Sunday, April 17, 2016

Help!!!

"Mari saya tolong awak. Berat tu."
"Eh, tidak mengapa. Nanti saya terhutang budi pula pada awak."

Fenomena ini selalu berlaku saat seseorang mahu menghulurkan bantuan. Terdapat dua golongan yang akan bersikap seperti ini:

Golongan pertama,

Seseorang yang sememangnya tidak mahu menyusahkan orang lain. Kadangkala, sesuatu itu amat sukar sehingga dia tidak mahu orang lain perlu menempuh kesukaran yang sama. Sememangnya ini adalah sesuatu yang baik kerana bukan semua orang boleh melalui ujian yang sama. Walau bagaimanapun, bukanlah menghulurkan pertolongan itu tidak perlu, bahkan sangat dianjurkan. Sikap tolong-menolong dapat meringankan beban orang lain. Contohnya, apabila melihat orang tua yang sedang mengangkat barang yang berat, dan dia kelihatan sangat bersusah payah. Tidak mungkin kita hanya mahu melihat! Pasti ada perasaan belas kasihan terhadapnya, maka bantulah dia.

Lalu bagaimana pula dengan rakan-rakan? Apa yang lebih penting ialah hulurkan bantuan. Mungkin sahaja mereka tidak perlu, tapi kita tidak tahu perasaan yang dialami. Mungkin benda yang diangkat itu kelihatan kecil, namun ketumpatannya amat banyak sehingga benda sekecil pensel boleh menjadi seberat 10 kg!

Bukan sahaja mengangkat barang. Ada orang memerlukan sokongan moral, andai mereka dalam kesedihan dan tekanan perasaan. Ada orang memerlukan sokongan material apabil ditimpa kemiskinan. Ada orang pula hanya memerlukan kasih sayang daripada orang lain, andai mereka rasa disisihkan.

Kembali kepada persoalan utama,

Golongan kedua pula ialah orang yang tidak sanggup membalas budi orang lain. Contohnya, musuhnya ingin membantunya. Tetapi, disebabkan tidak mahu berasa terhutang budi dengannya, dia menolak pertolongan itu. Dalam kata lain, dia ingin mengelak daripada berjasa kepada orang tersebut! Pada pendapat anda, adakah golongan ini dihormati?

" Dan adapun orang yang kikir dan merasakan dirinya cukup (tidak memerlukan pertolongan), serta mendustakan yang terbaik, maka Kami akan mudahkan baginya jalan menuju kesukaran "
(Surah Al-Lail:8-10)

Maka, jawapannya ialah tidak! Mengapa kita tidak mahu menolong orang lain? Bukankah itu suatu yang mulia? Bermusuhan itu dapat dikurangkan dengan membantu satu sama lain. Lebih-lebih lagi, bukan dia sahaja yang dapat meringankan beban, malah kita pun akan mendapat pahala dan kepuasan dalam membantu orang lain.

Ada juga orang yang mahu dibantu, tapi tak mahu membantu. Ini juga perlu dielakkan. Ada pepatah mengatakan,

"Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima"

Lalu, apa yang dielakkan lagi? Marilah kita saling membantu agar kehidupan lebih bermakna dan mudah, insyaAllah.

Credit pictures: Pixabay.com

Saturday, April 16, 2016

Jauhkan diri dari lembah itu!

Pernah ada orang bertanya,

"Kenapa pelajar sekolah agama selalu macam segan dengan orang berlainan jantina walaupun hanya urusan kecil?"

Pernyataan ini dibuat berdasarkan pemerhatiannya terhadap orang di sekelilling, terutama yang satu institusi. Memang, kebanyakan pelajar sekolah agama tidak terlalu bebas bergaul dengan yang berlainan jantina. Bukanlah mereka berlaku riak ataupun sombong (walaupun kadangkala nampak macam sombong), tapi memang itu yang terbaik dalam usaha menjaga pandangan.

Secara jujurnya, saya berasa kecewa apabila ramai perempuan dengan senang hati bergurau senda dengan lelaki. Kadangkala, apabila tiada perempuan yang 'free', mereka mengajak sesiapa yang dikenali termasuk lelaki untuk duduk bersama supaya tidak keseorangan. Dalam whatsapp juga, orang boleh bergurau senda dalam kumpulan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Pasti ramai yang keliru dengan perkataan 'ikhtilat'. Apa yang boleh dan apa yang tidak? Kalau tak boleh, kenapa?

Secara dasarnya, perhubungan antara lelaki dan perempuan (tiada pertalian darah) hanya dibolehkan untuk perkara yang penting sahaja DAN tiada unsur yang boleh menarik sesama mereka. Dalam kata lain, pergaulan perlu dijalankan secara serius, tiada gelak ketawa dan sebagainya. Antara perkara yang diharuskan ialah dalam bidang perubatan dan pelajaran.

Namun, harus ingat. Jika boleh dielakkan, maka elakkanlah. Contohnya, tidak perlu 'study group' dengan yang berlainan jantina sekiranya ada rakan-rakan sendiri yang boleh belajar bersama.

Eh, tapi apa salahnya belajar sekali?

