Saturday, May 30, 2020

Kalau Bukan Kita, Siapa Lagi?

Di luar sana, ramai orang yang memerlukan. Kita selalu fikir orang lain akan jadi hero untuk mereka. Memang orang yang berpangkat tinggi akan bertungkus lumus untuk membantu masyarakat yang dalam kesusahan seperti penduduk di pinggiran. Tapi mereka juga memerlukan lebih banyak tenaga. Kalau bukan kita yang membantu mereka dan menjadi sebahagian dari mereka yang berkorban, siapa lagi?

Pengakhiran Ejen Ali The Movie yang membuka mata. Seperti lagu temanya, Bukalah Matamu. 

Siapa lagi kalau bukan kita? Kita jaga kita.
Selain dari animasi 3D yang sangat hebat dan teliti bertaraf antarabangsa lebih-lebih lagi dari sudut aksi, banyak juga pengajaran yang dapat diambil. 

Satu sisi yang ditumpukan dalam filem ini, yang tiada dalam siri-siri sebelum ini, ialah keadaan penduduk pinggiran. Tatkala masyarakat di bandar menikmati kehidupan serba canggih dengan adanya sumber tenaga yang kuat, masih ada yang terpinggir tanpa teknologi yang mencukupi. Masih ada yang dilupakan walaupun hanya berada di sebelah, malah di dalam. Masih ada yang tiada keperluan asas, semasa kebanyakan penduduk bandar membeli barang-barang berjenama yang mahal. Masih ada yang terpaksa berhujan panas, tatkala orang lain merungut penat bekerja di dalam tempat berhawa dingin.

Maka nikmat yang manakah yang engkau dustakan?

Berkali-kali Allah mengulang pertanyaan ini dalam Surah ar-Rahman. Manusia. Selalu tidak bersyukur. Selalu membantah. Selalu bersikap dengki dengan orang lain. Padahal nikmat Allah itu jika cuba dihitung, tidak akan dapat merangkumi kesemuanya. 

Teringat seseorang pernah menyatakan bahawa, orang yang solat berdiri patut bersyukur, kerana ada yang solat secara duduk. 

Orang yang solat duduk perlu bersyukur, kerana ada yang terpaksa solat secara baring.

Orang yang solat secara baring perlu bersyukur, kerana ada yang terpaksa solat hanya menggunakan mata.

Orang yang solat menggunakan mata perlu bersyukur, kerana ada yang terpaksa solat menggunakan hati 

Hatta yang solat menggunakan hati juga perlu bersyukur, kerana ada yang sudah tiada kesempatan untuk solat. Dia sudah tiada peluang kerana berada di alam lain.

Persoalannya, bagaimana kita mahu bersikap bersyukur?

Gunakan nikmat tersebut di jalan Allah. Untuk memakmurkan bumi. Untuk memudahkan kehidupan orang lain. Untuk mendekatkan diri dan orang lain kepada Allah.

Mulakan dengan orang terdekat. Kebanyakan masyarakat jalanan berada di bandar. Sangat ironi memikirkan bandar yang sinonim dengan teknologi serba moden, menjadi 'pusat' gelandangan. Cuba periksa di sekeliling kita. Ramai yang memerlukan pertolongan. Ramai juga yang terpaksa mencuri untuk mendapatkan keperluan asas. Walaupun orang di sekelilingnya boleh membeli bubble tea yang mahal setiap hari. Mungkin hanya di hadapan rumah yang serba daif.

Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan kita tentang hak jiran?

Daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” [Riwayat Muslim (77)]

Terfikir bahawa orang lain yang akan membantu mereka? Perdana menteri? Datuk bandar? 

Kenapa bukan kita? 

Yakinkah kita, bahawa mereka akan membantu orang susah?

Bukanlah mahu dikatakan di sini bahawa pemimpin kita korup dan kapitalis seperti Datuk Bandar dalam filem itu. Ada juga yang berperikemanusiaan seperti ejen-ejen MATA dan ayah Ali. Tetapi mengapa mahu melepaskan peluang kita untuk menjadi seorang hero? Lebih-lebih lagi hero di mata Allah.

