![]() |
| Kredit: http://www.forbes.com/sites/deborahljacobs/2014/06/25/summer-reading-listening-to-audiobooks-while-you-do-something-else-is-the-ultimate-in-multitasking/#3fb22fef1435 |
Perpustakaan di universiti sangat berbeza dengan perpustakaan komuniti. Di universiti, apa yang saya lihat apabila masuk ialah komputer, laptop, desktop. Di rak-rak pula, kebanyakan buku adalah untuk kajian dan jurnal-jurnal rujukan. Kebanyakan pelajar ke perpustakaan hanya untuk menggunakan komputer (termasuk saya. :P), walaupun ada juga yang datang untuk mendapatkan suasana senyap. Walau bagaimanapun, kebanyakan perpustakaan-perpustakaan di sini terlibat dalam satu kumpulan yang melibatkan seluruh negeri (Contoh: OhioLink). Para pelajar atau mana-mana ahli perpustakaan boleh meminjam buku dari tempat lain, dengan cara buku tersebut dihantar ke tempat masing-masing. Contohnya, buku dari State Library dihantar ke perpustakaan universiti. Oleh itu, kekurangan sumber di perpustakaan sendiri bukanlah penghalang. Begitulah antara kelebihan perpustakaan di sini.
| Kredit: https://andersoncompanies.com/anderson_portfolio/osu-thompson-library/ |
Membaca sememangnya penting dalam kehidupan kita: dapat ilmu, merangsang perkembangan minda, mengetahui adat resam kaum dan negara lain, mengisi masa lapang, mengembangkan imaginasi dan sebagainya. Eh, bagaimana membaca boleh mengembangkan imaginasi? Berbanding dengan menonton filem, minda akan cuba membayangkan apa yang dibaca, bukan hanya menerima. Cuba fikir, apabila kita membaca novel, kemudian menonton cerita yang sama, selalunya bayangan kita akan berbeza daripada yang ditonton. Sebaliknya, apabila novel dibaca selepas menonton, kita akan lebih ke arah membayangkan filem yang ditonton. Sebagaimana yang kita semua tahu, antara ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. juga menyuruh kita membaca.
"Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan."
(Al-Alaq:1)
Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang ummi (tidak pandai membaca), Allah s.w.t. menyuruh Baginda s.a.w. membaca. Ironi, bukan? Namun, apa yang ditekankan di sini ialah kunci kepada segala-segalanya ialah membaca. Walaupun Baginda s.a.w. tidak pandai membaca, dengan panduan daripada Allah s.w.t., Al-Quran itu menjadi sumber yang amat penting bagiNya. Allah s.w.t. menyuruh kita merangsang pemikiran kita, bukan hanya membaca, kemudian, "Oh, begitu." Selepas itu, tamat. Allah s.w.t. menyuruh kita berfikir dan berfikir, walaupun apabila melihat. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyarankan kita melihat dan berfikir tentang ciptaan Allah.
"Maka tidakkah mereka melihat unta, bagaimana mereka diciptakan?"
(Al-Ghasyiyah:17)
Pernahkah kita berfikir begitu apabila melihat unta? Bagaimana adanya bonggol, bagaimana mereka boleh bertahan di padang pasir, bagaimana mereka boleh membawa barang yang berat?
Kembali kepada membaca. Bahan bacaan yang bagaimana mahu dipilih? Pilihlah yang dapat memberi manfaat kepada kita. Tak semestinya hanya buku-buku tafsir, syariah, akhlak. Buku motivasi pun bermanfaat. Novel juga ada yang bermanfaat, yang diselitkan motivasi, moral, agama, ilmu dan sebagainya. Ada juga buku-buku yang merangsang minda, seperti buku penyiasatan. Buku-buku Inggeris juga bermanfaat, walaupun mereka bukan Islam. Kita boleh membaca idea-idea mereka yang hebat. Bukan Islam bukanlah bermaksud kita tak boleh langsung mengambil idea mereka. Dalam sejarah pun, tatkala umat Islam di zaman kegemilangan, tiada masalah untuk umat Islam berkongsi ilmu dengan orang bukan Islam. Maka tiada salah untuk kita saling berkongsi ilmu, asalkan kita tahu batas-batas iman kita, tahu apa yang benar dan salah. Asalkan kita pilih buku bermanfaat, itu sudah bagus!
Namun, jangan lupa perkara yang amat penting, disebut dalam Hadis pertama dalam hadis 40 Imam An-Nawawi.
"Sesungguhnya amalan itu bermula dengan niat,..."
(Hadith 40 Imam An-Nawawi)
Kunci paling penting untuk mendapat pahala! Rugilah jika kita melakukan perkara yang baik, tapi pahalanya ... Niatkan untuk mendapat ilmu, dan berkongsi ilmu supaya dapat meningkatkan iman ke arah keredaan Allah. Buku motivasi pun? Ya, kita akan lebih bermotivasi untuk memakmurkan bumi sebagaimana yang diperintahkan Allah. Novel? Supaya kita dapat mengetahui budaya orang lain, mengelakkan perpecahan akibat salah faham. Ini hanyalah contoh-contoh.
Akhir sekali, ilmu-ilmu melalui bacaan itu kalau boleh, kongsikan kepada orang lain. Ingat, ilmu yang bermanfaat meruupakan antara amalan yang tidak terputus apabila meninggal dunia. Walaupun kita hanya menyampaikan ilmu daripada bacaan yang ditulis oleh orang lain, kita juga telah menyebarkannya.
“Jika seorang manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya.”
(HR Muslim (1631))
Semoga amalan kita sentiasa mendapat keredaan Allah, InsyaAllah! :D


No comments:
Post a Comment