Tuesday, May 9, 2017

Kata-kata

Ada orang banyak berkata-kata, selalunya dipanggil extrovert. Merekalah yang meriuhkan suasana yang sunyi sepi. Mendapat tenaga daripada rakan-rakan dan orang sekeliling. Ada orang pula introvert, hanya berkata-kata ketika diperlukan. Memerlukan masa bersendirian untuk mengecas tenaga. Sesetengah orang berpendapat bahawa kata-kata orang introvert lebih bermakna kerana mereka menyusunnya dan memikirkannya terlebih dahulu sebelum disampaikan kepada orang lain. Walau bagaimanapun, orang extrovert biasanya lebih terbuka untuk berbincang secara spontan apabila mendapat idea secara tiba-tiba. Ambivert pula bersikap kedua-duanya mengikut keadaan.

Walau bagaimanapun, golongan-golongan ini terdapat satu persamaan: Tiada yang mempunyai kata-kata yang sempurna. Walaupun hanya membaca skrip, skrip itu ditulis kadangkala tanpa niat untuk mengikut susunan. Ada yang salah perkataan, justeru menyebabkan ada yang terasa ataupun diambil kesempatan. Ada yang mengikut susunan secara rawak, mengikut idea yang datang. Jadi, kata-kata apa yang paling hebat? TED talk speakers? Presiden atau Perdana Menteri?

Jawapannya... Kalam Allah!

Eh, tapi Quran itu kitab, bukannya ucapan. Namun, jika kita membacanya, kita akan rasa seperti Allah bercakap dengan kita (sebenarnya memang, bukan seperti). Lihatlah, Allah menggunakan kata-kata yang merupakan perkataan biasa digunakan dalam kalangan Arab, lebih-lebih lagi Quraisy. Ada soalan dalam al-Quran, ada kisah-kisah, perumpamaan, bayangan, dan sebagainya yang kita biasa gunakan dalam perbualan. Allah tak menggunakan perkataan teknikal (jargon words) dalam menghuraikan ciptaan-ciptaannya, seperti Allah mengajak kita melihat bumi dalam Surah al-Ghasyiyah, ayat 20:

"Dan bumi, bagaimana ia dihamparkan?"

Secara saintifiknya, kita tahu bahawa bumi ini bulat, ataupun lebih tepat bujur sedikit. Namun, kita nampak bumi ini rata. Allah tidak menyebut bahawa bumi ini benar-benar dihamparkan, tetapi mengajak kita berfikir bagaimana bumi ini kelihatan seperti hamparan? Benarkah hamparan ini rata?

Sejak Ramadan lalu, saya mengikuti siri Tafsir al-Baqarah oleh Nouman Ali Khan. Pengalaman itu menyebabkan minda seperti terbuka. Rasa benar-benar al-Quran ini datang dari Allah. Sangat sempurna! Dan kesempurnaan itu takkan pernah tamat digali oleh manusia. Beliau lebih ke arah linguistik, bahasa dan gaya yang digunakan di dalam al-Quran. Secara ringkasnya, saya dapat simpulkan beberapa perkara, walaupun tafsir itu masih belum tamat:
  1. Perkataan yang digunakan sangat sesuai

    Ada perkataan yang terdapat beberapa maksud, seperti kata banyak makna. Namun, semua maksud tersebut berkait dengan konteks dan menghuraikan lebih lanjut hanya menggunakan satu perkataan. Perkataan "syaitan" itu sendiri boleh terdiri daripada 3 maksud: (1) Daripada "syaato" bermaksud bersedia untuk dibakar. (2) Daripada "syatin" yang bermaksud orang yang jauh daripada jalan yang benar. (3) Yang menarik tali secara perlahan-lahan (boleh bermaksud menarik manusia perlahan-lahan). Kita boleh lihat betapa tepatnya perkataan yang Allah gunakan di sini, dengan segala maksudnya boleh menghuraikan ciri-ciri syaitan, dengan hanya satu perkataan.

    Ada juga sesetengah perkataan yang kita anggap seerti, dan kita menggunakannya secara bertukar-tukar. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan, terutamanya dalam bahasa Arab yang sangat visual maknanya.Contohnya, ayat 5 surah al-Baqarah:

    "... Merekalah orang yang berjaya"

    Allah menggunakan "muflihun" sebagai janji bahawa orang beriman akan berjaya. Satu lagi kata yang kita mungkin anggap seerti ialah "faizun" yang juga bermaksud berjaya. Namun, "muflihun" menunjukkan bahawa kejayaan itu sentiasa ada, sentiasa berjaya. Perakataan "falah" juga berkait rapat dengan "fallah" yang bermaksud petani. Para petani perlu berusaha secara bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil yang baik. Perlu jaga tanah, letak baja, siram air, cantas pokok. Sukar, namun hasilnya akan menjadi yang terbaik. Maka, secara ringkasnya orang beriman ini diklasifikasikan sebagai sentiasa berjaya setelah berusaha bersungguh-sungguh.
    Jadilah seperti Fallah!
    Kredit: http://www.clipartpanda.com/clipart_images/farmer-clip-art-4-419x662-2425058
  2. Simetri (symmetry)

