![]() |
Kredit: http://razosmana.blogspot.com/2013/04/tuntunan-shalat-berjamaah-menurut.html
|
Berdasarkan pengalaman saya, solat berjemaah ini sememangnya banyak faedahnya secara tidak langsung.
- Semestinya, mengeratkan silaturrahim.
Bahu ke bahu, kaki ke kaki. Selepas solat dan berdoa, biasanya para jemaah akan bersalaman dan saling memaafkan. Tanpa solat jemaah, adakah kita akan dapat merapatkan diri dengan orang lain, lebih-lebih lagi yang tak dikenali? Rasanya adakah waktu lain yang kita akan menjadi terlalu rapat dengan orang lain?
Adakalanya, jika bukan di masjid, kita akan mengajak rakan di rumah untuk solat bersama. Mungkin ada yang kita jarang bercakap dengannya, mungkin ada yang kita sedang berasa kecil hati. Namun, ganjaran yang dijanjikan Allah sangat sukar untuk ditolak. Motivasi ini boleh menggerakkan kita untuk mendekati rakan kita itu, dan seterusnya mungkin akan mengeratkan hubungan serta melapangkan hati kita. - Melatih kepimpinan
Kredit: http://www.kaizen-news.com/kaizen-leaders-role/
Imam merupakan pemimpin dalam solat jemaah. Sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin dalam jangka masa yang singkat ini, lebih-lebih lagi jika antara rakan-rakan. Melalui pengalaman saya, biasanya kami akan bertukar-tukar giliran sebagai imam jika solat di rumah. Maka semua orang dapat rasa menjadi imam. Peluang sebegini jarang didapati dalam urusan dunia, yang mana ketua akan memimpin dalam jangka masa yang lama dan hanya boleh dilaksanakan oleh ketua yang berdedikasi. Sebaliknya, imam tugasnya hanyalah memimpin gerakan dan bacaan, tugas yang mudah, bukan? Asalkan bacaannya baik, dia boleh menjadi imam. - Menyempurnakan solat
Jika ada dalam kalangan kita yang tidak mempunyai bacaan yang baik pula bagaimana? Maka itulah tugas yang lain untuk memotivasikan rakan kita itu. Berikan dia masa, mungkin dalam dua bulan, berdasarkan bacaannya. Maka dia pasti akan berasa semangat untuk melatih bacaannya dalam solat, secara tidak langsung menyempurnakan lagi solatnya.
Ada juga imam yang kadangkala terlupa beberapa ayat yang dibaca. Dengan adanya makmum di belakang, ayat tersebut dapat diingatkan kembali. Makmum boleh membacakan ayat yang betul dengan kuat apabila imam tersilap, supaya bacaan dapat dibetulkan.
Saya juga pernah beberapa kali khilaf, terlupa rakaat yang telah dilaksanakan. Namun, solat berjemaah selalunya dapat mengurangkan kesilapan itu, dengan mengikut perlakuan imam. Imam juga apabila tersilap, boleh ditegur oleh makmum yang mengucapkan tasbih (bagi lelaki) ataupun menepuk tangan (bagi perempuan). Secara tidak langsung, sikap saling mengingatkan dapat diterapkan.
Sebenarnya, banyak lagi kelebihan-kelebihan solat jemaah. Sememangnya Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya, di samping tidak menyusahkan kita. Solat berjemaah ini Fardhu Kifayah, hanya segolongan dalam satu masyarakat yang wajib melakukannya. Jika solat berjemaah ini wajib kepada semua, bukankah sukar sekiranya kita keseorangan? Maka menunaikan solat itu lebih penting. Jangan pula meninggalkan solat apabila tiada orang untuk solat bersama-sama. Namun, apabila ada peluang, jangan sia-siakannya. 27 darjat, tak nak?

No comments:
Post a Comment