Tuesday, May 23, 2017

Sambutlah

Kini bulan suci telah tiba
Mari kita menyambutnya
Jalankan perintah dariNya
Puasa satu bulan lamanya

Selalunya kita sambut hari lahir ahli keluarga, rakan-rakan. Tahukah anda, menyambut Ramadan ibarat menyambut hari lahir al-Quran, surat cinta daripada Allah? Lalu, apakah cara meraikannya? Ketupat? Lemang? Mestilah dengan puasa! Kita puasa kerana...

Wahai orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti diwajibkan ke atas orang sebelum kamu supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.
(Al-Baqarah: 183)

Perkataan "siyam" yang bermaksud puasa itu sendiri mempunyai makna yang mendalam. Perkataan ini tidak pernah digunakan oleh orang Arab untuk manusia. Pada asalnya, perkataan ini digunakan untuk kuda-kuda berpuasa untuk melatihnya dalam panas dan serba kekurangan supaya kuda itu menjadi lebih kuat. Oleh itu, Allah menggunakan "siyam" kepada kita untuk menunjukkan bahawa puasa ini akan melatih kita menjadi kuat selepas Ramadan. Seperti atlet yang memakai pemberat kaki ketika berlatih. Apabila pemberat itu dilepaskan ketika pertandingan, mereka menjadi lebih hebat. Maka, itulah tujuan kita berpuasa: menjadi lebih kuat selepas Ramadan.

Namun, adakah kekuatan yang kita akan capai sama dengan kuda ataupun para alet? Selepas berpuasa, terus boleh angkat berat? Kalau betul, pasti semua orang puasa! Namun, kita sebenarnya melatih ruh kita untuk menjadi lebih kuat. Bagaimana?



Kita ambil contoh kuda (lagi). Bayangkan kita menunggang kuda. Kuda hanya dapat dikawal sekiranya kita lebih kuat daripadanya. Jika kita lemah, kuda itu boleh membawa kita ke mana-mana, entah-entah sehingga negara lain! Boleh sesat jadinya. Sama seperti manusia. Ruh ibarat penunggang, manakala nafsu ialah kuda. Penunggang mestilah kuat untuk mengawal kuda, dan ruh mestilah kuat untuk mengawal nafsu. Kalau nafsu terlalu kuat, ruh juga akan dibawa sesat bersama! Jadi, bagaimana pula kita mahu mengawal 'kuda' kita?

Puasa! Kalau perasan, Allah menyuruh kita berpuasa daripada keperluan-keperluan, bukan sekadar kehendak. Air, makanan hatta isteri pun antara keperluan manusia. Mengapa Allah melarang kita mendapatkan keperluan? Apabila kita berpuasa, secara automatiknya, perut dan seluruh badan kita menyuruh kita makan, minum. Kalau tak diikut, maka rasakanlah kepenatannya. Namun, ruh mengingatkan kita bahawa takut terhadap Allah itu lebih utama daripada keperluan. Hal ini penting kerana kita ingin menunjukkan bahawa kita mampu berpuasa daripada keperluan semata-mata kerana Allah, untuk bertaqwa kepada Allah. Inilah yang disebut di dalam ayat 183 surah al-Baqarah itu:

... Supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.

Kita berbeza daripada agama lain yang berpuasa untuk menyeksa diri. Allah menyuruh kita mengawal, bukan menyeksa. Allah tahu kemampuan badan kita kerana Dialah yang menciptakan kita. Allah menciptakan segala makanan dan minuman di dunia ini untuk kita. Maka, mengapa pula Allah mahu menyeksa diri kita daripada mengambil nikmat-nikmat itu? Walau bagaimananpun, nafsu terhadap perkara-perkara itu perlu dikawal. Kerana kita manusia, bukannya haiwan. Hanya haiwan yang mengikut nafsu.

