Monday, November 13, 2017

Solat Membuang Masa?

Baru-baru ini terfikir, bagaimana orang bukan Islam sentiasa peka dengan masa? Ada orang kata, solat ini mengambil masa yang lama. Jadi, orang bukan Islam ada masa lebih banyak. Bagi saya, waktu solat amat memudahkan dalam pengurusan masa, seperti menjadi penanda malam dan siang, pagi dan petang. Bagi negara 4 musim, waktu matahari terbit dan terbenam amat berbeza merentasi tahun. Pada musim panas, pukul 4 pun sudah subuh, Maghrib pula jam 9 malam. Pada musim sejuk pula, subuh boleh menjelang pada jam 6.30 pagi, maghrib pula pada jam 5 petang. Jika tiada waktu solat, rasanya saya akan kurang peka tentang keadaan matahari kini.

Memandangkan kami diberi kelonggaran untuk memilih dan menyusun jadual sendiri, maka saya selalunya akan cuba mendapatkan kelas pada waktu pagi, memandangkan tidak perlu berkejar untuk menunaikan solat, lebih-lebih lagi pada musim sejuk. Walaupun selalunya ada juga masa perlu solat di tepi rak buku ataupun di tepi tangga, solat itu dirasakan seperti rehat daripada berfikir tentang pelajaran. Jika tidak, kerja rumah lah yang menjadi peneman sepanjang masa, ataupun membuang masa dengan media sosial...

Waktu solat ini mendisiplinkan kita. Tanpa kita sedar, kita lebih menepati waktu dan menghargai masa. Jika tidak selalu melihat masa, boleh jadi terlepas waktu solat. Temu janji dengan Allah itu lebih besar dan bermakna daripada temu janji manusia. Maka, jika kita tidak menjaga hubungan dengan Allah, bagaimana mahu menjaga hubungan dengan manusia?

Benarkah orang bukan Islam lebih banyak masa? Kebanyakan syarikat sekarang sedar bahawa lebih masa bekerja tidak bermakna lebih kualiti. Maka ada yang mewajibkan beberapa hari cuti kepada para pekerja supaya tidak menjadi 'workaholic.' Bagi Muslim, solat ialah kewajipan harian. Fikirkan solat sebagai rehat sebentar. Ibarat rehat harian, 5 kali sehari. Jadi solat boleh meningkatkan kualiti kerja kita. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan keberkatan masa. Semua manusia ada 24 jam, tetapi ada yang boleh menyiapkan banyak kerja dalam sehari, ada yang sedikit sahaja. Maka tempoh masa bukanlah ukuran kejayaan dalam sesuatu pekerjaan.

Marilah kita sentiasa berusaha untuk solat pada waktunya!

No comments:

Post a Comment