Monday, November 13, 2017

Solat Membuang Masa?

Baru-baru ini terfikir, bagaimana orang bukan Islam sentiasa peka dengan masa? Ada orang kata, solat ini mengambil masa yang lama. Jadi, orang bukan Islam ada masa lebih banyak. Bagi saya, waktu solat amat memudahkan dalam pengurusan masa, seperti menjadi penanda malam dan siang, pagi dan petang. Bagi negara 4 musim, waktu matahari terbit dan terbenam amat berbeza merentasi tahun. Pada musim panas, pukul 4 pun sudah subuh, Maghrib pula jam 9 malam. Pada musim sejuk pula, subuh boleh menjelang pada jam 6.30 pagi, maghrib pula pada jam 5 petang. Jika tiada waktu solat, rasanya saya akan kurang peka tentang keadaan matahari kini.

Memandangkan kami diberi kelonggaran untuk memilih dan menyusun jadual sendiri, maka saya selalunya akan cuba mendapatkan kelas pada waktu pagi, memandangkan tidak perlu berkejar untuk menunaikan solat, lebih-lebih lagi pada musim sejuk. Walaupun selalunya ada juga masa perlu solat di tepi rak buku ataupun di tepi tangga, solat itu dirasakan seperti rehat daripada berfikir tentang pelajaran. Jika tidak, kerja rumah lah yang menjadi peneman sepanjang masa, ataupun membuang masa dengan media sosial...

Waktu solat ini mendisiplinkan kita. Tanpa kita sedar, kita lebih menepati waktu dan menghargai masa. Jika tidak selalu melihat masa, boleh jadi terlepas waktu solat. Temu janji dengan Allah itu lebih besar dan bermakna daripada temu janji manusia. Maka, jika kita tidak menjaga hubungan dengan Allah, bagaimana mahu menjaga hubungan dengan manusia?

Benarkah orang bukan Islam lebih banyak masa? Kebanyakan syarikat sekarang sedar bahawa lebih masa bekerja tidak bermakna lebih kualiti. Maka ada yang mewajibkan beberapa hari cuti kepada para pekerja supaya tidak menjadi 'workaholic.' Bagi Muslim, solat ialah kewajipan harian. Fikirkan solat sebagai rehat sebentar. Ibarat rehat harian, 5 kali sehari. Jadi solat boleh meningkatkan kualiti kerja kita. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan keberkatan masa. Semua manusia ada 24 jam, tetapi ada yang boleh menyiapkan banyak kerja dalam sehari, ada yang sedikit sahaja. Maka tempoh masa bukanlah ukuran kejayaan dalam sesuatu pekerjaan.

Marilah kita sentiasa berusaha untuk solat pada waktunya!

Sunday, November 12, 2017

Bebas

Photo by Naveen Chandra on Unsplash

Kelihatan di langit yang cerah
Burung berterbangan tanpa lelah
Tanda kebesaran Allah
Yang Maha Indah

Ku bandingkan dengan diriku
Betapa bebasnya burung itu
Terbang tanpa perlu
Berfikir tentang masalah yang berlaku
Di alam yang hanya menunggu
Masa berlalu

Ramai yang berfikir
Kebebasan itu terhindar
Daripada hukum hakam yang diatur
Daripada peraturan yang mudah diingkar
Demi memuaskan keinginan
Yang tidak mungkin wujud di dunia sebenar

Lebih indahnya
Andai diri ini bebas seperti mereka
Meninggalkan arahan syaitan durjana
Menghindari nafsu yang mengawal jiwa
Inilah kebebasan utama
Yang sebenarnya diimpikan semua


Mengimbau kembali kenangan di sekolah, hari pertama ahli kelas kami berjumpa, guru kami mengarahkan kami melukis apa-apa yang menggambarkan diri. Salah seorang melukis burung, tanda beliau sukakan kebebasan. Menetap di asrama, kebebasan itu seperti diragut sedikit kerana sepanjang masa, ada sahaja peraturan yang perlu diikut. Berbanding di rumah, kita dapat melakukan apa sahaja. Namun, bagi saya, setelah keluar dari sekolah dan memasuki kolej, masa seperti tidak bermakna. Sukar memastikan masa digunakan dengan sebaiknya, lebih-lebih lagi apabila tidak mengambil banyak pelajaran semester itu. Mungkin hal ini berbeza dengan orang lain, mengikut personaliti masing-masing.