Kanak-kanak seperti Ejen Ali kebiasaanya tidak dipandang tinggi sebagai hero. Malah, ejen-ejen MATA juga bertindak secara sembunyi, tidak popular seperti Datuk Bandar. Namun, mereka jugalah yang bertungkus lumus menyelamatkan bandar. Berlatih saban minggu, menjalankan ujikaji agar pertahanan bandar dapat ditingkatkan. Kerana mereka percaya bahawa ramai orang yang dapat diselamatkan.

Ada yang berfikir mereka tidak mempunyai kebolehan. Orang lain lebih hebat. Namun, Allah tidak mencipta sesuatu tanpa hikmah, tanpa sebab. Pasti ada sesuatu yang kita boleh lakukan. Cuma hanya perlu digali. Dan semua orang ada garis masanya sendiri.

Ali juga begitu. Itu kelemahannya. Secara fizikal, dia bukanlah seorang yang kuat. Apabila tiada IRIS, selalunya dia tidak dapat bertindak secara hebat. 

Gajet mungkin boleh membantu, namun pemakainya juga yang mengawalnya.

Badan yang kuat mungkin boleh membantu, namun seseorang itu juga yang mengawalnya.

Memang adakalanya kita akan buat silap. Semua orang buat silap. Ali juga tersilap apabila memilih untuk menolong Nikki, yang bertindak memusnahkan bandar, walaupun niatnya baik. Dia nampak kejahatan pada Datuk Bandar yang dikatakan menjadi 'bos' kepada semua ejen MATA. Dia nampak kebaikan pada Nikki yang ingin membangunkan penduduk pinggiran yang dipinggirkan, dianiaya oleh datuk bandar. Mama Ali juga pernah berfikiran begini.

Namun, semua orang boleh berubah. Dikatakan boleh, bukan akan, kerana berubah itu satu pilihan. 

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd, 13:11)

Nikki memilih untuk tidak berubah daripada kejahatan.

Ali pula memilih untuk menolong semula MATA setelah bertindak mensabotaj misi kumpulannya sendiri.

Selagi nyawa masih dikandung badan, selagi itulah kita masih diberi peluang oleh Allah untuk berubah. Berubah menjadi lebih baik. Dari segi mental, fizikal juga spiritual.


Thursday, May 7, 2020

Berat? Anda masih hidup.

"If you feel like you've got the weight of the world on your shoulder, look around you're alive. Alhamdulillah." 
(Starfeather - Faizal Tahir)
Sangat menyentuh hati apabila melihat orang tanpa rumah (homeless) menolong yang senasib dengannya. Berkongsi makanan yang sedikit. Berkongsi tempat tidur yang kecil. Membelikan makanan untuk rakan. Kadangkala aku tertanya-tanya, apakah yang mereka fikirkan ketika itu? Bukankah mereka amat memerlukan?

Cuba bayangkan andai ada seorang yang diberi sebungkus makanan. Dia lapar, mungkin seminggu tak makan. Namun ada orang lain disebelahnya yang juga dalam keadaan yang sama. Mungkin orang yang mendapat reseki itu merasakan bahawa dia hanya perlu makan sedikit untuk terus hidup, dan mungkin yang disebelahnya itu lebih teruk keadaannya andai tidak mendapat makanan.

Aku teringat pula kisah drama Nur di TV3 yang sangat popular dua tahun lepas, sehingga diulangtayang Ramadan tahun 2020 ini. Watak utama itu berterima kasih kepada Allah kerana walaupun dia merasakan doa-doanya selama ini tidak dimakbulkan, dia masih dapat bersujud kepada Yang Maha Kuasa. Kerana dalam kalangan orang sekelilingnya, ramai yang sudah berputus asa untuk menjadi lebih baik kerana merasakan diri mereka sudah ditakdirkan berada di lorong. Nur, cahaya di lorong kegelapan. Kerana tanpa kegelapan, cahaya sukar dihargai. Tanpa cahaya pula, mana ada istilah kegelapan.

Secara jujurnya, aku bukanlah dibesarkan dalam kalangan orang yang susah dari sudut ekonomi. Maka, mungkin aku tak mampu menghayati kehidupan mereka. Tafsiranku hanya berdasarkan kisah-kisah yang aku dengar dan baca.