    Eh, kata-kata pun ada simetri? Selalunya kita dengar hanya bentuk ataupun geometri. Teringat profesor selalu menekankan "the S word" untuk Peraturan Gauss dan Ampere (Gauss's Law and Ampere's Law). Bagi yang tak tahu, teknik ini menggunakan simetri untuk memudahkan pengiraan, dan ini hampir mustahil untuk pengiraan yang betul kerana ada banyak perkara lain yang tidak diambil kira, namun amat berguna untuk menggagak nilai yang tidak memerlukan sehingga 6 figur penting (significant figures). Okay, mungkin ada yang dah pening. Kembali kepada topik asal.
    Bulatan antara geometri yang paling simetri
    Kredit: http://www.ux1.eiu.edu/~addavis/1360/24Gauss/SphrChrg.html
    Kadang-kadang, kita ada terfikir mengapa ayat ini tiba-tiba di sini? Bagaimana ayat-ayat ini disusun? Selalunya, jika kita hanya baca, rasa seperti topik itu tiba-tiba muncul. Walau bagaimanapun, pembacaan secara berhati-hati dapat menunjukkan betapa hebatnya susunan Allah. Contohnya, ayat 6-20 surah al-Baqarah (boleh rujuk al-Quran masing-masing).

     (a) Orang kafir yang hatinya tertutup
     (b) Orang munafiq yang mempunyai penyakit hati
     (c) Menegur mereka untuk tidak melakukan kerosakan, tetapi dijawab mereka baik
     (d) Tegur mereka untuk beriman, tetapi dikatakan orang beriman itu bodoh
     (e) Orang munafiq berolok-olok di hadapan orang beriman, tetapi Allah tahu
     (f) Perumpamaan bagi orang kafir: api dan kilat

    Jika kita menganalisis topik-topik ini, kita dapat lihat bahawa (a) dan (f) saling berkait kerana hati yang tertutup juga berpunca daripada menutup telinga dan mata, serta seperti tuli, bisu dan buta. (b) dan (e) pula berkaitan orang munafiq, manakala (c) dan (d) menunjukkan keengganan mereka menerima teguran, menujukkan merekalah yang bodoh dan pembuat kerosakan.
  3. Gema

    Gema gegar vaganza? Eh. Gema di sini bermaksud 'echo,' yang bunyi berulang-ulang disebabkan pantulan tu. Ada sesetengah perkataan ataupun frasa ataupun satu ayat itu, Allah ulang untuk mengingatkan kita terhadap ayat lagi satu itu. Walau bagaimanapun, maksudnya tidak sama. Gaya bahasa ini agak sukar untuk diterangkan dengan menggunakan contoh yang pendek. Contoh yang mudah ialah ayat 48 dan 123 surah al-Baqarah. Boleh rujuk al-Quran :D (jangan malas, mana tahu ada ayat-ayat lain yang kita dapat lihat kebesaran Allah)
    Kredit: http://www.okclipart.com/Echo-Clipart30ulauowef/

    Kedua-dua ayat itu hampir sama secara keseluruhannya, kecuali perkataan "syafaat" dan "adl" diletakkan di tempat berbeza. Dalam ayat 48, syafaat disebut dahulu sebelum adl, dan sebaliknya dalam ayat 123. Ayat 48 merupakan antara ayat-ayat di awal topik Bani Israel, dan ayat 123 merupakan ayat terakhir dalam topik tersebut. Ayat 123 seperti menrumuskan seluruh kisah itu, maka Allah ingatkan kembali kepada ayat di awal. Ini adalah antara pengajaran penting daripada seluruh kisah itu. Namun, perbezaan susunan "syafaat" dan "adl" itu kerana perbezaan anggapan setelah mengetahui seluruh kisah. Pada mulanya, "syafaat"(manusia) dianggap lebih berhasil daripada "adl" (adil, seperti tebusan) kerana mereka merupakan orang yang terpilih. Oleh itu, syafaat itu pasti akan berhasil. Pada akhirnya, kita tahu bahawa Allah, malaikat, rasul semuanya bermusuh dengan Bani Israel yang tidak mahu beriman. Maka, syafaat itu sudah terkeluar daripada pilihan, dan yang tinggal hanya tebusan. Walau bagaimanapun, kedua-dua ayat telah menekankan bahawa kedua-dua pilihan itu tidak akan berjaya.
Ini hanyalah sedikit daripada ilmu Allah. Ingatlah,

"Katakanlah: Kalau lautan menjadi tinta untuk kalimah-kalimah Tuhanku, sesungguhnya habislah lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu." (Al-Kahfi: 109)

Kita bercakap, hatta menulis pun tidak berfikir terhadap simetri, kata seerti, gema dan sebagainya. Bukankah benar ini adalah kata-kata Allah? Allah itu sesungguhnya sangat sempurna, malah hanya Dia yang sempurna. Kerana itulah al-Quran mukjizat sepanjang zaman, kerana kita kaji pun takkan tamat, walaupun secara berkumpulan. Sedikit demi sedikit idea datang menghuraikan kehebatan al-Quran, namun takkan pernah tamat idea itu.

Hebatnya kata-kata ini!

Sumber: Nouman Ali Khan - bayyinah.org




No comments:

Post a Comment