10 minit berlalu. Bas masih belum sampai. Aku memeriksa kembali Google Maps. Tiba-tiba aku perasan bahawa perhentian yang ditanda adalah di seberang kami, dan kemudian bas itu akan berpatah balik. Peta itu seperti tidak betul. "Ada ke bas yang patah balik?" Sebelum ini pun, pernah juga dipaparkan seperti itu, tapi kami menaiki bas yang betul tanpa mengikut arahan Google. Tidak sempat aku berbincang dengan rakanku, bas pun sampai. Kami segera berlari ke arah bas.
10 minit kemudian, aku perasan kami sudah berada di kawasan Mall yang lebih kurang sejam dari rumah kami. "Eh, kita makin jauh dari rumah! Walmart tadi setengah jam sahaja. Ini sudah sejam kalau nak balik rumah." Rupa-rupanya, kata Dr Google betul. Maka, bertapalah kami di dalam bas... Bas itu akan berpusing selepas 20 minit di perhentian terakhir, dan selepas itu barulah kami memulakan perjalanan pulang.
Perut berbunyi. Lapar. Potato chips yang dibeli sebentar tadi dibuka. "Do you want some?" kami bertanya kepada makcik yang bersama kami menunggu di dalam bas. "Oh, thank you. I just ate sandwiches at Wendy's." Kemudian bermulalah perbualan kami dengannya, memandangkan hanya kami berada di dalam bas itu.
"Are you students at the university here?"
"Yes, we are studying chemical engineering."
"Oh, good. What is your plan in the future? I mean, what do you want to do after you graduate?"
"Umm... To be an engineer." (Belajar engineering, mestilah jadi engineer, kan?)
"What business do you want to do?"
"Oh, hmm.. We do not think about that yet..."
Makcik itu pun bercerita tentang rancangannya untuk membuat bisnes kasut. Masalah yang dihadapinya ialah kasutnya terlalu mahal untuk dibeli. Disebabkan saiz kakinya yang besar, iaitu saiz 11, tidak banyak kedai yang menjual kasut perempuan sebegitu besar. Jika ada pun, yang banyak ialah kasut lelaki ataupun terlalu mahal. Dalam hati, aku bersyukur dengan kakiku. Saiz kaki ini pun nikmat. Kadang-kadang, kasut kanak-kanak yang lebih murah juga muat. Kembali kepada bisnes makcik itu. Dia berpandangan positif terhadap rancangannya itu. "I am sure that this business will be great. See, women with big feets should not pay more for the shoes. It is not fair, right?" Aku pun mengiyakan rancangannya, dengan harapan bisnesnya akan berjaya.
![]() |
| Kredit: hikingartist.com/thrive/bigshoe_fritsal |
Selalunya, kesusahanlah yang akan menyebabkan kita berjaya membuat sesuatu yang sangat berguna untuk orang ramai. Dalam subjek reka cipta yang aku belajar untuk SPM dahulu pun, langkah pertama dalam proses mereka cipta ialah pernyataan masalah, bukannya kemudahan yang kita ada. Contohnya, baru-baru ini pelajar MRSM berjaya memenangi pertandingan reka cipta peringkat antarabangsa dengan ciptaan 'powerbank' daripada air garam. Pencetusnya? Masalah banjir yang dihadapi di Kelantan dua tahun lalu. Mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan elektrik, lantas garam boleh dijadikan alternatif untuk mendapatkan kuasa elektrik selain daripada soket biasa. (berita)
Oleh itu, ujian itu sebenarnya nikmat bagi kita. Boleh jadi ujian itu adalah pencetus kepada kejayaan kita pada masa hadapan, seperti kisah tadi. Ujian juga mungkin tanda Allah sayangkan kita, tidak mahu hambaNya terus terpesong daripada landasan yang benar. Agar diri in sentiasa memohon kepada Allah, rapat dengan yang Maha Berkuasa.