Namun, sesungguhnya setiap manusia ada ujiannya tersendiri. Kadangkala kita melihat orang lain senang kerana mendapat apa yang kita tiada, tetapi kita tidak sedar perkara yang mereka tiada. Kadangkala kita melihat orang lain amat susah kerana tidak mendapat nikmat yang kita perolehi, tetapi yakinlah bahawa mereka ada nikmat lain yang istimewa untuk mereka. Ada kemungkinan ujian orang lain juga lebih hebat walaupun mereka kelihatan lebih senang, kerana kesenangan itu juga ujian.

Nikmat terbesar kita ialah kehidupan dengan Islam dan Iman. Tiada apa yang boleh dilakukan lagi jika tiada kehidupan. Namun, hidup juga tidak bermakna tanpa Islam dan Iman kerana kehidupan sebegitu tidak menjamin akhirat yang membahagiakan kita.

Kita masih hidup menunjukkan Allah masih memberikan kita peluang untuk beramal dan menunjukkan rasa cinta kita terhadapNya. Kita mendapat ujian menunjukkan Allah masih berharap untuk kita meningkatkan kebolehan kita dalam perjalanan menuju redaNya. 

Cuba fikirkan segala perkara yang kita fikir buruk yang telah berlaku. 

Bukankah itu satu pengalaman yang memberi kita kekuatan dan ilmu yang amat berguna dalam kehidupan? 

Bukankah itu selalunya titik perubahan kita? 

Ibarat vaksin yang dimasukkan ke dalam badan. Virus itu bahaya, tetapi virus yang telah mati ini membuatkan antibodi kita lebih kuat untuk melawan virus yang hidup. 

Maka, ujian itu juga membuatkan kita lebih kuat untuk melawan segala ancaman yang lebih berat daripada ujian itu.

Kita boleh mengambil contoh penyakit kemurungan atau masalah kesihatan mental. Memang, ia satu penyakit yang sukar. Tetapi orang yang kuat menghadapi ujian ini dapat membantu orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Sifat empati dapat mengelakkan kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.

Ingatlah, Allah tidak akan memberi ujian yang melebihi kemampuan, dan tiada sesuatu yang dilakukan dengan sia-sia.

Mengapa Allah memberi ujian? Supaya kita dapat membuktikan bahawa kita layak masuk syurga. Supaya kita dapat buktikan kecintaan kepadaNya. Supaya kita menjadi lebih kuat dari yang sebelumnya. 

Andai di sekolah tiada ujian, adakah ramai yang akan mengambil berat sesuatu pelajaran? Bagaimana pentaksiran dilakukan tanpa sebarang cabaran? 

Kita juga sedang bersekolah di sekolah kehidupan. Bezanya dengan kehidupan, Allah menilai secara berterusan dalam usaha kita menangani cabaran. Yang  paling penting adalah semasa, bukan selepas. Hatta para Nabi, Rasul dan Sahabat Baginda diuji dengan sangat dahsyat. 

Nabi Nuh a.s. juga pernah berputus asa dengan kaumnya, melarikan diri sehingga ditelan Nun. Namun, Allah memberi peluang baginda bertaubat, tidak menyuruh ikan itu menelannya sehingga mati.

Kita sememangnya bukan nabi ataupun rasul yang maksum, atau yang dekat dengan mereka. Namun, kita boleh berusaha ke arah itu. Kerana Allah Maha Mengetahui apa yang kita boleh lakukan. Maka, jalan terus!

Teringat sajak 'God, May I Ask' yang aku rasakan membina semangat untuk terus menghadapi ujian yang sukar dalam kehidupan ini.

I asked for strength,
And God gave me difficulties to make me strong;
I asked for wisdom,
And God gave me problems to learn to solve;
I asked for prosperity,
And God gave me brain and brawn to work;
I asked for courage,
And God gave me dangers to overcome;
I asked for love,
And God gave me people to help;
I asked for favors,
And God gave me opportunities.
I received nothing I wanted – I received everything I needed.
My prayer has been answered.

Allah masih memberi kita kehidupan, bermaksud Allah masih memberi peluang kepada kita untuk mendekatkan diri kepadaNya. 

Untuk mencapai keredhaanNya.

Untuk mendapatkan keampunanNya.

Supaya kita semua dapat masuk syurga dengan rahmatNya, dan dapat melihat Allah. InsyaAllah.

Alhamdulillah, I'm alive.