Namun, bila fikir balik, bukankah puasa = lapar? Bagaimana pula mahu menjadi kuat? Harus diingat, roh mempunyai makanan lain. Maka, saat kita mengawal nafsu dengan berpuasa, roh juga mahu makan. Apakah makanannya? Al-Quran! Roh dijadikan daripada cahaya, maka cahaya lah makanannya. Allah menggunakan perkataan "nur" untuk al-Quran, yang bermaksud cahaya. Maka, pastilah al-Quran itu dapat mengenyangkan roh kita. Maka, 'makan'lah al-Quran untuk menghilangkan rasa lapar itu.

Konklusinya: Ramadan merupakan latihan untuk menjadikan kita kuat pada masa hadapan melalui puasa dan al-Quran, dan kekuatan itu diperoleh dengan mengawal diri. Taqwa merupakan sifat yang sentiasa berhati-hati terhadap segalanya dan menyelamatkan diri kita daripada perkara yang berbahaya.

Marilah kita menyambut dengan suka cita
Indahnya puasa
Marilah kita menyambut dengan suka cita
Indahnya berdoa
Hanya padaMu, hanya untukMu, kupanjatkan syukur

Jom, kita sambut Ramadan dengan gembira, bukan dengan mengeluh!

Sumber:
Nouman Ali Khan (Tafsir Surah al-Baqarah)
Muadz - Sambutlah (https://www.youtube.com/watch?v=kUcK5Tt7kP0)


Tuesday, May 9, 2017

Kata-kata

Ada orang banyak berkata-kata, selalunya dipanggil extrovert. Merekalah yang meriuhkan suasana yang sunyi sepi. Mendapat tenaga daripada rakan-rakan dan orang sekeliling. Ada orang pula introvert, hanya berkata-kata ketika diperlukan. Memerlukan masa bersendirian untuk mengecas tenaga. Sesetengah orang berpendapat bahawa kata-kata orang introvert lebih bermakna kerana mereka menyusunnya dan memikirkannya terlebih dahulu sebelum disampaikan kepada orang lain. Walau bagaimanapun, orang extrovert biasanya lebih terbuka untuk berbincang secara spontan apabila mendapat idea secara tiba-tiba. Ambivert pula bersikap kedua-duanya mengikut keadaan.

Walau bagaimanapun, golongan-golongan ini terdapat satu persamaan: Tiada yang mempunyai kata-kata yang sempurna. Walaupun hanya membaca skrip, skrip itu ditulis kadangkala tanpa niat untuk mengikut susunan. Ada yang salah perkataan, justeru menyebabkan ada yang terasa ataupun diambil kesempatan. Ada yang mengikut susunan secara rawak, mengikut idea yang datang. Jadi, kata-kata apa yang paling hebat? TED talk speakers? Presiden atau Perdana Menteri?

Jawapannya... Kalam Allah!

Eh, tapi Quran itu kitab, bukannya ucapan. Namun, jika kita membacanya, kita akan rasa seperti Allah bercakap dengan kita (sebenarnya memang, bukan seperti). Lihatlah, Allah menggunakan kata-kata yang merupakan perkataan biasa digunakan dalam kalangan Arab, lebih-lebih lagi Quraisy. Ada soalan dalam al-Quran, ada kisah-kisah, perumpamaan, bayangan, dan sebagainya yang kita biasa gunakan dalam perbualan. Allah tak menggunakan perkataan teknikal (jargon words) dalam menghuraikan ciptaan-ciptaannya, seperti Allah mengajak kita melihat bumi dalam Surah al-Ghasyiyah, ayat 20:

"Dan bumi, bagaimana ia dihamparkan?"

Secara saintifiknya, kita tahu bahawa bumi ini bulat, ataupun lebih tepat bujur sedikit. Namun, kita nampak bumi ini rata. Allah tidak menyebut bahawa bumi ini benar-benar dihamparkan, tetapi mengajak kita berfikir bagaimana bumi ini kelihatan seperti hamparan? Benarkah hamparan ini rata?

