dan Iman. Tiada apa yang boleh dilakukan lagi jika tiada kehidupan. Namun, hidup juga tidak bermakna tanpa Islam dan Iman kerana kehidupan sebegitu tidak menjamin akhirat yang membahagiakan kita.

Kita masih hidup menunjukkan Allah masih memberikan kita peluang untuk beramal dan menunjukkan rasa cinta kita terhadapNya. Kita mendapat ujian menunjukkan Allah masih berharap untuk kita meningkatkan kebolehan kita dalam perjalanan menuju redaNya. 

Cuba fikirkan segala perkara yang kita fikir buruk yang telah berlaku. 

Bukankah itu satu pengalaman yang memberi kita kekuatan dan ilmu yang amat berguna dalam kehidupan? 

Bukankah itu selalunya titik perubahan kita? 

Ibarat vaksin yang dimasukkan ke dalam badan. Virus itu bahaya, tetapi virus yang telah mati ini membuatkan antibodi kita lebih kuat untuk melawan virus yang hidup. 

Maka, ujian itu juga membuatkan kita lebih kuat untuk melawan segala ancaman yang lebih berat daripada ujian itu.

Kita boleh mengambil contoh penyakit kemurungan atau masalah kesihatan mental. Memang, ia satu penyakit yang sukar. Tetapi orang yang kuat menghadapi ujian ini dapat membantu orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Sifat empati dapat mengelakkan kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.

Ingatlah, Allah tidak akan memberi ujian yang melebihi kemampuan, dan tiada sesuatu yang dilakukan dengan sia-sia.

Mengapa Allah memberi ujian? Supaya kita dapat membuktikan bahawa kita layak masuk syurga. Supaya kita dapat buktikan kecintaan kepadaNya. Supaya kita menjadi lebih kuat dari yang sebelumnya. 

Andai di sekolah tiada ujian, adakah ramai yang akan mengambil berat sesuatu pelajaran? Bagaimana pentaksiran dilakukan tanpa sebarang cabaran? 

Kita juga sedang bersekolah di sekolah kehidupan. Bezanya dengan kehidupan, Allah menilai secara berterusan dalam usaha kita menangani cabaran. Yang  paling penting adalah semasa, bukan selepas. Hatta para Nabi, Rasul dan Sahabat Baginda diuji dengan sangat dahsyat. 

Nabi Nuh a.s. juga pernah berputus asa dengan kaumnya, melarikan diri sehingga ditelan Nun. Namun, Allah memberi peluang baginda bertaubat, tidak menyuruh ikan itu menelannya sehingga mati.

Kita sememangnya bukan nabi ataupun rasul yang maksum, atau yang dekat dengan mereka. Namun, kita boleh berusaha ke arah itu. Kerana Allah Maha Mengetahui apa yang kita boleh lakukan. Maka, jalan terus!

Teringat sajak 'God, May I Ask' yang aku rasakan membina semangat untuk terus menghadapi ujian yang sukar dalam kehidupan ini.

I asked for strength,
And God gave me difficulties to make me strong;
I asked for wisdom,
And God gave me problems to learn to solve;
I asked for prosperity,
And God gave me brain and brawn to work;
I asked for courage,
And God gave me dangers to overcome;
I asked for love,
And God gave me people to help;
I asked for favors,
And God gave me opportunities.
I received nothing I wanted – I received everything I needed.
My prayer has been answered.

Allah masih memberi kita kehidupan, bermaksud Allah masih memberi peluang kepada kita untuk mendekatkan diri kepadaNya. 

Untuk mencapai keredhaanNya.

Untuk mendapatkan keampunanNya.

Supaya kita semua dapat masuk syurga dengan rahmatNya, dan dapat melihat Allah. InsyaAllah.

Alhamdulillah, I'm alive.

No comments:

Post a Comment