Tidak salah untuk belajar, tapi 'study group' amat sukar untuk kekal dalam topik yang sama. Selepas setengah jam, mungkin sudah penat dan sembang sekejap. Ataupun tiba-tiba tertukar topik lain. Mungkin juga seseorang dalam kumpulan itu mudah tertarik dengan orang lain apabila selalu bertemu. Bukankah lebih mudah dengan orang yang kita lebih mesra? Kita dapat mengelakkan diri daripada menDEKATi zina!

Kalau dapat tahan diri?

Siapa yang betul-betul pasti dapat menahan nafsu? Kita tak dapat jangka! Bahkan boleh jadi seorang ustaz itu tatkala imannya rendah, terjerumus ke lembah maksiat. Tiada siapa yang betul-betul pasti tentang masa hadapan, melainkan ALLAH. Kerana itulah, dalam Al-Quran ALLAH ada menyebut :

"Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka...... . dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka"
Surah An-Nur 30-31

Allah menyebut "menahan penglihatan"! Kerana dari penglihatan itu boleh mendekatkan diri kepada zina. Tapi apa maksudnya menahan? Perlu sentiasa tunduk? Selalunya, orang akan tertarik apabila dia melihat ke arah mata seseorang. Guru saya dulu ada berkongsi pengalamannya, yang mana dia sudah biasa mengelakkan memandang mata lelaki dengan melihat ke arah benda berdekatan dengannya. Contohnya, dia kelihatan seperti memandang orang itu, tetapi sebenarnya dia melihat kepada basikal di belakang.

Dalam ayat tersebut juga disebut "menjaga kehormatan." Apa yang dilihat pada masa kini perempuan seperti makin hilang kehormatan. Pernah saya mendengar seorang perempuan diejek kerana ketawanya yang berdekah-dekah. Ada juga yang ditertawakan kerana mempamerkan muka yang aneh-aneh dalam gambar. Lelaki pula agak kurang mungkin kerana sikap lelaki yang amat menjaga penampilan diri. Namun kedua-duanya wajib menjaga kehormatan diri.

Mengapa? Kerana kita mahu mempamerkan Islam yang indah. Mahukan kita menjadikan orang yang tidak senonoh sebagai pemimpin kita? Tentu sahaja tidak. Semua orang bercita-cita untuk menyumbang kepada masyarakat (kalau tidak, apa gunanya hidup?). Inilah salah satu cara yang mudah. Masyarakat akan menghormati kita dan seterusnya mengikut akhlak Islam, dan akhirnya suasana yang baik dapat diwujudkan.

Berubahlah untuk kebaikan sejagat!

Info lanjut mengenai ikhtilat, boleh rujuk:
http://www.tarbiahsentap.com/2013/08/kekeliruan-dalam-ikhtilat.html
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.1031653643538400.1073741831.171793509524422&type=3
http://angelwearsgucci.blogspot.com/2013/09/faq-ikhtilat.html




Saturday, April 2, 2016

1 April

Kami baru sahaja selesai menghadiri program di kawasan kampus pada waktu malam. Suasana sejuk menyelubungi badan walaupun musim bunga sudah datang. Sambil menunggu rakan kami yang membawa kereta sampai, kami duduk sebentar di luar, menikmati keindahan alam. Ingin juga masuk ke dalam bangunan kerana sejuk, tapi malangnya pintu itu dikunci dari dalam. Terpaksalah kami menahan sejuk ini.

Sedang kami sibuk melihat telefon, tiba-tiba datang dua orang lelaki duduk di sebelah kami. Kelihatan mereka sedang menunggu rakan mereka juga. Namun, aku berasa tidak senang hati. Lantas, kami berbincang dalam bahasa Melayu (mereka berbangsa Amerika, jarang orang Amerika tahu bahasa Melayu. :D)

"Kenapa mereka duduk sini? Macam pelik."
"Tengah tunggu kawan mungkin."
"Kita duduk tempat lainlah."
"Nak pindah? Ok."

Rakanku tiba-tiba mengangkat telefon. "Coming? Ok." Lantas kami berkemas dan bergerak ke belakang.

"Baaaaaaarrghhh!!"

Tanpa kami sedar, dua lelaki itu menyergah kami dari belakang. Aku terkejut dan menarik rakanku ke depan, tapi rakanku tergamam dan membalas sergahan itu. Dan mereka pergi selepas itu sambil tertawa...

*** 

Semalam di laman BukuMuka, tersebar berita tentang Google yang meminta maaf kerana jenaka (prank) yang dibuatnya telah menyusahkan pelbagai pihak, termasuklah beberapa orang yang risau mereka akan dibuang kerja. Google telah menambah satu butang hantar (send) yang khas untuk menambah animasi 'Minion' yang sedang menjatuhkan mikrofon. Setelah menerima reaksi negatif daripada para pengguna, mereka segera memadam butang itu untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku lagi.

Credit: http://www.techinsider.io/googles-mic-drop-april-fools-2016-3


***

Kita lihat pula dalam sirah Rasulullah s.a.w. Baginda juga pernah bergurau, namun apa yang dikatakan itu benar belaka.

