Video tersebut kelihatan seperti rakaman. Namun kewujudannya tetap menambah kemeriahan sambutan tahum baru ini yang biasanya lebih dipandang rendah berbanding tahun baru masihi. Semua kumpulan telah menyampaikan persembahan masing-masing dengan baik sekali.
Aku terkesan melihat kesungguhan Edcoustic sebenarnya, atau lebih kepada Eggie. Buat yang tidak tahu, Edcoustic pada asalnya terdiri daripada dua orang, iaitu Aden (vokalis) dan Eggie (gitaris). Namun, Aden sudah meninggal dunia di usia muda pada tahun 2013 akibat masalah kesihatan. Satu berita yang tak dijangka. Ini meninggalkan hanya Eggie satu-satunya ahli Edcoustic.
Namun, beliau tetap meneruskan perjuangan walaupun hanya sebagai gitaris. Beliau telah pergi ke Jepun untuk membuat video muzik untuk lagu Tak Ada Beban Tanpa Pundak. Beliau tetap menggunakan nama Edcoustic dan aktif mengemaskini akaun-akaun media sosial. Juga menguruskan Muzik Positif. Dalam konsert Maal Hijrah tersebut juga, beliau tampil bersama penyanyi Nino.
Aku teringat satu babak dalam novel Karma karya Muharikah. Novel ini menceritakan tentang seorang doktor yang mengalami masalah LGBT, juga berkahwin dengan seorang doktor yang mengalami masalah yang sama. Masalah utama golongan ini ialah potensi yang tinggi untuk menghidap HIV. Watak utama kisah ini juga merawat para pesakit yang kebanyakannya mengalami HIV.
Penghidap HIV ada kemungkinan akan mati dengan mendadak, jika tidak didiagnos lebih awal. Hal ini juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kerana penyakit atau kejadian yang tak disangka. Contohnya, kemalangan jalan raya atau tiba-tiba meninggal dalam tidur. Sememangnya kita hanyalah manusia yang tidak mengetahui ajal kita. Umur tidak menandakan jangka masa kehidupan. Maka, sentiasalah beringat.
Aku lebih tertarik untuk menulis tentang bagaimana jika salah seorang yang terdekat meninggal dunia secara tiba-tiba. Pasti akan datang perasaan yang tak dapat digambarkan. Keliru, sedih, kecewa, takut. Lebih-lebih lagi jika kita bergantung kepada si mati. Bagaimana pula reaksi doktor ketika mahu menyampaikan berita ini kepada ahli keluarga?
Dalam novel Karma, penulis menerangkan peranan doktor untuk mententeramkan hati ahli keluarga si mati yang mati secara mendadak. Satu perkara yang paling penting adalah meneruskan perjuangan si mati. Lakukan apa yang dikehendaki si mati untuk dilakukan semasa hayatnya, supaya pahala dapat disampaikan kepadanya. Ini merupakan satu cara supaya tidak terlalu fokus untuk meratap kematian si mati tanpa apa-apa usaha yang ada hasil. Bersedih itu normal. Namun, usahakanlah apa yang ingin diusahakan. Kesibukan melakukannya lebih disukai dan puas kerana kita dapat mengingati si mati sambil melakukan kebaikan.
Berbalik kepada Edcoustic, usaha Eggie itulah mungkin apa yang Aden ingin lakukan. Meneruskan menyebarkan syiar Islam lebih-lebih lagi dalam kalangan anak muda. Meskipun mungkin tiada lagi lagu baru yang akan dinyanyikan, lagu-lagunya terus disebarkan di corong-corong radio juga di YouTube.
Semoga segala usaha Aden dan Eggie diberkati Allah dan diberi ganjaran di akhirat.
No comments:
Post a Comment