Saturday, April 2, 2016

1 April

Kami baru sahaja selesai menghadiri program di kawasan kampus pada waktu malam. Suasana sejuk menyelubungi badan walaupun musim bunga sudah datang. Sambil menunggu rakan kami yang membawa kereta sampai, kami duduk sebentar di luar, menikmati keindahan alam. Ingin juga masuk ke dalam bangunan kerana sejuk, tapi malangnya pintu itu dikunci dari dalam. Terpaksalah kami menahan sejuk ini.

Sedang kami sibuk melihat telefon, tiba-tiba datang dua orang lelaki duduk di sebelah kami. Kelihatan mereka sedang menunggu rakan mereka juga. Namun, aku berasa tidak senang hati. Lantas, kami berbincang dalam bahasa Melayu (mereka berbangsa Amerika, jarang orang Amerika tahu bahasa Melayu. :D)

"Kenapa mereka duduk sini? Macam pelik."
"Tengah tunggu kawan mungkin."
"Kita duduk tempat lainlah."
"Nak pindah? Ok."

Rakanku tiba-tiba mengangkat telefon. "Coming? Ok." Lantas kami berkemas dan bergerak ke belakang.

"Baaaaaaarrghhh!!"

Tanpa kami sedar, dua lelaki itu menyergah kami dari belakang. Aku terkejut dan menarik rakanku ke depan, tapi rakanku tergamam dan membalas sergahan itu. Dan mereka pergi selepas itu sambil tertawa...

*** 

Semalam di laman BukuMuka, tersebar berita tentang Google yang meminta maaf kerana jenaka (prank) yang dibuatnya telah menyusahkan pelbagai pihak, termasuklah beberapa orang yang risau mereka akan dibuang kerja. Google telah menambah satu butang hantar (send) yang khas untuk menambah animasi 'Minion' yang sedang menjatuhkan mikrofon. Setelah menerima reaksi negatif daripada para pengguna, mereka segera memadam butang itu untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku lagi.

Credit: http://www.techinsider.io/googles-mic-drop-april-fools-2016-3


***

Kita lihat pula dalam sirah Rasulullah s.a.w. Baginda juga pernah bergurau, namun apa yang dikatakan itu benar belaka.

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh seorang tua berkenaan orang yang masuk ke dalam syurga. Baginda menjawab bahawa hanya pemuda-pemudi yang berada di dalam syurga, tiada yang sudah tua. Lantas, orang tua itu berasa amat sedih. Lalu Baginda menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang masuk ke dalam syurga akan berada dalam keadaan muda, walaupun dia sudah tua di dunia. Ini bermakna, semua akan kembali remaja apabila  di dalam syurga.

Itulah gurauan Rasulullah s.a.w. Baginda tidak membuat fitnah. Baginda tidak menyusahkan orang lain. Baginda tidak menakutkan orang lain. Itulah sifat 'Al-Amin', yang dipercayai. Bukankah itu sifat yang disenangi orang ramai?

Islam tidak melarang hiburan, jauh sekali mengharamkannya. Walau bagaimanapun, hiburan itu ada batasannya. Janganlah kerana kesenangan kita seorang, orang lain dicemuh dan dihina. Gurauan yang baik ialah gurauan yang benar. :)

Seperti dalam nasyid Raihan - Mari Berhibur


_______________
Alhamdulillah.. 2 posts in 2 days. :D




No comments:

Post a Comment