Sejak Ramadan lalu, saya mengikuti siri Tafsir al-Baqarah oleh Nouman Ali Khan. Pengalaman itu menyebabkan minda seperti terbuka. Rasa benar-benar al-Quran ini datang dari Allah. Sangat sempurna! Dan kesempurnaan itu takkan pernah tamat digali oleh manusia. Beliau lebih ke arah linguistik, bahasa dan gaya yang digunakan di dalam al-Quran. Secara ringkasnya, saya dapat simpulkan beberapa perkara, walaupun tafsir itu masih belum tamat:
  1. Perkataan yang digunakan sangat sesuai

    Ada perkataan yang terdapat beberapa maksud, seperti kata banyak makna. Namun, semua maksud tersebut berkait dengan konteks dan menghuraikan lebih lanjut hanya menggunakan satu perkataan. Perkataan "syaitan" itu sendiri boleh terdiri daripada 3 maksud: (1) Daripada "syaato" bermaksud bersedia untuk dibakar. (2) Daripada "syatin" yang bermaksud orang yang jauh daripada jalan yang benar. (3) Yang menarik tali secara perlahan-lahan (boleh bermaksud menarik manusia perlahan-lahan). Kita boleh lihat betapa tepatnya perkataan yang Allah gunakan di sini, dengan segala maksudnya boleh menghuraikan ciri-ciri syaitan, dengan hanya satu perkataan.

    Ada juga sesetengah perkataan yang kita anggap seerti, dan kita menggunakannya secara bertukar-tukar. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan, terutamanya dalam bahasa Arab yang sangat visual maknanya.Contohnya, ayat 5 surah al-Baqarah:

    "... Merekalah orang yang berjaya"

    Allah menggunakan "muflihun" sebagai janji bahawa orang beriman akan berjaya. Satu lagi kata yang kita mungkin anggap seerti ialah "faizun" yang juga bermaksud berjaya. Namun, "muflihun" menunjukkan bahawa kejayaan itu sentiasa ada, sentiasa berjaya. Perakataan "falah" juga berkait rapat dengan "fallah" yang bermaksud petani. Para petani perlu berusaha secara bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil yang baik. Perlu jaga tanah, letak baja, siram air, cantas pokok. Sukar, namun hasilnya akan menjadi yang terbaik. Maka, secara ringkasnya orang beriman ini diklasifikasikan sebagai sentiasa berjaya setelah berusaha bersungguh-sungguh.
    Jadilah seperti Fallah!
    Kredit: http://www.clipartpanda.com/clipart_images/farmer-clip-art-4-419x662-2425058
  2. Simetri (symmetry)

    Eh, kata-kata pun ada simetri? Selalunya kita dengar hanya bentuk ataupun geometri. Teringat profesor selalu menekankan "the S word" untuk Peraturan Gauss dan Ampere (Gauss's Law and Ampere's Law). Bagi yang tak tahu, teknik ini menggunakan simetri untuk memudahkan pengiraan, dan ini hampir mustahil untuk pengiraan yang betul kerana ada banyak perkara lain yang tidak diambil kira, namun amat berguna untuk menggagak nilai yang tidak memerlukan sehingga 6 figur penting (significant figures). Okay, mungkin ada yang dah pening. Kembali kepada topik asal.
    Bulatan antara geometri yang paling simetri
    Kredit: http://www.ux1.eiu.edu/~addavis/1360/24Gauss/SphrChrg.html
    Kadang-kadang, kita ada terfikir mengapa ayat ini tiba-tiba di sini? Bagaimana ayat-ayat ini disusun? Selalunya, jika kita hanya baca, rasa seperti topik itu tiba-tiba muncul. Walau bagaimanapun, pembacaan secara berhati-hati dapat menunjukkan betapa hebatnya susunan Allah. Contohnya, ayat 6-20 surah al-Baqarah (boleh rujuk al-Quran masing-masing).

