Semua orang sedang khusyuk melukis. Ada yang melukis berlapikkan buku, ada yang hanya berlapikkan peha sendiri. Kecuali seorang.
Afiqah sudah selesai melukis. Maklumlah, dia seorang artis. Oh, bukan artis yang terkenal di televisyen seperti penyanyi dan pelakon itu, tetapi artis yang pandai melukis. Yang hebat dalam membuat 'art'.
"Baiklah semua, rasanya semua sudah siap tugasan yang cikgu minta. Bolehlah kita berkongsi tentang lukisan masing-masing." Sebentar tadi, Cikgu Liyana memulakan sesi perkenalan ahli kelas dengan acara melukis benda yang menggambarkan diri masing-masing. Sesi persekolahan baru sahaja bermula, dan hampir semua pelajar datang dari sekolah-sekolah yang berbeza sebelum itu. Hanya ada dua atau tiga pelajar sahaja yang datang dari sekolah yang sama di Kedah.
Orang yang ketiga untuk bercerita ialah Afiqah.
"Wah, cantiknya burung itu! Bolehlah lepas ini kita minta Fifi lukis," segelintir rakan-rakan sekelas memujinya. Mereka masih belum tahu kepakarannya dalam bidang seni.
"Terima kasih semua."
"Afiqah, ceritakanlah kenapa awak lukis burung," Cikgu Liyana mengingatkan kembali acara asal mereka.
"Burung ini lambang kebebasan. Burung bebas terbang ke mana-mana. Burung tidak hanya berjalan atau berlari semata-mata. Saya pula seorang yang suka bergerak bebas, tanpa dikongkong oleh peraturan yang begitu ketat dan tak masuk akal. Kadang-kadang ada perkara yang melanggar peraturan seperti peraturan sekolah, tetapi bagi saya itu adalah kreativiti. Saya percaya kreativiti tak patut disekat."
"Menarik ulasan awak. Cikgu setuju yang kreativiti tidak patut dihalang," komentar yang pendek daripada Cikgu Liyana.
***
Langit kelihatan biru cerah, dengan beberapa tompokan awan putih ibarat gula-gula kapas yang tertampal di langit. Tiga ekor burung bangau secara tiba-tiba muncul meluncur laju, menambah pergerakan dalam pandangan Afiqah yang kelihatan statik setelah kira-kira 21 minit.
"Fifi, awak ingat tak dulu awak lukis burung. Awak kata apa ya? Awak suka kebebasan kan?" Suara gadis berumur 21 tahun itu memecah suasana sunyi di taman itu.
Afiqah lantas memandang Ain, rakan baiknya.
"Mestilah! Tengok burung-burung itu. Saya teringin jadi seperti mereka. Boleh pergi ke mana-mana. Tak perlu ambil peperiksaan, tak perlu bekerja."
"Saya pun dulu nak jadi macam burung, terbang ke mana-mana. Tapi Fifi, apabila saya fikir dalam-dalam, melihat burung-burung itu, mereka pun sebenarnya mengikut peraturan juga."
"Eh, apa awak cakap ini Ain? Macam mana pula burung mengikut peraturan?"
Ain menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia tersenyum ke arah Afiqah sebelum menyambung perkongsiannya.
"Lihatlah bagaimana mereka terbang. Ada langkah-langkah yang sama. Melebarkan sayap, mengibarkan sayap. Kalau mereka tak mengikut cara-cara itu, bagaimana mereka mahu terbang? Seperti ada peraturan yang tak tertulis yang mereka ikut.
Kalau yang berkelompok pula, mereka akan mengikut seorang... eh maksud aku seekor ketua. Kan kita boleh nampak ada bentuk seakan huruf V?"
Afiqah terkedu. Matanya merenung mata Ain, seakan-akan cuba memasuki minda teman serumahnya itu, ingin memahami dan mendalami apa yang ingin disampaikan.
"Menarik pendapat kau. Maksudnya, sebebas-bebas burung pun, mereka ada peraturan," Afiqah bersuara setelah perasan Ain berasa tidak selesa dengan pandangannya.
"Ya, aku rasa macam itu jugalah kita. Kita mungkin ingin bebas sebebas-bebasnya, tetapi kebebasan yang mutlak ialah menjadi hamba Allah."
"Tapi kan namanya hamba? Macam mana boleh bebas, dalam masa yang sama menjadi hamba pula?" Suara Afiqah seperti tidak berpuas hati.
"Memang ironi, namun itulah hakikatnya. Kita hanya berserah diri kepada Allah, kita akan bebas dari perkara-perkara lain yang menjadikan masyarakat yang lain hamba. Macam kita menutup aurat, kita bebas dari segala fesyen-fesyen yang menjadikan seseorang itu hamba kepada pandangan orang lain.
Kita solat menyembah Allah, kita bebas dari menghambakan diri kepada pelajaran, kerja dan sebagainya yang tak akan pernah berhenti.
Kita yakin dengan ganjaran Allah, kita bebas dari menghambakan diri kepada komen-komen orang lain yang tak akan puas hati dengan kita.
Nampak tak? Kita ikut peraturan Allah, kita bebas dari makhluk-makhluk yang lain.
Lagipun, alam ini semua milik Allah. Sekecil-kecil atom pun perlu ikut peraturan Allah. Juga seluruh tubuh badan kita. Takkan kita nak melawan arus? Takkan tiba-tiba kita nak suruh jantung berhenti mengepam darah, kemudian kita salurkan darah sendiri? Pasti akan berterabur segalanya." Panjang lebar Ain menerangkan.
Afiqah sudah kembali memandang langit yang luas. Fikirannya sudah menerawang jauh, merentasi alam semesta.
"Ain, negara kita sudah merdeka dari penjajahan selama 63 tahun. Bebas mentadbir negara sendiri. Tapi aku terfikir, adakah kita sudah bebas dari segi pemikiran dan perlakuan?
Ada bangunan tinggi-tinggi. Ada KLCC, ada Menara KL, dan yang baru akan ada TRX dan PNB 118. Kita sudah mampu membangunkan bangunan-bangunan tinggi, dengan teknologi yang lebih canggih walaupun mungkin tak secanggih Amerika Syarikat.
Tetapi kita masih boleh bergaduh tentang isu-isu kecil. Tentang politik, tentang isu sentuh anjing, isu pakai baju Bollywood dan sebagainya.
Rukun Negara pun sudah 50 tahun. Sudah 51 tahun tragedi 13 Mei telah berlalu. Namun, masih ada isu perkauman.
Adakah kita sudah merdeka, Ain?"
Ain pula yang terpana mendengar curahan hati Afiqah. Dia tahu, Afiqah seorang yang patriotik, sentiasa ambil tahu isu-isu semasa di tanah air walaupun mereka berada jauh dari sana.
"Tapi ingat Fifi, kita pun ada masa bersatu. Ketika berdepan dengan COVID-19, kita bersatu membantu pejuang barisan hadapan walaupun hanya duduk di rumah. Kita bersatu apabila ada acara sukan yang melibatkan atelt-atlet Malaysia. Yang paling lawak tapi penting, kita bersatu apabila ada orang mengatakan rendang itu 'crispy'!"
Mereka berdua tertawa bersama mengingatkan peristiwa itu.
"Yang penting, Ain, merdeka tahun ini kita perlu menambah baik kesatuan kita, kan? Bebas dari anasir-anasir jahat yang cuba memecah-belahkan kita yang pelbagai bangsa."
"Mestilah, Fifi. Malaysia kan prihatin?"