Dalam kisah di atas, ujian itu pencetus kepada idea untuk menjadi usahawan. Dalam satu hadith daif, ada disebutkan bahawa 9/10 rezeki datang daripada perniagaan. Jika kita hayati kisah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dulu, ramai dalam kalangan mereka yang merupakan ahli perniagaan.
Rasulullah s.a.w. sendiri sewaktu kecil mengembala kambing. Sewaktu berumur 12 tahun, baginda berniaga bersama Abu Talib di Syam. Seterusnya, baginda berniaga bersama Khadijah r.a. Menariknya, perniagaan Rasulullah s.a.w. sentiasa mendapat sambutan kerana sikapnya yang amat jujur. Tiada timbangan yang kurang, baki pun cukup, jualan juga semua berkualiti.
Abdul Rahman bin Auf r.a. pula terkenal dengan kisahnya di Madinah. Datang sehelai sepinggang ke sana, dalam beberapa hari sahaja, beliau sudah memiliki harta kembali, sepertimana di Makkah. Apa yang beliau buat? Berniaga! Kepakarannya dalam perniagaan memudahkan dirinya untuk berbakti di jalan Allah dengan menyumbangkan hartanya.
Begitu juga Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan dan ramai lagi. Ramai yang bermula daripada bawah, kemudian berjaya dengan perniagaan. Mungkin ada orang yang berpendapat bahawa ini semua dunia semata-mata. Kenapa kita perlu berniaga? Jadi pekerja biasa tak boleh ke?
- Bukankah kita bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi? Perniagaan dapat memudahkan kehidupan manusia. Contohnya, kalau tiada orang yang menjual hasil pertanian, bagaimana para jurutera mahu mendapatkan makanan? Bagaimana pula petani-petani mahu mendapatkan rawatan sekiranya sakit jika tiada para doktor? Semua orang memainkan peranan masing-masing di dunia ini, juga saling membantu. Jika semua orang mahu melakukan semua perkara sendiri, bagaimana manusia dapat berhubung? Malah, menyusahkan diri sendiri!
- Harta yang banyak selalunya diperoleh oleh orang atasan, seperti CEO syarikat. Dengan harta, kita dapat menyumbang untuk pembangunan Islam. Contohnya, membina sekolah, menjual keperluan seperti makanan dan sebagainya. Benar, harta bukanlah segalanya. Namun, wang dapat membuka peluang yang luas untuk kita menyumbang. Bayangkan sekiranya kita tiada wang, sukarlah untuk berjalan ke sana ke mari membantu orang ramai. Bahkan dengan hanya mempunyai kereta, ramai orang yang tiada kenderaan dapat dibantu.
- Islam menganjurkan kita berusaha yang terbaik dalam kehidupan. Boleh sahaja jadi pekerja, namun jadilah pekerja yang berdedikasi dan terbaik. Bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tetapi takkan kita mahu orang Islam dipandang seperti orang biasa ataupun lebih rendah lagi? Apabila kita menjadi yang terbaik, Islam akan dipandang tinggi. Boleh jadi non-muslim akan tertarik dengan Islam kerana akhlak kita yang hebat.
Malah, Ali bin Abi Talib pernah menyatakan,
"Zuhud itu meletakkan dunia di tangan, bukan di hati."
Dunia tidak perlu ditinggalkan terus, tetapi tidak dijadikan sebagai tujuan utama kehidupan. Tujuan kita adalah akhirat.
Hidup untuk akhirat.
Dunia merupakan tempat untuk kita menunjukkan kesyukuran kita kepada Allah. Selagi kita tidak menjadikan dunia sebagai matlamat utama kita, pekerjaan kita dianjurkan dalam Islam. Dalam bekerja, niatkan untuk memberi kemudahan kepada orang lain. Dalam berniaga, niatkan untuk menyumbang kepada Islam.
Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya."
[6:32]
Berniaga itu tidak salah, asalkan kita mengikut syariat Islam. Carilah potensi diri kita, untuk berniaga walaupun kecil-kecilan.
Semoga Allah membantu kita dalam urusan dunia menuju ke akhirat yang kekal abadi.

No comments:
Post a Comment