     (a) Orang kafir yang hatinya tertutup
     (b) Orang munafiq yang mempunyai penyakit hati
     (c) Menegur mereka untuk tidak melakukan kerosakan, tetapi dijawab mereka baik
     (d) Tegur mereka untuk beriman, tetapi dikatakan orang beriman itu bodoh
     (e) Orang munafiq berolok-olok di hadapan orang beriman, tetapi Allah tahu
     (f) Perumpamaan bagi orang kafir: api dan kilat

    Jika kita menganalisis topik-topik ini, kita dapat lihat bahawa (a) dan (f) saling berkait kerana hati yang tertutup juga berpunca daripada menutup telinga dan mata, serta seperti tuli, bisu dan buta. (b) dan (e) pula berkaitan orang munafiq, manakala (c) dan (d) menunjukkan keengganan mereka menerima teguran, menujukkan merekalah yang bodoh dan pembuat kerosakan.
  3. Gema

    Gema gegar vaganza? Eh. Gema di sini bermaksud 'echo,' yang bunyi berulang-ulang disebabkan pantulan tu. Ada sesetengah perkataan ataupun frasa ataupun satu ayat itu, Allah ulang untuk mengingatkan kita terhadap ayat lagi satu itu. Walau bagaimanapun, maksudnya tidak sama. Gaya bahasa ini agak sukar untuk diterangkan dengan menggunakan contoh yang pendek. Contoh yang mudah ialah ayat 48 dan 123 surah al-Baqarah. Boleh rujuk al-Quran :D (jangan malas, mana tahu ada ayat-ayat lain yang kita dapat lihat kebesaran Allah)
    Kredit: http://www.okclipart.com/Echo-Clipart30ulauowef/

    Kedua-dua ayat itu hampir sama secara keseluruhannya, kecuali perkataan "syafaat" dan "adl" diletakkan di tempat berbeza. Dalam ayat 48, syafaat disebut dahulu sebelum adl, dan sebaliknya dalam ayat 123. Ayat 48 merupakan antara ayat-ayat di awal topik Bani Israel, dan ayat 123 merupakan ayat terakhir dalam topik tersebut. Ayat 123 seperti menrumuskan seluruh kisah itu, maka Allah ingatkan kembali kepada ayat di awal. Ini adalah antara pengajaran penting daripada seluruh kisah itu. Namun, perbezaan susunan "syafaat" dan "adl" itu kerana perbezaan anggapan setelah mengetahui seluruh kisah. Pada mulanya, "syafaat"(manusia) dianggap lebih berhasil daripada "adl" (adil, seperti tebusan) kerana mereka merupakan orang yang terpilih. Oleh itu, syafaat itu pasti akan berhasil. Pada akhirnya, kita tahu bahawa Allah, malaikat, rasul semuanya bermusuh dengan Bani Israel yang tidak mahu beriman. Maka, syafaat itu sudah terkeluar daripada pilihan, dan yang tinggal hanya tebusan. Walau bagaimanapun, kedua-dua ayat telah menekankan bahawa kedua-dua pilihan itu tidak akan berjaya.
Ini hanyalah sedikit daripada ilmu Allah. Ingatlah,

"Katakanlah: Kalau lautan menjadi tinta untuk kalimah-kalimah Tuhanku, sesungguhnya habislah lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu." (Al-Kahfi: 109)

Kita bercakap, hatta menulis pun tidak berfikir terhadap simetri, kata seerti, gema dan sebagainya. Bukankah benar ini adalah kata-kata Allah? Allah itu sesungguhnya sangat sempurna, malah hanya Dia yang sempurna. Kerana itulah al-Quran mukjizat sepanjang zaman, kerana kita kaji pun takkan tamat, walaupun secara berkumpulan. Sedikit demi sedikit idea datang menghuraikan kehebatan al-Quran, namun takkan pernah tamat idea itu.

Hebatnya kata-kata ini!

Sumber: Nouman Ali Khan - bayyinah.org




Friday, May 5, 2017

Siapa yang putus asa?

Soalan yang sering timbul di minda: mengapa ada orang yang tahu Islam, tetapi tidak mahu mengamalkannya? Pengalaman bersama rakan-rakan seperti membuktikan perkara itu berlaku. Apabila kami berkumpul, pasti ada satu terdengar, "Eh, janganlah buat macam tu. Ada dialah," terutamanya apabila ada yang mencarut ataupun menceritakan perkara yang tidak bagus. Mereka seperti menghormati orang yang dianggap baik dan suci, tetapi adakah mereka menganggap diri mereka sendiri tidak baik?

