Ada yang mempertikaikan mengapa mahu belajar subjek-subjek tertentu yang tiada kaitan pun dengan minat atau target bidang pekerjaan. Belajar subjek Calculus, tapi akan mengambil jurusan berkaitan Sejarah contohnya. Adakah itu dikira membuang masa?
Mungkin saya ada sedikit bias kerana saya belajar di salah satu universiti di Amerika Syarikat yang sistemnya sudah tentu berlainan dari di Malaysia. Namun, penulisan ini juga diinspirasikan dari perbualan bersama seorang yang belajar di institusi pendidikan tinggi Malaysia.
Apa yang menarik tentang sistem pendidikan tertiari di Amerika Syarikat? Perkara yang paling saya rasa bertuah adalah fleksibiliti dalam mengambil subjek-subjek tertentu di luar bidang utama. Pihak universiti ada menetapkan jenis subjek-subjek yang perlu diambil, tetapi kebanyakan syarat tersebut boleh dipenuhi dengan memilih satu antara berpuluh-puluh subjek. Contohnya, bagi pelajar kejuruteraan, salah satu topik umum yang perlu diambil ialah sejarah. Ada baaaaanyak subjek yang memenuhi syarat itu, seperti sejarah dunia, negara tertentu, mahupun sejarah teknologi dan agam tertentu. Saya sendiri pernah mengambil sejarah Uthmaniyyah yang sangat menarik dan dekat sebagai seorang Muslim. Walaupun tenaga pengajarnya bukan seorang Muslim, bagi saya beliau tetap cuba bersikap neutral kerana dalam topik itu juga, ada berkisar tentang penganut Kristian dan Yahudi. Selain itu, saya juga sebagai pelajar kejuruteraan ada mengambil subjek ekonomi, sosiologi, Adobe Photoshop dan Illustrator, dan lain-lain lagi. Semuanya dipilih kerana minat untuk menuntut ilmu. Alhamdulillah, semuanya bermanfaat dalam meluaskan lagi perspektif pemikiran dan boleh juga diaplikasikan sama ada dalam kerjaya ataupun kehidupan bersama masyarakat secara umum.
Salah seorang rakan sekelas saya pernah mengadu kepada professor kerana kelas tersebut terlalu sukar (memang semua pelajar, termasuk pelajar tahun sebelumnya merasakan perkara yang sama), dan perkara itu diakui oleh professor. Apa yang menarik minat saya ialah kegusarannya dalam kehilangan fokus menuntut ilmu kerana sebaliknya terlalu fokus untuk mendapat markah yang baik dalam peperiksaan supaya purata nilai gred tidak terlalu rendah. Selalunya, apa yang saya dengar adalah untuk mendapat gred yang terbaik sahaja. Mungkin pelajar ini memiliki semangat belajar yang tinggi, kerana memang selalu saya dengar tentang pelajar yang hanya memilih untuk mengambil subjek yang mudah mendapat A tanpa kerja yang banyak.
Berdasarkan perbincangan saya dengan yang pernah menuntut di insititusi di Malaysia, beliau berpendapat bahawa kebanyakan sistem di Malaysia hanya fokus untuk mendapat gred yang baik bagi subjek tertentu. Banyak peperiksaan yang dibuat mudah dan hanya berpandukan nota yang diberi di dalam kelas tanpa aplikasi dalam kehidupan sebenar. Kalau peperiksaan dibuat terlalu susah (juga luar dari nota kelas), ramai yang akan mengadu dan gagal peperiksaan. Hal ini akan memburukkan nama pengajar atau institusi tersebut. Namun, apabila peperiksaan hanya sekadar menghafal, bagaimana pelajar mahu mengaplikasikan perkara tersebut dalam kehidupan sebenar dan kerjaya nanti? Apabila ditemuduga, ada pelajar yang cemerlang dalam akademik, tetapi tidak boleh melakukan kerja yang perlu dilakukan nanti kerana tiada dalam nota. Bagaimana mahu meningkatkan taraf intelektual dan produktiviti negara kita yang keadaan sebenarnya sentiasa berubah?
Hakikatnya, ilmu perlu dipelajari sentiasa. Kerana ilmu itu tak akan habis dipelajari.