Kebebasan yang sebenar ialah dapat membebaskan diri daripada segala yang mengawal diri kita secara tidak sihat. Bagaimana kita tahu sifat yang manakah itu? Selalunya kita akan rasa ketagih, ataupun rasa tidak lengkap tanpanya. Seperti rokok dan dadah. Wah, bahaya kan jika begitu! Bukankah sukar untuk melepaskan ketagihan, walaupun tanpa nikotin? Sukar, namun pahalanya sangat besar jika kita berusaha.

Contoh yang paling biasa pada era ini ialah media sosial. Sehari tak buka, rasa seperti hari tak lengkap. Setiap jam, rasa tertarik untuk membacanya. Baca pula berjam-jam sehingga tak sedar masa. Tidak dinafikan media sosial ada faedahnya. Namun, adakah faedahnya untuk meluangkan masa yang begitu lama? Contoh lain: muzik. Nasyid sendiri boleh jadi melalaikan jika tidak dikawal. Bagaimana? Biasanya, ramai yang hanya menyanyikan lagu tanpa meneliti liriknya. Lalu, apakah bezanya dengan lagu lain? Kan lebih seronok jika dapat dihayati lirik dan diaplikasikan dalam hidup kita. Bukan sahaja untuk nasyid, malah ada lagu-lagu lain yang boleh menjadi motivasi.

Photo by Muhammad Raufan Yusup on Unsplash

Bagaimana untuk bebas daripada segala ketagihan ini? Fikir apa tujuan anda melakukannya, adakah anda akan mendapat kebaikan atau keburukan? Adakah terdapat perkara lain yang lebih berfaedah? Bagi muzik, saya biasanya akan membuka radio untuk mengelakkan muzik secara berterusan. Kadangkala ada juga rancangan yang berfaedah selain lagu-lagu yang dipasang. Ada juga zikir-zikir dan doa. Sentiasa periksa niat kita, kerana hati itu berbolak-balik.

Secara umumnya, periksa hati kita. Adakah hati kita tenang melakukannya, atau rasa penat kerana rasa ketagih dengannya? Allah memberi hidayah melalui hati. Jika hati kita melarang, maka janganlah melakukannya. Andai hati ini sakit, carilah penawarnya. Ketahuilah, hati yang hidup ialah hati yang mengingati Allah. Andai perkara itu tidak membawa kepada mengingati Allah dan hati kita tidak rasa bersalah, cepatlah merawatnya. 😟 Semoga hati-hati kita termasuk dalam hati yang masih hidup.

Sunday, September 10, 2017

Ready... Go!

Suara azan berkumandang
Menandakan jemaah perlu bersegera datang
Kelihatan ramai di perkarangan
Juga di dewan sembahyang
Solat sunat ditunaikan
Al-Quran didendangkan
Alunan zikir yang menenangkan
Itulah sebaiknya
Daripada perbualan
Juga urusan
Yang boleh dilakukan
Selepas pertemuan
Dengan Tuhan

Sering aku lihat, lelaki lebih banyak menunaikan solat sunat di masjid. Perempuan pula, selalunya akan terus duduk. Mungkin lelaki sudah biasa dengan keadaan di masjid. Namun, ada juga perkara yang boleh dibetulkan.

1. Diam
Semasa azan kedengaran, tinggalkan segala hal dunia dan fokus untuk bertemu Allah. Azan itu ibarat peringatan terhadap Yang Maha Pencipta. Hayati azan. Fahami maksudnya.

