Saturday, April 16, 2016

Jauhkan diri dari lembah itu!

Pernah ada orang bertanya,

"Kenapa pelajar sekolah agama selalu macam segan dengan orang berlainan jantina walaupun hanya urusan kecil?"

Pernyataan ini dibuat berdasarkan pemerhatiannya terhadap orang di sekelilling, terutama yang satu institusi. Memang, kebanyakan pelajar sekolah agama tidak terlalu bebas bergaul dengan yang berlainan jantina. Bukanlah mereka berlaku riak ataupun sombong (walaupun kadangkala nampak macam sombong), tapi memang itu yang terbaik dalam usaha menjaga pandangan.

Secara jujurnya, saya berasa kecewa apabila ramai perempuan dengan senang hati bergurau senda dengan lelaki. Kadangkala, apabila tiada perempuan yang 'free', mereka mengajak sesiapa yang dikenali termasuk lelaki untuk duduk bersama supaya tidak keseorangan. Dalam whatsapp juga, orang boleh bergurau senda dalam kumpulan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Pasti ramai yang keliru dengan perkataan 'ikhtilat'. Apa yang boleh dan apa yang tidak? Kalau tak boleh, kenapa?

Secara dasarnya, perhubungan antara lelaki dan perempuan (tiada pertalian darah) hanya dibolehkan untuk perkara yang penting sahaja DAN tiada unsur yang boleh menarik sesama mereka. Dalam kata lain, pergaulan perlu dijalankan secara serius, tiada gelak ketawa dan sebagainya. Antara perkara yang diharuskan ialah dalam bidang perubatan dan pelajaran.

Namun, harus ingat. Jika boleh dielakkan, maka elakkanlah. Contohnya, tidak perlu 'study group' dengan yang berlainan jantina sekiranya ada rakan-rakan sendiri yang boleh belajar bersama.

Eh, tapi apa salahnya belajar sekali?

Tidak salah untuk belajar, tapi 'study group' amat sukar untuk kekal dalam topik yang sama. Selepas setengah jam, mungkin sudah penat dan sembang sekejap. Ataupun tiba-tiba tertukar topik lain. Mungkin juga seseorang dalam kumpulan itu mudah tertarik dengan orang lain apabila selalu bertemu. Bukankah lebih mudah dengan orang yang kita lebih mesra? Kita dapat mengelakkan diri daripada menDEKATi zina!

Kalau dapat tahan diri?

Siapa yang betul-betul pasti dapat menahan nafsu? Kita tak dapat jangka! Bahkan boleh jadi seorang ustaz itu tatkala imannya rendah, terjerumus ke lembah maksiat. Tiada siapa yang betul-betul pasti tentang masa hadapan, melainkan ALLAH. Kerana itulah, dalam Al-Quran ALLAH ada menyebut :

"Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka...... . dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka"
Surah An-Nur 30-31

Allah menyebut "menahan penglihatan"! Kerana dari penglihatan itu boleh mendekatkan diri kepada zina. Tapi apa maksudnya menahan? Perlu sentiasa tunduk? Selalunya, orang akan tertarik apabila dia melihat ke arah mata seseorang. Guru saya dulu ada berkongsi pengalamannya, yang mana dia sudah biasa mengelakkan memandang mata lelaki dengan melihat ke arah benda berdekatan dengannya. Contohnya, dia kelihatan seperti memandang orang itu, tetapi sebenarnya dia melihat kepada basikal di belakang.

Dalam ayat tersebut juga disebut "menjaga kehormatan." Apa yang dilihat pada masa kini perempuan seperti makin hilang kehormatan. Pernah saya mendengar seorang perempuan diejek kerana ketawanya yang berdekah-dekah. Ada juga yang ditertawakan kerana mempamerkan muka yang aneh-aneh dalam gambar. Lelaki pula agak kurang mungkin kerana sikap lelaki yang amat menjaga penampilan diri. Namun kedua-duanya wajib menjaga kehormatan diri.

Mengapa? Kerana kita mahu mempamerkan Islam yang indah. Mahukan kita menjadikan orang yang tidak senonoh sebagai pemimpin kita? Tentu sahaja tidak. Semua orang bercita-cita untuk menyumbang kepada masyarakat (kalau tidak, apa gunanya hidup?). Inilah salah satu cara yang mudah. Masyarakat akan menghormati kita dan seterusnya mengikut akhlak Islam, dan akhirnya suasana yang baik dapat diwujudkan.

Berubahlah untuk kebaikan sejagat!

Info lanjut mengenai ikhtilat, boleh rujuk:
http://www.tarbiahsentap.com/2013/08/kekeliruan-dalam-ikhtilat.html
https://www.facebook.com/media/set/?set=a.1031653643538400.1073741831.171793509524422&type=3
http://angelwearsgucci.blogspot.com/2013/09/faq-ikhtilat.html




No comments:

Post a Comment