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh seorang tua berkenaan orang yang masuk ke dalam syurga. Baginda menjawab bahawa hanya pemuda-pemudi yang berada di dalam syurga, tiada yang sudah tua. Lantas, orang tua itu berasa amat sedih. Lalu Baginda menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang masuk ke dalam syurga akan berada dalam keadaan muda, walaupun dia sudah tua di dunia. Ini bermakna, semua akan kembali remaja apabila  di dalam syurga.

Itulah gurauan Rasulullah s.a.w. Baginda tidak membuat fitnah. Baginda tidak menyusahkan orang lain. Baginda tidak menakutkan orang lain. Itulah sifat 'Al-Amin', yang dipercayai. Bukankah itu sifat yang disenangi orang ramai?

Islam tidak melarang hiburan, jauh sekali mengharamkannya. Walau bagaimanapun, hiburan itu ada batasannya. Janganlah kerana kesenangan kita seorang, orang lain dicemuh dan dihina. Gurauan yang baik ialah gurauan yang benar. :)

Seperti dalam nasyid Raihan - Mari Berhibur


_______________
Alhamdulillah.. 2 posts in 2 days. :D




Friday, April 1, 2016

Giginya patah, namun masih tersenyum!

Manusia itu, giginya patah namun masih tersenyum!


*****

Semua orang kelihatan kelam kabut. Pertahanan semakin lemah. Musuh semakin giat melancarkan serangan untuk membunuh Lelaki yang paling disanjung itu. Akibat sedikit kealpaan, mereka ditimpa kesusahan.

Sebentar tadi, pihak Islam hampir sahaja memenangi Perang Uhud ini. Melihatkan musuh ingin berundur, mereka cepat menafsirkan bahawa perang ini sudah berakhir dan tiba masanya untuk mengambil rampasan perang. Walau bagaimanapun, sangkaan itu tidak benar.

Khalid Al-Walid, yang ketika itu masih belum memeluk Islam, mengarahkan tenteranya menyerang Rasulullah s.a.w. saat menyedari tentera Islam sudah meninggalkanNya. "Bukankah Rasulullah s.a.w. sudah menyuruh kalian kekal di tempatmu sehingga perang tamat?" Namun, sudah terlambat. Pipi Rasulullah s.a.w. ditembusi tombak. Darah mengalir keluar. Semua umat Islam tergamam ketika itu. Musuh pula berteriak gembira, menyangkakan Rasulullah s.a.w. meninggal dunia.

Credit: http://warofweekly.blogspot.com/2010/11/macam-macam-tombak.html

Saat kritikal itu, seorang lelaki datang kepada Rasullullah s.a.w. Tanpa disangka, beliau menggunakan giginya untuk mencabut tombak itu! Sakitnya teramat sungguh! Namun, bukan itu yang dia fikirkan. Kekasihnya selamat, Alhamdulillah... Rasulullah s.a.w. selamat walaupun Islam tidak memenangi perang itu.

Setiap kali berjumpa dengannya, lelaki itu sentiasa tersenyum, menampakkan giginya yang sudah patah. Alangkah indahnya perasaan itu, dapat berkorban demi Rasulullah s.a.w. yang tercinta.

*****

Itulah ABU UBAIDAH AL-JARRAH, sahabat yang sentiasa tersenyum.

Adakah cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. sehingga tahap itu? Sanggup berkorban dan menanggung kesakitan demi Baginda s.a.w.?


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang memiliki 3 perkara nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa dia mengasihi Allah dan RasulNya lebih dari yang lain dan dia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka."
(HR Bukhari dan Muslim)

Mujahadah itu pahit, kerana iman dan syurga itu manis!
Credit: https://www.healthydietadvisor.com/why-sugar-is-making-you-fat-and-how-to-avoid-it

Tatkala seseorang itu merasakan manisnya iman, hidup ini tidak akan melunturkan semangatnya. Tiada sesiapa yang boleh menjatuhkannya, namun dia tidak meninggi diri.


"Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya." 
(Hadis riwayat Muslim)

Credit: https://en.wikipedia.org/wiki/Keep_Calm_and_Carry_On

Semestinya semua orang mengidamkan hidup seperti itu, sentiasa tenang dan gembira walaupun ujian menimpa. Itulah kehidupan orang yang merasakan kemanisan iman.

Namun, bagaimana kita dapat mengekspresikan kecintaan kita kepada Baginda saat Baginda tiada di sisi? Melalui sunnah Baginda! Baginda idola kita. Sentiasalah mengikut perintah Baginda, perlakuan Baginda. Seandainya ingin melakukan kemungkaran, ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w. amat sayangkan kita, dan Baginda tidak mahu kita dimasukkan ke dalam api neraka. Dan apabila seseorang menegur kita melakukan kesilapan, sedarlah Allah s.a.w. telah menghantar dia untuk menegur. Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. menyayangi kita!

Abu Ubaidah Al-Jarrah menunjukkan betapa kasih dan cintanya kepada Baginda. Kita pula, bagaimana?

*****

Thank you Brother Hemayatullah for the inspiring stories!