Sunday, January 31, 2021

Tolong, nanti aku belanja al-Quran!

Dia sudah dibuang kerja!

Kalau nak difikirkan kerja yang telah dibuat, seperti tiada apa-apa kelemahan yang nyata. Bahkan, nampak kesungguhan yang dipamerkan untuk menjayakan projek tersebut dalam masa dan bajet yang sepatutnya. Lagipun, bukan majikannya yang terdekat yang memecat, tetapi yang lebih tinggi pangkat. Apa masalahnya?

Dia tahu masalahnya. Majikannya yang sebelum ini juga sudah dipecat. Maka, kini sudah tiba masa untuknya. Dan tiada siapa dapat membantunya kini.

Ada satu rahsia yang dia simpan.

Beberapa hari sebelum itu, dia perasan akan keanehan pada kewangan projek. Jumlahnya tidak sama seperti yang sepatutnya, bahkan kurang. Bukanlah banyak, hanya beberapa sen seunit. Namun, berdasarkan pengalaman lalu, satu sen untuk satu benda pun boleh menjadi banyak apabila berjuta-juta unit dibeli. Contohnya, satu sen seunit menjadikan RM10,000 untuk sejuta unit!

Keraguan itu dilaporkan kepada majikannya yang dipercayai. Hubungan mereka yang rapat menjadikan kepercayaan itu tinggi terhadap integriti masing-masing. Maka, ada harapan untuk menyelesaikan masalah tersebut sekiranya benar ada salahlaku kuasa. Dan majikannya bersetuju untuk melaporkan kepada pihak berkuasa atas keraguan yang munasabah.

Namun, sebelum laporan dibuat, majikannya tiba-tiba dipecat.

Dan dia pula, dibuang pada hari selepasnya. Dia bukanlah pekerja tetap. Hanya pekerja kontrak yang mencari projek untuk diuruskan. Dalam kata lain, lebih kepada freelance. Maka, lebih tepat dikatakan bahawa dia ditamatkan kontrak.

Masalah itu tak terhenti di situ. Dia cuba mencari projek-projek lain, tetapi tak berjaya mendapatkan tempat, lebih-lebih lagi di syarikat besar. Ada kemungkinan bahawa semua syarikat itu sudah menyenaraihitamkannya selepas percubaan pembongkaran itu.

Dia terpaksa berlapar dan mencari pekerjaan lain sepanjang dua tahun kemudian. Cabaran yang perlu dihadapi hanya kerana ingin bersikap jujur. Alhamdulillah, ada projek yang diterima selepas itu.

Kisah ini diinspirasikan dari kisah benar. Ada yang cuba melaporkan rasuah, tetapi seperti diugut. Orang yang berjawatan tinggi, tatkala berasa terancam, akan cuba melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri. Orang yang jujur diperkotak-katikkan, sehingga tidak mendapat kerja langsung akibat penyebaran informasi kepada orang-orang yang setaraf tinggi dan menjadikan amalan rasuah itu perkara yang biasa.

Tahukah anda, kes rasuah di Malaysia sangat membimbangkan? Untuk tahun 2020, kadar rasuah dikatakan lebih membimbangkan dari tahun sebelumnya, berdasarkan Transparency International (TI) Corruption Perceptions Index (CPI). Untuk negara-negara ASEAN, hanya Singapura yang berada pada kedudukan 10 teratas yang paling bagus tahap rasuahnya. Kita perlu lakukan sesuatu! Boleh jadi rasuah ini berlaku dalam kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan dan ahli politik. Namun, kita juga boleh menjadi agen pengubah, lebih-lebih lagi di tempat kerja.

Aku pernah dengar, ada satu masa, secara tiba-tiba ada ayam goreng KFC terletak di dalam pejabat. Dari mana datang duit itu? Bagaimana pula jika ada kawan kita cakap seperti ini:

"Tolong aku clock-in setiap hari boleh? Aku bangun lambatlah. Nanti bulan depan, aku bagi kau al-Quran yang kau suka."

Rasuah yang 'diislamkan'. Perkara itu tetap tak jujur walaupun al-Quran yang menjadi 'hadiah pertolongan' itu. 

Ingatkah kita dengan kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang enggan menggunakan pelita kerjanya untuk urusan keluarga? Betapa tingginya integriti beliau untuk memastikan tiada benda yang disalahgunakan, walaupun hanya sekecil-kecil perkara dan di rumahnya sendiri. Kerana beliau percaya, Allah itu Maha Melihat. Allah itu Maha Mengetahui.

Banyak cabaran untuk menegakkan kebenaran, tatkala kebatilan itu sudah menjadi adat. Tetapi, bagaimana kita boleh mengatakan kita ahli syurga sedangkan kita tak diuji? Hatta diuji dengan perkara yang melibatkan nyawa, menghalang rasuah itu boleh diibaratkan sebagai jihad melawan kebatilan. Menjadi perkara yang kita perlu hadapi untuk mencapai impian akhirat kita. Jalan dakwah ini bukan jalan yang mudah. 

Perkara ini bukan sahaja sepatutnya melibatkan orang Islam. Malah, kita perlu menyebarkan keperluan membanteras rasuah dalam kalangan semua rakyat Malaysia. Orang yang diceritakan pada awal post ini juga sebenarnya bukanlah seorang Muslim, namun dia komited memastikan tiada salah laku dalam projek-projek yang dikendalikannya. 

Ada satu tips untuk melaporkan kes rasuah dengan lebih berjaya, apabila rasuah ini menjadi normal. Yang penting perlu ada hubungan dengan orang yang dipercayai, atau istilahnya networking, lebih-lebih lagi dengan yang berkuasa melakukan perkara yang sepatutnya. Jalan itu mungkin lebih bersimpang siur dari terus melaporkan kepada pihak berkuasa, namun lebih berpotensi berjaya membanteras kes itu seperti mengelakkan dipecat sebelum dilaporkan.

Semoga kita semua dijauhkan dari terlibat dengan rasuah, sama ada memberi atau menerima.

Rujukan:
[1] https://www.theedgemarkets.com/article/malaysia-drops-six-spots-57th-position-corruption-perceptions-index

No comments:

Post a Comment