2. Solat sunat
Sementara menunggu solat berjemaah, elok dilakukan solat sunat sebagai persediaan mental dan jiwa. Saya sendiri merasakan solat dapat ditunaikan lebih khusyuk setelah solat sunat. Jika tidak pun, berzikir ataupun bacalah al-Quran. Bayangkan, jika kita terus dengan perbualan kosong, pasti topik itu tetap di dalam fikiran ketika solat.

3. Bersegera
Ada orang yang melengahkan solat jemaah supaya tidak perlu berdiri lama. Namun, saf pertama itu semestinya paling baik. Ini adalah peluang keemasan anda!

4. Rapatkan saf
Elakkan ruang kosong di tengah-tengah saf, kerana itu boleh mengakibatkan orang lain tidak khusyuk. Saf perlu dirapatkan ke tengah (mengarah ke imam) supaya makmum betul-betul di belakang imam. Pada pendapat saya, jika ada makmum yang menggunakan kerusi, bolehlah rapat ke arah mereka kerana mereka tidak boleh bergerak dari situ.

Solat yang khusyuk dipengaruhi sejak azan lagi. Jagalah solat kita, kerana solat itu tiang agama.

Sunday, June 11, 2017

Panopticon

Pada waktu malam, seorang perompak sedang berjalan ke arah rumah yang menjadi tumpuannya sejak minggu lalu. Dia hanya seorang. Keadaan sekeliling juga gelap, seakan-akan tiada manusia lain. Hanya kedengaran bunyi cengkerik dan tikus yang berkeliaran. Dengan profesional, dia memanjat pagar rumah tanpa kedengaran sebarang bunyi. "Menyerah!" Kedengaran jeritan pasukan polis yang sedang memantau setelah sekian lama. "Bam!" Sepandai-pandai perompak melompat, akhirnya jatuh ke lantai juga...

Perompak tersebut tidak menyedari pengawasan pihak polis terhadap dirinya. Jika dia tahu, pasti dia akan membatalkan niat merompak pada hari itu.

Bagaimana pula jika timbul perasaan diperhatikan ketika tiada siapa di situ? Pasti dia juga akan bertindak meninggalkan rumah itu tanpa melakukan kejahatan. Walaupun dia jahat, namun rugi bukan?

Inilah konsep yang diterangkan melalui model Panopticon oleh Jeremy Bentham. Pada zaman dahulu, mereka ingin melahirkan masyarakat berdisiplin melalui pengawalan fizikal tanpa penyeksaan.
Kredit: https://foucault.info/doc/documents/disciplineandpunish/foucault-disciplineandpunish-panopticism-html

Panopticon dibayangkan seperti sel-sel penjara di sekeliling sebuah menara tinggi. Cermin menara tersebut hanya membenarkan orang di dalamnya melihat tanpa disedari oleh orang di luar, seperti 'tinted.' Dengan kata lain, hanya pengawal yang boleh melihat tanpa disedari oleh banduan. Situasi ini menyebabkan banduan berkelakuan baik kerana mereka merasakan bahawa mereka sentiasa dilihat. Hakikatnya, pengawal boleh meninggalkan menara itu pada bila-bila masa. Oleh itu, banduan itu seperti menjadi pengawal kepada diri sendiri tanpa kehadiran pengawal sebenar.

Tatkala belajar tentang konsep ini di dalam kelas Sains dan Teknologi dalam Budaya Amerika, saya teringat tentang konsep Ihsan dalam hadith kedua daripada koleksi Hadith 40 Imam An-Nawawi:

"... Ihsan itu beribadah kepada Allah seperti kamu melihatNya. Sekiranya kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu..."

Kita perlu sedar bahawa kita sentiasa diawasi. Bukanlah mahu menyamakan kita seperti banduan, tetapi kita hanyalah hamba Allah yang Maha Melihat. Berlaku ihsan dapat mengelakkan kita daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam. Bayangkan, jika perlakuan buruk kita diketahui orang, buruk padahnya. Apatah lagi apabila Allah mengetahuinya!

