Kini bulan suci telah tiba
Mari kita menyambutnya
Jalankan perintah dariNya
Puasa satu bulan lamanya
Mari kita menyambutnya
Jalankan perintah dariNya
Puasa satu bulan lamanya
Selalunya kita sambut hari lahir ahli keluarga, rakan-rakan. Tahukah anda, menyambut Ramadan ibarat menyambut hari lahir al-Quran, surat cinta daripada Allah? Lalu, apakah cara meraikannya? Ketupat? Lemang? Mestilah dengan puasa! Kita puasa kerana...
Wahai orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti diwajibkan ke atas orang sebelum kamu supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.
(Al-Baqarah: 183)
Perkataan "siyam" yang bermaksud puasa itu sendiri mempunyai makna yang mendalam. Perkataan ini tidak pernah digunakan oleh orang Arab untuk manusia. Pada asalnya, perkataan ini digunakan untuk kuda-kuda berpuasa untuk melatihnya dalam panas dan serba kekurangan supaya kuda itu menjadi lebih kuat. Oleh itu, Allah menggunakan "siyam" kepada kita untuk menunjukkan bahawa puasa ini akan melatih kita menjadi kuat selepas Ramadan. Seperti atlet yang memakai pemberat kaki ketika berlatih. Apabila pemberat itu dilepaskan ketika pertandingan, mereka menjadi lebih hebat. Maka, itulah tujuan kita berpuasa: menjadi lebih kuat selepas Ramadan.
Namun, adakah kekuatan yang kita akan capai sama dengan kuda ataupun para alet? Selepas berpuasa, terus boleh angkat berat? Kalau betul, pasti semua orang puasa! Namun, kita sebenarnya melatih ruh kita untuk menjadi lebih kuat. Bagaimana?
Kita ambil contoh kuda (lagi). Bayangkan kita menunggang kuda. Kuda hanya dapat dikawal sekiranya kita lebih kuat daripadanya. Jika kita lemah, kuda itu boleh membawa kita ke mana-mana, entah-entah sehingga negara lain! Boleh sesat jadinya. Sama seperti manusia. Ruh ibarat penunggang, manakala nafsu ialah kuda. Penunggang mestilah kuat untuk mengawal kuda, dan ruh mestilah kuat untuk mengawal nafsu. Kalau nafsu terlalu kuat, ruh juga akan dibawa sesat bersama! Jadi, bagaimana pula kita mahu mengawal 'kuda' kita?
Puasa! Kalau perasan, Allah menyuruh kita berpuasa daripada keperluan-keperluan, bukan sekadar kehendak. Air, makanan hatta isteri pun antara keperluan manusia. Mengapa Allah melarang kita mendapatkan keperluan? Apabila kita berpuasa, secara automatiknya, perut dan seluruh badan kita menyuruh kita makan, minum. Kalau tak diikut, maka rasakanlah kepenatannya. Namun, ruh mengingatkan kita bahawa takut terhadap Allah itu lebih utama daripada keperluan. Hal ini penting kerana kita ingin menunjukkan bahawa kita mampu berpuasa daripada keperluan semata-mata kerana Allah, untuk bertaqwa kepada Allah. Inilah yang disebut di dalam ayat 183 surah al-Baqarah itu:
... Supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.
Kita berbeza daripada agama lain yang berpuasa untuk menyeksa diri. Allah menyuruh kita mengawal, bukan menyeksa. Allah tahu kemampuan badan kita kerana Dialah yang menciptakan kita. Allah menciptakan segala makanan dan minuman di dunia ini untuk kita. Maka, mengapa pula Allah mahu menyeksa diri kita daripada mengambil nikmat-nikmat itu? Walau bagaimananpun, nafsu terhadap perkara-perkara itu perlu dikawal. Kerana kita manusia, bukannya haiwan. Hanya haiwan yang mengikut nafsu.
Namun, bila fikir balik, bukankah puasa = lapar? Bagaimana pula mahu menjadi kuat? Harus diingat, roh mempunyai makanan lain. Maka, saat kita mengawal nafsu dengan berpuasa, roh juga mahu makan. Apakah makanannya? Al-Quran! Roh dijadikan daripada cahaya, maka cahaya lah makanannya. Allah menggunakan perkataan "nur" untuk al-Quran, yang bermaksud cahaya. Maka, pastilah al-Quran itu dapat mengenyangkan roh kita. Maka, 'makan'lah al-Quran untuk menghilangkan rasa lapar itu.
Konklusinya: Ramadan merupakan latihan untuk menjadikan kita kuat pada masa hadapan melalui puasa dan al-Quran, dan kekuatan itu diperoleh dengan mengawal diri. Taqwa merupakan sifat yang sentiasa berhati-hati terhadap segalanya dan menyelamatkan diri kita daripada perkara yang berbahaya.
Marilah kita menyambut dengan suka cita
Indahnya puasa
Marilah kita menyambut dengan suka cita
Indahnya berdoa
Hanya padaMu, hanya untukMu, kupanjatkan syukur
Indahnya puasa
Marilah kita menyambut dengan suka cita
Indahnya berdoa
Hanya padaMu, hanya untukMu, kupanjatkan syukur
Jom, kita sambut Ramadan dengan gembira, bukan dengan mengeluh!
Sumber:
Nouman Ali Khan (Tafsir Surah al-Baqarah)
Muadz - Sambutlah (https://www.youtube.com/watch?v=kUcK5Tt7kP0)

No comments:
Post a Comment