Walaupun hanya ilmu al-Quran. Lihatlah, betapa banyak buku tafsir yang telah ditulis, sudah berjilid-jilid tetapi masih belum habis diteroka isinya. Ada sahaja pengajaran baru yang boleh diambil, lebih-lebih lagi seiring dengan peredaran masa.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan". (18:109)
Ini merupakan antara ayat kesukaan saya, dan ada beberapa lagi ayat yang hampir membawa maksud yang sama (mungkin juga ada keunikan tersendiri kerana Allah tidak akan mengulang tanpa sebab).
Cuba kita fikir, berapa besar lautan itu? Adakah semua dakwat ilmu yang manusia tahu tidak cukup dengan dakwat sebanyak lautan?
Bagi saya, setelah tamat belajar, mungkin tiada kelas formal yang diambil. Namun, itulah masanya untuk mengaitkan pelajaran yang mungkin disuap dengan realiti kehidupan. Hatta ketika menyambung pendidikan pasca siswazah pun, ramai yang mengatakan betapa seseorang merasakan banyak lagi ilmu yang belum dipelajari atau diketahui apabila lebih banyak yang dia pelajari. Dan pada masa ini, tiada lagi peperiksaan yang menentukan gred kita di akhir semester atau penggal. Yang penting, ilmu itu bermanfaat.
Saya ada menyertai sesi bersama Dr Alizi Alias, ahli psikologi organisasi. Dalam psikologi, 'growth mindset' atau pemikiran yang berkembang mempunyai pemikiran yang suka terhadap proses dan tak semestinya hasil. Matlamat yang ingin dicapai adalah belajar, untuk membina kompetensi dan seterusnya terlatih dalam sesuatu bidang itu. Berbanding 'fixed mindset', 'growth mindset' selalunya lebih membawa kepada kesejahteraan kerana proses itu dilalui dengan seronok tanpa berasa terlalu tertekan hanya kerana hasilnya. Dengan 'growth mindset', seseorang akan berani untuk memperbaiki diri apabila gagal, dan tak cepat berputus asa kerana sedar itu adalah proses pembelajaran, bukannya untuk membuktikan kebolehan diri semata-mata. Apabila ditimpa masalah, strategi lain lebih mudah diaplikasikan. Contohnya, kisah Nabi Musa a.s. dengan seorang yang soleh dalam Surah Al-Kahfi menunjukkan 'growth mindset' baginda yang sudi ditegur untuk belajar, dan proses itulah sebenarnya yang membawa manfaat kepada dirinya.
Sama juga seperti belajar dalam sistem pendidikan formal. Kalau hanya difokuskan kepada gred SPM, PNG dan sebagainya, memang boleh penat dan hanya akan dapat itu sahaja. Sebaliknya, proses pelajaran itu sendiri boleh meningkatkan skil berfikir secara berkesan, mengurus masa dan urusan, selain subjek akademik itu sendiri.
Lain subjek, lain cara berfikirnya. Saya (rasanya) merupakan seorang yang analitikal dan selalunya berfikir secara saintifik dan konkrit. Bukti yang jelas perlu ada untuk merumuskan satu-satu hal. Sebaliknya, jurusan sains sosial selalunya menerapkan cara berfikir yang lebih abstrak, kerana fikiran dan perbuatan manusia itu kompleks dan sangat mudah berubah. Skil-skil 'lembut' ini diterapkan bukan melalui nota kelas, tetapi proses itu sendiri.
Untuk mengaitkannya kembali dengan perkongsian pengalaman yang disebut pada awal penulisan ini, kami didedahkan kepada pelbagai cara berfikir melalui pelbagai subjek yang dipelajari lebih kurang pada masa yang sama. Walaupun mungkin kita tak mampu menjadi pakar dalam bidang yang hanya dipelajari satu semester, kita akan lebih faham dengan pemikiran yang pakar dan seterusnya meluaskan pandangan dan memudahkan kita berkomunikasi dengan mereka.
Disuap itu mungkin bermaksud penilaian hanya bulat-bulat (kenapa bulat ya?) berdasarkan nota dalam kelas. Namun, kita sepatutnya lebih menghargai proses pendidikan itu sendiri serta meluaskan horizon dalam mendalami ilmu yang tak akan pernah habis.