1. "Mesti masuk neraka!"

Semua orang pasti mahu masuk syurga. Tetapi, ada pula segolongan kecil yang berpendapat bahawa mereka sudah pasti akan masuk neraka, maka mereka tidak mahu berbuat apa-apa tentang itu. Namun, bukankah Allah Maha Pengampun? Berkali-kali dalam al-Quran, Allah berfirman "Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang" juga "Allah Maha Pengampun, Maha Penyantun." Mungkin ada yang fikir, kalau bertaubat pun pasti akan buat lagi. Ya, memang kita sebagai manusia sentiasa berbuat dosa, itu normal. Anda abnormal jika anda fikir anda tiada dosa. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya kalian tidak pernah berbuat dosa, niscaya Allah akan mengganti kalian dengan mendatangkan suatu kaum yang kemudian kaum tersebut berbuat dosa, kemudian mereka meminta ampun kepada Allah, dan Allah akan mengampuni mereka” (HR. Muslim)"


Maka, Allah tidak murka terhadap manusia yang berdosa, tetapi murka kepada manusia yang berbuat dosa tetapi tidak bertaubat kepada Allah. Allah sendiri yang memberi kita nafsu, membenarkan syaitan menghasut kita, dan Dia faham bahawa kita adalah pendosa.


Ada yang sudah berputus asa untuk menghindari dosa dan bertaubat. "Penatlah... Berapa kali bertaubat, lama-lama terbuat juga." Namun, cuba kita fikir, mengapa Allah masih mengekalkan kita di dunia? Mengapa Allah tidak matikan kita dalam dosa? Ketahuilah, Dia tidak berputus asa dengan kita. Kita tidak mahu tergolong dalam golongan yang Allah panjangkan umur untuk menambah dosa, bahkan kita mahu berada dalam orang-orang yang diberikan nikmat Allah.


Allah tidak berputus asa dengan kita, mengapa kita pula mahu putus asa?

Kredit: https://www.linkedin.com/pulse/best-advice-never-give-up-brigette-hyacinth

2. "Kenapa?"

Ada juga yang masih tertanya-tanya, mengapa kena buat itu, ini? Kenapa banyak sangat halangan? Kenapa Allah suruh?

Solusinya: Baca dan fahami al-Quran. Faham itu penting, kerana menerusi al-Quran, kita dapat mengenal Allah, mengenal sifatnya, dan seterusnya faham perkara-perkara yang dihalalkan dan diharamkan. Allah s.w.t. berfirman:

"Maka adakah mereka tidak menghayati al-Quran, atau adakah hati mereka terkunci?" (47:24)

Saya sebelum ini selalu fokus terhadap tilawah dan hafazan semata-mata. Apabila baca maksud ayat pun, baca tanpa menghayati kerana selalu hilang fokus. Tetapi setelah mendengar tafsir Nouman Ali Khan pertama kali untuk Surah al-Baqarah (bayyinah.org), minda rasa macam terbuka. Sangat-sangat banyak kehebatan Allah yang boleh dilihat hanya melalui bahasa dan kata-kata yang digunakan. Boleh jadi satu perkataan itu, ada banyak maksud dan semuanya boleh digunakan dalam konteks itu. Yang menariknya, cara Allah susun al-Quran juga memandu kita memahami Islam dengan baik. Maka, kita perlu belajar al-Quran mengikut susunan yang betul, dari al-Fatihah sehingga an-Nas. Contohnya, bahagian awal al-Baqarah menceritakan tentang Adam a.s. Oleh itu, perkara pertama yang kita perlu tahu ialah tujuan kita diciptakan. Kemudian, ada cerita tentang Bani Israel, Ibrahim a.s. dan seterusnya. Maka, kita akan dapat jawapannya apabila kita  mengenal Allah.