Pernah saya mendengar kisah seorang guru menyuruh anak muridnya menyembelih ayam di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa. Maka, bertebaranlah mereka ke belakang pokok, dalam perigi, dan sebagainya. Namun, salah seorang muridnya tidak berjaya menyembelih ayam tersebut. Apabila ditanya, beliau menjawab bahawa tiada tempat yang tidak dilihat oleh Allah. Betapa sedarnya murid tersebut bahawa Allah Maha Melihat!

Para pengawal dalam Panopticon mungkin akan pergi pada bila-bila masa. Andai ada banduan yang sangat cerdik sehingga dapat menjangka masa yang tepat apabila pengawal tidak melihat, pasti dia dapat juga melarikan diri. Para pengawal tersebut perlu ditukar supaya dapat berehat dan tidur. Berbeza dengan Panopticon, Allah tidak pernah lalai dalam mengawasi kita sebagaimana dalam Ayat Kursi:

"Allah... Dia tidak mengantuk dan tidak tidur..." (Al-Baqarah: 255)

Sememangnya Allah Maha Mengetahui segalanya, sehinggakan sebutir pasir yang bergerak pun Allah tahu. Maka, bagaimana pula kita mahu bertindak seperti tiada orang yang melihat kita?
Kita takkan dapat lari dari CCTV Allah!

Ada orang yang tak dapat merasakan pengawasan Allah. "Tak apa, orang lain tak nampak..." Tetapi, bagaimana kita boleh begitu pasti orang lain tidak nampak? Tahukah anda, perlakuan buruk yang tidak diketahui orang itu disembunyikan Allah? Walaupun tidak diketahui orang, Allah Maha Berkuasa untuk mendedahkannya kepada masyarakat.

Mungkin pada masa itulah, Allah mengambil nyawa kita tanpa sempat kita memadamkan atau mengubah perlakuan itu.
Mungkin, Allah mendatangkan ujian yang memaksa orang lain menyiasat perbuatan itu.
Mungkin juga, Allah sengaja membiarkan kita bergelumang dengan dosa seperti Istidraj (mendapat nikmat yang banyak tetapi ingkar Allah, supaya tidak bertaubat).
Semoga kita dihindarkan daripada situasi-situasi ini.

Apabila aib kita ditutup oleh Allah, bersyukurlah dan bertaubatlah. Allah masih memberikan kita masa untuk mengubah diri. Adakalanya seseorang kelihatan baik dan warak, namun hakikatnya Allah lah yang menutup aibnya.

Sememangnya, kita hanyalah hamba Allah. Allah Maha Melihat, lebih hebat daripada Panopticon. Mengapa mahu melakukan kemungkaran dan perkara sia-sia apabila dilihat Allah?


Tuesday, May 23, 2017

Sambutlah

Kini bulan suci telah tiba
Mari kita menyambutnya
Jalankan perintah dariNya
Puasa satu bulan lamanya

Selalunya kita sambut hari lahir ahli keluarga, rakan-rakan. Tahukah anda, menyambut Ramadan ibarat menyambut hari lahir al-Quran, surat cinta daripada Allah? Lalu, apakah cara meraikannya? Ketupat? Lemang? Mestilah dengan puasa! Kita puasa kerana...

Wahai orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti diwajibkan ke atas orang sebelum kamu supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.
(Al-Baqarah: 183)

Perkataan "siyam" yang bermaksud puasa itu sendiri mempunyai makna yang mendalam. Perkataan ini tidak pernah digunakan oleh orang Arab untuk manusia. Pada asalnya, perkataan ini digunakan untuk kuda-kuda berpuasa untuk melatihnya dalam panas dan serba kekurangan supaya kuda itu menjadi lebih kuat. Oleh itu, Allah menggunakan "siyam" kepada kita untuk menunjukkan bahawa puasa ini akan melatih kita menjadi kuat selepas Ramadan. Seperti atlet yang memakai pemberat kaki ketika berlatih. Apabila pemberat itu dilepaskan ketika pertandingan, mereka menjadi lebih hebat. Maka, itulah tujuan kita berpuasa: menjadi lebih kuat selepas Ramadan.

