Satu buku yang jika kita menelaah dan menghayati, takkan habis dikupas sehingga akhir hayat. Malah, Penulisnya memiliki ilmu yang tidak terkira. Jika digunakan semua air laut di dunia ini untuk menulis pun, tidak akan habis ilmuNya ditulis. Jika kita belajar sepanjang hayat pun, takkan habis ilmu dipelajari. Bahkan, banyak kupasan-kupasan yang telah dibuat berdasarkan buku ini. Tetapi masih ada lagi ruang untuk mencambahkan lagi ilmu daripadanya.
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan."
(Al-Kahfi:109)
Bagaimana mahu mendapatkan ilmu daripada kitab yang serba hebat ini? Setiap orang ada caranya. Ada orang suka berfikir tentang fakta dan kebesaranNya. Ada orang suka berfikir tentang perasaan dekat denganNya. Ada orang suka berfikir tentang tujuan kehidupan sebagai manusia. Semua ini sebenarnya perlu dalam kehidupan manusia, tetapi tidak salah untuk fokus kepada satu aspek dengan tidak memperkecilkan aspek-aspek yang lain.
Al-Quran merupakan kitab yang sangat hebat dari segi linguistik dan fakta. Syarahan Nouman Ali Khan sangat membantu untuk memahami aspek ini. Banyak simetri yang boleh didapati sama ada secara kesuluruhan al-Quran dan surah, mahupun hanya satu ayat. Satu-satu ayat pula boleh diinterpretasikan dengan banyak makna, yang boleh didapati dalam pelbagai kitab tafsir. Setiap ulama boleh berbeza pandangan tentang maksud satu ayat, dan semua tafsiran itu membawa makna yang penting. Satu perkataan juga boleh membawa banyak makna, yang juga setiap daripadanya boleh ditafsirkan secara logik oleh para ulama. Betapa hebatnya linguistik al-Quran ini, sehingga tiada sesiapa yang boleh mencipta kitab sebegini walaupun seluruh manusia berkerjasama menyumbangkan idea dan ilmu.
| Mari berfikir, seperti tengkorak ini |
"Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar."
(Al-Baqarah: 23)
Ada orang lain juga yang lebih berminat untuk mengaitkan pengalaman dan perasaan dengan Penciptanya melalui al-Quran. Pasti ada sekurang-kurangnya satu ayat yang menjadi kegemaran, dan sentiasa diingati. Malah, minat ini juga boleh memotivasikan diri untuk mengamalkan ayat-ayat itu.
"Someone's words are a part of someone"
Cinta boleh dipupuk melalui perkataan, kerana perkataan itu sebahagian daripada seseorang itu. Itulah pentingnya buku. Walaupun kita tidak berjumpa dengan penulisnya, kita tetap boleh berinteraksi dengan penulisnya. Maka, al-Quran membolehkan kita berinteraksi dengan Allah, kerana al-Quran itu kata-kataNya. Melalui komunikasi hati, cinta terhadapNya dapat ditingkatkan dan seterusnya boleh meningkatkan amalan dan keimanan kita.
![]() |
| Photo by Debby Hudson on Unsplash |
Walaupun manusia berbeza minat dan tujuan dalam menelaah al-Quran, semua cara itu penting dalam kehidupan sebagai hambaNya. Melalui otak, kita dapat mengaitkan dengan kebesaranNya. Melalui hati, kita dapat meningkatkan cinta kepadaNya. Tidak salah fokus kepada satu perkara, tetapi perkara lain juga tidak patut ditinggalkan. Seperti mengambil satu-satu jurusan di universiti, pelajaran lain juga perlu diambil berat. Maka, berusahalah untuk fokus sesuatu bidang dan menambah ilmu dalam bidang lain juga.

No comments:
Post a Comment