1. "Mesti masuk neraka!"
“Demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya kalian tidak pernah berbuat dosa, niscaya Allah akan mengganti kalian dengan mendatangkan suatu kaum yang kemudian kaum tersebut berbuat dosa, kemudian mereka meminta ampun kepada Allah, dan Allah akan mengampuni mereka” (HR. Muslim)"
Maka, Allah tidak murka terhadap manusia yang berdosa, tetapi murka kepada manusia yang berbuat dosa tetapi tidak bertaubat kepada Allah. Allah sendiri yang memberi kita nafsu, membenarkan syaitan menghasut kita, dan Dia faham bahawa kita adalah pendosa.
Ada yang sudah berputus asa untuk menghindari dosa dan bertaubat. "Penatlah... Berapa kali bertaubat, lama-lama terbuat juga." Namun, cuba kita fikir, mengapa Allah masih mengekalkan kita di dunia? Mengapa Allah tidak matikan kita dalam dosa? Ketahuilah, Dia tidak berputus asa dengan kita. Kita tidak mahu tergolong dalam golongan yang Allah panjangkan umur untuk menambah dosa, bahkan kita mahu berada dalam orang-orang yang diberikan nikmat Allah.
Allah tidak berputus asa dengan kita, mengapa kita pula mahu putus asa?
Ada juga yang masih tertanya-tanya, mengapa kena buat itu, ini? Kenapa banyak sangat halangan? Kenapa Allah suruh?
Solusinya: Baca dan fahami al-Quran. Faham itu penting, kerana menerusi al-Quran, kita dapat mengenal Allah, mengenal sifatnya, dan seterusnya faham perkara-perkara yang dihalalkan dan diharamkan. Allah s.w.t. berfirman:
"Maka adakah mereka tidak menghayati al-Quran, atau adakah hati mereka terkunci?" (47:24)
Saya sebelum ini selalu fokus terhadap tilawah dan hafazan semata-mata. Apabila baca maksud ayat pun, baca tanpa menghayati kerana selalu hilang fokus. Tetapi setelah mendengar tafsir Nouman Ali Khan pertama kali untuk Surah al-Baqarah (bayyinah.org), minda rasa macam terbuka. Sangat-sangat banyak kehebatan Allah yang boleh dilihat hanya melalui bahasa dan kata-kata yang digunakan. Boleh jadi satu perkataan itu, ada banyak maksud dan semuanya boleh digunakan dalam konteks itu. Yang menariknya, cara Allah susun al-Quran juga memandu kita memahami Islam dengan baik. Maka, kita perlu belajar al-Quran mengikut susunan yang betul, dari al-Fatihah sehingga an-Nas. Contohnya, bahagian awal al-Baqarah menceritakan tentang Adam a.s. Oleh itu, perkara pertama yang kita perlu tahu ialah tujuan kita diciptakan. Kemudian, ada cerita tentang Bani Israel, Ibrahim a.s. dan seterusnya. Maka, kita akan dapat jawapannya apabila kita mengenal Allah.
3. "Kenapa orang lain boleh buat?"
Kebiasaan orang tak semestinya membenarkan perkara itu. Malah, kebiasaan pun berbeza mengikut adat di tempat-tempat lain.
Analogi yang boleh diberi ialah uniform. Di Amerika Syarikat, pelajar sekolah tidak tertakluk kepada uniform. Namun, mereka boleh terikat dengan ikatan sosial. Kalau mahu popular, mesti pakai pakaian tertentu. Jika nak berkawan dengan kumpulan itu, mesti bergaul macam mereka. Bukankah itu lebih sukar daripada ada uniform sekolah, yang mana semua orang boleh bergaul tanpa bergantung kepada pakaian tertentu?
Ingatlah kehambaan terhadap Allah itulah kebebasan yang paling tinggi yang kita akan dapat. Perhambaan terhadap manusia/sosial, benda, dan nafsu akan memakan diri, menyusahkan diri. Jika kita hanya fikir Allah, Allah sudah menunjukkan jalan kepadaNya, serta Dia Maha Mengetahui terhadap keupayaan diri kita kerana Dia Maha Pencipta. Maka, sudah pasti segalanya menjadi mudah. Manusia pula berbeza-beza, kerana manusia pasti ada 'personal bias' dan bukan mudah untuk tahu semua itu. Mengapa mahu menyusahkan diri, sedangkan Allah memudahkan kita?
Jika kita fikir soal haram, Allah menghalalkan banyak benda. Malah, semua benda yang baik Allah halalkan. Perkara yang haram itu hanya membinasakan diri kita. Apa ruginya kita ikut aturan Allah ini?
4. "Aku tertekan..."
Ada beberapa rakan saya yang telah kehilangan ibu ataupun ayah mereka. Benar, mereka berasa kurang kasih sayang, saya tidak nafikan itu. Juga mungkin benar andai mereka memberi alasan bahawa perkara itu menyebabkan mereka melakukan perkara yang tak sepatutnya. Kadangkala, kerenggangan dengan adik-beradik pun boleh menjadi punca seseorang bersama dengan teman lelaki atau perempuan. Kerana mereka mahukan kasih sayang.
Semua itu tidak boleh dinafikan. Namun, Allah tahu bahawa kita akan dapat mengharungi dugaan itu. Bukankah Allah berfirman:
"Allah tidak memberatkan seseorang melainkan dengan kemampuannya." (2:286)
Dugaan itu untuk menguji kekuatan iman kita. Anggaplah tekanan itu sebagai satu peperiksaan yang paling besar dalam hidup kita, lebih hebat dari SPM. Pasti kita akan berusaha sehabis mungkin untuk berjaya dalam peperiksaan itu. Menggunakan alasan tertekan untuk berbuat dosa, seperti sengaja menggagalkan peperiksaan tanpa belajar sedikit pun, walaupun perkara asas. Padahal, kemenangan itu mungkin hanya selangkah saja lagi. Allah tahu ujian itu akan memberi kelebihan kepada kita. Namun, itu hanya boleh diperoleh jika kita berusaha. Jadikan ujian dan kehilangan itu sebagai alasan untuk kita lebih dekat kepada Allah, bukan lebih jauh daripadaNya.
Pasti ada lagi punca-punca yang menyebabkan kita tidak mengamalkan Islam. Walau bagaimanapun, fokus kepada Allah, dan ingatlah betapa penyayangnya Allah (juga azabnya jika tidak mengikut Islam). Secara ringkasnya, al-Quran jalan penyelesaian utama untuk memberi petunjuk kerana
"Kitab itu tiada keraguan padanya, petunjuk untuk orang yang bertaqwa." (2:2)
Jom jadi orang yang bertaqwa, melalui al-Quran!

No comments:
Post a Comment