Namun, adakah kekuatan yang kita akan capai sama dengan kuda ataupun para alet? Selepas berpuasa, terus boleh angkat berat? Kalau betul, pasti semua orang puasa! Namun, kita sebenarnya melatih ruh kita untuk menjadi lebih kuat. Bagaimana?



Kita ambil contoh kuda (lagi). Bayangkan kita menunggang kuda. Kuda hanya dapat dikawal sekiranya kita lebih kuat daripadanya. Jika kita lemah, kuda itu boleh membawa kita ke mana-mana, entah-entah sehingga negara lain! Boleh sesat jadinya. Sama seperti manusia. Ruh ibarat penunggang, manakala nafsu ialah kuda. Penunggang mestilah kuat untuk mengawal kuda, dan ruh mestilah kuat untuk mengawal nafsu. Kalau nafsu terlalu kuat, ruh juga akan dibawa sesat bersama! Jadi, bagaimana pula kita mahu mengawal 'kuda' kita?

Puasa! Kalau perasan, Allah menyuruh kita berpuasa daripada keperluan-keperluan, bukan sekadar kehendak. Air, makanan hatta isteri pun antara keperluan manusia. Mengapa Allah melarang kita mendapatkan keperluan? Apabila kita berpuasa, secara automatiknya, perut dan seluruh badan kita menyuruh kita makan, minum. Kalau tak diikut, maka rasakanlah kepenatannya. Namun, ruh mengingatkan kita bahawa takut terhadap Allah itu lebih utama daripada keperluan. Hal ini penting kerana kita ingin menunjukkan bahawa kita mampu berpuasa daripada keperluan semata-mata kerana Allah, untuk bertaqwa kepada Allah. Inilah yang disebut di dalam ayat 183 surah al-Baqarah itu:

... Supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.

Kita berbeza daripada agama lain yang berpuasa untuk menyeksa diri. Allah menyuruh kita mengawal, bukan menyeksa. Allah tahu kemampuan badan kita kerana Dialah yang menciptakan kita. Allah menciptakan segala makanan dan minuman di dunia ini untuk kita. Maka, mengapa pula Allah mahu menyeksa diri kita daripada mengambil nikmat-nikmat itu? Walau bagaimananpun, nafsu terhadap perkara-perkara itu perlu dikawal. Kerana kita manusia, bukannya haiwan. Hanya haiwan yang mengikut nafsu.

Namun, bila fikir balik, bukankah puasa = lapar? Bagaimana pula mahu menjadi kuat? Harus diingat, roh mempunyai makanan lain. Maka, saat kita mengawal nafsu dengan berpuasa, roh juga mahu makan. Apakah makanannya? Al-Quran! Roh dijadikan daripada cahaya, maka cahaya lah makanannya. Allah menggunakan perkataan "nur" untuk al-Quran, yang bermaksud cahaya. Maka, pastilah al-Quran itu dapat mengenyangkan roh kita. Maka, 'makan'lah al-Quran untuk menghilangkan rasa lapar itu.

Konklusinya: Ramadan merupakan latihan untuk menjadikan kita kuat pada masa hadapan melalui puasa dan al-Quran, dan kekuatan itu diperoleh dengan mengawal diri. Taqwa merupakan sifat yang sentiasa berhati-hati terhadap segalanya dan menyelamatkan diri kita daripada perkara yang berbahaya.

Marilah kita menyambut dengan suka cita
Indahnya puasa
Marilah kita menyambut dengan suka cita
Indahnya berdoa
Hanya padaMu, hanya untukMu, kupanjatkan syukur

Jom, kita sambut Ramadan dengan gembira, bukan dengan mengeluh!

