Saturday, June 6, 2026

Bersepah Tapi Tersusun

Semasa kita masih kecil, pemandangan bintang-bintang di langit sangat mendamaikan dan menakjubkan. Lebih-lebih lagi apabila tiada awan-awan gelap dan kelabu yang menghalang cahaya-cahaya kecil itu dari terus bersinar. Ditambah dengan cuaca sejuk pada waktu malam. Seronok! 

Bintang-bintang yang berkerlipan ibarat berlian bertaburan di langit yang gelap gelita. Sekali imbas, susunannya seperti rawak, tiada apa-apa corak kecuali beberapa yang kadangkala hanya imaginasi semata-mata. Ada bintang di situ, di sana, kiri, kanan, atas, bawah. Berterabur, namun tetap kelihatan cantik seperti kertas pembalut hadiah yang penuh dengan corak yang juga kelihatan rawak.

Saat kini, kita yang sudah dewasa ini juga masih mengkagumi kejadian alam ini, menikmati keindahannya juga suasana malam yang tenang. Bezanya, kita tahu bintang-bintang itu berada di lokasi yang tetap menurut pandangan kita selama kita hidup. Maka, boleh dikatakan itu bintang kejora, itu gugusan bintang biduk, itu buruj pemburu dan sebagainya. Tambahan lagi, boleh pula kita tahu arah sesuatu tempat hanya berpandukan bintang!

Dahulu berterabur, kini menjadi panduan pula. Padahal, pandangan yang sama. Akal yang semakin berkembang.

Pernahkah kita terfikir, al-Quran itu kelihatan berterabur juga? Ada kisah-kisah nabi di surah-surah yang lain walaupun nabi yang sama. Ada perintah tentang perkara yang sama di tempat yang berbeza. Tak perlu surah panjang, surah pendek pun ada yang seperti berubah topik di tengah-tengah penceritaan. Boleh ambil contoh surah al-Adiyat. 

Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya, serta mencetuskan api dari telapak kakinya, dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh, sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh; Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian; Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka - pada hari itu.

Mula-mula, Allah ceritakan tentang kuda perang. Tiba-tiba semasa klimaks, apabila kuda itu menggempur, terus bertukar kepada peringatan supaya bersyukur. Apakah?

Seperti bintang-bintang, ayat-ayat al-Quran juga terusun dalam caranya yang tersendiri. Bahkan, cara ini sangat unik dan hebat sehingga tiada manusia yang menulis sebegini. Betapa hebatnya ilmu Allah, betapa istimewanya mukjizat Rasulullah s.a.w. ini!

Seperti bintang-bintang juga, al-Quran juga merupakan panduan. Panduan bagi kita untuk bersedia bertemu Allah, panduan untuk kita menjalani hidup ini dengan cara yang diredhaiNya. Susunan ayat-ayat itu sebenarnya merupakan susunan yang sempurna untuk kita amalkan dalam hidup, untuk memahaminya dengan cara yang berkesan.

Namun, seperti bintang-bintang juga, kita perlu ada usaha untuk mempelajarinya. Lebih-lebih lagi bahasa Arab bukan bahasa ibunda kita. Memahaminya satu keperluan, mengamalkannya juga penting. Membaca terjemahan itu boleh, namun untuk lebih menghayati memerlukan ilmu gaya bahasa Arab serta situasi dan amalan orang Arab pada zaman dahulu. Usaha itu penting supaya kita nampak apa yang sebenarnya Allah ingin sampaikan. Supaya kita nampak bagaimana indahnya ayat-ayat itu, laksana bintang-bintang di langit yang bergemerlapan. Supaya al-Quran menerangi hati kita, laksana bintang-bintang yang menerangi malam yang gelap.

Demi bintang semasa ia menjunam. Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (An-Najm, 53:1-4)

Al-Quran itu ibarat bintang. Menerangi malam yang gelap, memandu manusia ke jalan yang benar.


Rujukan: Nouman Ali Khan

No comments:

Post a Comment