![]() |
| Photo by Naveen Chandra on Unsplash |
Kelihatan di langit yang cerah
Burung berterbangan tanpa lelah
Tanda kebesaran Allah
Yang Maha Indah
Ku bandingkan dengan diriku
Betapa bebasnya burung itu
Terbang tanpa perlu
Berfikir tentang masalah yang berlaku
Di alam yang hanya menunggu
Masa berlalu
Ramai yang berfikir
Kebebasan itu terhindar
Daripada hukum hakam yang diatur
Daripada peraturan yang mudah diingkar
Demi memuaskan keinginan
Yang tidak mungkin wujud di dunia sebenar
Lebih indahnya
Andai diri ini bebas seperti mereka
Meninggalkan arahan syaitan durjana
Menghindari nafsu yang mengawal jiwa
Inilah kebebasan utama
Yang sebenarnya diimpikan semua
Mengimbau kembali kenangan di sekolah, hari pertama ahli kelas kami berjumpa, guru kami mengarahkan kami melukis apa-apa yang menggambarkan diri. Salah seorang melukis burung, tanda beliau sukakan kebebasan. Menetap di asrama, kebebasan itu seperti diragut sedikit kerana sepanjang masa, ada sahaja peraturan yang perlu diikut. Berbanding di rumah, kita dapat melakukan apa sahaja. Namun, bagi saya, setelah keluar dari sekolah dan memasuki kolej, masa seperti tidak bermakna. Sukar memastikan masa digunakan dengan sebaiknya, lebih-lebih lagi apabila tidak mengambil banyak pelajaran semester itu. Mungkin hal ini berbeza dengan orang lain, mengikut personaliti masing-masing.
Kebebasan yang sebenar ialah dapat membebaskan diri daripada segala yang mengawal diri kita secara tidak sihat. Bagaimana kita tahu sifat yang manakah itu? Selalunya kita akan rasa ketagih, ataupun rasa tidak lengkap tanpanya. Seperti rokok dan dadah. Wah, bahaya kan jika begitu! Bukankah sukar untuk melepaskan ketagihan, walaupun tanpa nikotin? Sukar, namun pahalanya sangat besar jika kita berusaha.
Contoh yang paling biasa pada era ini ialah media sosial. Sehari tak buka, rasa seperti hari tak lengkap. Setiap jam, rasa tertarik untuk membacanya. Baca pula berjam-jam sehingga tak sedar masa. Tidak dinafikan media sosial ada faedahnya. Namun, adakah faedahnya untuk meluangkan masa yang begitu lama? Contoh lain: muzik. Nasyid sendiri boleh jadi melalaikan jika tidak dikawal. Bagaimana? Biasanya, ramai yang hanya menyanyikan lagu tanpa meneliti liriknya. Lalu, apakah bezanya dengan lagu lain? Kan lebih seronok jika dapat dihayati lirik dan diaplikasikan dalam hidup kita. Bukan sahaja untuk nasyid, malah ada lagu-lagu lain yang boleh menjadi motivasi.
![]() |
| Photo by Muhammad Raufan Yusup on Unsplash |
Bagaimana untuk bebas daripada segala ketagihan ini? Fikir apa tujuan anda melakukannya, adakah anda akan mendapat kebaikan atau keburukan? Adakah terdapat perkara lain yang lebih berfaedah? Bagi muzik, saya biasanya akan membuka radio untuk mengelakkan muzik secara berterusan. Kadangkala ada juga rancangan yang berfaedah selain lagu-lagu yang dipasang. Ada juga zikir-zikir dan doa. Sentiasa periksa niat kita, kerana hati itu berbolak-balik.
Secara umumnya, periksa hati kita. Adakah hati kita tenang melakukannya, atau rasa penat kerana rasa ketagih dengannya? Allah memberi hidayah melalui hati. Jika hati kita melarang, maka janganlah melakukannya. Andai hati ini sakit, carilah penawarnya. Ketahuilah, hati yang hidup ialah hati yang mengingati Allah. Andai perkara itu tidak membawa kepada mengingati Allah dan hati kita tidak rasa bersalah, cepatlah merawatnya. 😟 Semoga hati-hati kita termasuk dalam hati yang masih hidup.


No comments:
Post a Comment