Tuesday, August 18, 2020

Di Mana Perasaan?

Lidahnya kelu. Tiada kata-kata yang terungkap di sebalik sepasang bibir yang kecil. Namun wajahnya cuba dimaniskan supaya tiada yang mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di lubuk hati.

"Apa perasaan awak bila travel ke Turki ini? Mesti best!"

"Mestilah!" Hanya satu perkataan. Tanpa ada sebarang penjelasan. 

Sha keliru sebenarnya. Mengapa dia tidak berasa apa-apa? Seolah-olah hanya menjalani satu lagi hari yang biasa, tanpa ada yang istimewa.

Adakah dia benar-benar memahami diri sendiri? Atau sebenarnya dia selalu mengabaikan perasaan-perasaan?

Bahkan Allah lah yang lebih memahami. 

Dia yang Maha Mencipta.

Mencipta fizikalnya, rohnya, akalnya. Juga perasaan. Ya, perasaan.

Sebelum ini, tak pernah dia terfikir tentang keajaiban perasaan. Bagaimana perasaan itu sebenarnya satu nikmat. 

Perasaan gembira itu nikmat. Kerana dengan gembira, kita lebih termotivasi untuk melakukan sesuatu.

Perasaan sedih itu juga nikmat. Kerana dengan kesedihan, kita dapat menikmati kegembiraan. Juga dengan kesedihan, kita akan berusaha menjadi lebih baik.

Perasaan marah itu juga boleh jadi nikmat. Apabila marahnya kita terhadap sesuatu yang tidak patut berlaku. Apabila dapat mencegah sesuatu yang buruk.

Perasaan tertekan itu juga nikmat. Apabila menjadi pemacu untuk segera melakukan kebaikan. Ataupun segera menyelamatkan diri dalam situasi fight or flight. Apabila dapat menikmati rasa lega.

Perasaan takut itu nikmat. Tatkala menjadi penghalang terhadap sesuatu yang buruk. Sesuatu yang semua orang tidak mahu. Maka diri menjadi lebih berhati-hati.

Kadangkala perasaan itu datang sendiri. Adakalanya juga perasaan itu dicari-cari walaupun apabila orang lain mengalami, tapi bukan diri ini.

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibn Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ' " Nabi Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
(Al-Maidah, 5:116)

Engkau mengetahui apa yang ada pada diri. Yang diri ini sendiri tidak tahu.

Hanya Allah yang Maha Mengawal perasaan. Maka Dia Yang Maha Mengetahui apa yang kita sepatutnya rasa. Selami dan hayati perasaan itu supaya kita lebih menghargai.

Perasaan. Satu nikmat yang mungkin kita lupakan. 

No comments:

Post a Comment