3. "Kenapa orang lain boleh buat?"

Kebiasaan orang tak semestinya membenarkan perkara itu. Malah, kebiasaan pun berbeza mengikut adat di tempat-tempat lain.

Analogi yang boleh diberi ialah uniform. Di Amerika Syarikat, pelajar sekolah tidak tertakluk kepada uniform. Namun, mereka boleh terikat dengan ikatan sosial. Kalau mahu popular, mesti pakai pakaian tertentu. Jika nak berkawan dengan kumpulan itu, mesti bergaul macam mereka. Bukankah itu lebih sukar daripada ada uniform sekolah, yang mana semua orang boleh bergaul tanpa bergantung kepada pakaian tertentu?

Ingatlah kehambaan terhadap Allah itulah kebebasan yang paling tinggi yang kita akan dapat. Perhambaan terhadap manusia/sosial, benda, dan nafsu akan memakan diri, menyusahkan diri. Jika kita hanya fikir Allah, Allah sudah menunjukkan jalan kepadaNya, serta Dia Maha Mengetahui terhadap keupayaan diri kita kerana Dia Maha Pencipta. Maka, sudah pasti segalanya menjadi mudah. Manusia pula berbeza-beza, kerana manusia pasti ada 'personal bias' dan bukan mudah untuk tahu semua itu. Mengapa mahu menyusahkan diri, sedangkan Allah memudahkan kita?

Jika kita fikir soal haram, Allah menghalalkan banyak benda. Malah, semua benda yang baik Allah halalkan. Perkara yang haram itu hanya membinasakan diri kita. Apa ruginya kita ikut aturan Allah ini?

4. "Aku tertekan..."

Ada beberapa rakan saya yang telah kehilangan ibu ataupun ayah mereka. Benar, mereka berasa kurang kasih sayang, saya tidak nafikan itu. Juga mungkin benar andai mereka memberi alasan bahawa perkara itu menyebabkan mereka melakukan perkara yang tak sepatutnya. Kadangkala, kerenggangan dengan adik-beradik pun boleh menjadi punca seseorang bersama dengan teman lelaki atau perempuan. Kerana mereka mahukan kasih sayang.

Semua itu tidak boleh dinafikan. Namun, Allah tahu bahawa kita akan dapat mengharungi dugaan itu. Bukankah Allah berfirman:

"Allah tidak memberatkan seseorang melainkan dengan kemampuannya." (2:286)

Allah beri ujian ikut kemampuan. Allah tidak akan beri 'dumbbell' paling kepada orang tua!
Kredit: https://wiki.teamfortress.com/w/images/thumb/c/cc/Heavytaunt1.PNG/320px-Heavytaunt1.PNG?t=20110820152258

Dugaan itu untuk menguji kekuatan iman kita. Anggaplah tekanan itu sebagai satu peperiksaan yang paling besar dalam hidup kita, lebih hebat dari SPM. Pasti kita akan berusaha sehabis mungkin untuk berjaya dalam peperiksaan itu. Menggunakan alasan tertekan untuk berbuat dosa, seperti sengaja menggagalkan peperiksaan tanpa belajar sedikit pun, walaupun perkara asas. Padahal, kemenangan itu mungkin hanya selangkah saja lagi. Allah tahu ujian itu akan memberi kelebihan kepada kita. Namun, itu hanya boleh diperoleh jika kita berusaha. Jadikan ujian dan kehilangan itu sebagai alasan untuk kita lebih dekat kepada Allah, bukan lebih jauh daripadaNya.

Pasti ada lagi punca-punca yang menyebabkan kita tidak mengamalkan Islam. Walau bagaimanapun, fokus kepada Allah, dan ingatlah betapa penyayangnya Allah (juga azabnya jika tidak mengikut Islam). Secara ringkasnya, al-Quran jalan penyelesaian utama untuk memberi petunjuk kerana

"Kitab itu tiada keraguan padanya, petunjuk untuk orang yang bertaqwa." (2:2)

Jom jadi orang yang bertaqwa, melalui al-Quran!