Sumber:
Nouman Ali Khan (Tafsir Surah al-Baqarah)
Muadz - Sambutlah (https://www.youtube.com/watch?v=kUcK5Tt7kP0)


Tuesday, May 9, 2017

Kata-kata

Ada orang banyak berkata-kata, selalunya dipanggil extrovert. Merekalah yang meriuhkan suasana yang sunyi sepi. Mendapat tenaga daripada rakan-rakan dan orang sekeliling. Ada orang pula introvert, hanya berkata-kata ketika diperlukan. Memerlukan masa bersendirian untuk mengecas tenaga. Sesetengah orang berpendapat bahawa kata-kata orang introvert lebih bermakna kerana mereka menyusunnya dan memikirkannya terlebih dahulu sebelum disampaikan kepada orang lain. Walau bagaimanapun, orang extrovert biasanya lebih terbuka untuk berbincang secara spontan apabila mendapat idea secara tiba-tiba. Ambivert pula bersikap kedua-duanya mengikut keadaan.

Walau bagaimanapun, golongan-golongan ini terdapat satu persamaan: Tiada yang mempunyai kata-kata yang sempurna. Walaupun hanya membaca skrip, skrip itu ditulis kadangkala tanpa niat untuk mengikut susunan. Ada yang salah perkataan, justeru menyebabkan ada yang terasa ataupun diambil kesempatan. Ada yang mengikut susunan secara rawak, mengikut idea yang datang. Jadi, kata-kata apa yang paling hebat? TED talk speakers? Presiden atau Perdana Menteri?

Jawapannya... Kalam Allah!

Eh, tapi Quran itu kitab, bukannya ucapan. Namun, jika kita membacanya, kita akan rasa seperti Allah bercakap dengan kita (sebenarnya memang, bukan seperti). Lihatlah, Allah menggunakan kata-kata yang merupakan perkataan biasa digunakan dalam kalangan Arab, lebih-lebih lagi Quraisy. Ada soalan dalam al-Quran, ada kisah-kisah, perumpamaan, bayangan, dan sebagainya yang kita biasa gunakan dalam perbualan. Allah tak menggunakan perkataan teknikal (jargon words) dalam menghuraikan ciptaan-ciptaannya, seperti Allah mengajak kita melihat bumi dalam Surah al-Ghasyiyah, ayat 20:

"Dan bumi, bagaimana ia dihamparkan?"

Secara saintifiknya, kita tahu bahawa bumi ini bulat, ataupun lebih tepat bujur sedikit. Namun, kita nampak bumi ini rata. Allah tidak menyebut bahawa bumi ini benar-benar dihamparkan, tetapi mengajak kita berfikir bagaimana bumi ini kelihatan seperti hamparan? Benarkah hamparan ini rata?

Sejak Ramadan lalu, saya mengikuti siri Tafsir al-Baqarah oleh Nouman Ali Khan. Pengalaman itu menyebabkan minda seperti terbuka. Rasa benar-benar al-Quran ini datang dari Allah. Sangat sempurna! Dan kesempurnaan itu takkan pernah tamat digali oleh manusia. Beliau lebih ke arah linguistik, bahasa dan gaya yang digunakan di dalam al-Quran. Secara ringkasnya, saya dapat simpulkan beberapa perkara, walaupun tafsir itu masih belum tamat:
  1. Perkataan yang digunakan sangat sesuai

    Ada perkataan yang terdapat beberapa maksud, seperti kata banyak makna. Namun, semua maksud tersebut berkait dengan konteks dan menghuraikan lebih lanjut hanya menggunakan satu perkataan. Perkataan "syaitan" itu sendiri boleh terdiri daripada 3 maksud: (1) Daripada "syaato" bermaksud bersedia untuk dibakar. (2) Daripada "syatin" yang bermaksud orang yang jauh daripada jalan yang benar. (3) Yang menarik tali secara perlahan-lahan (boleh bermaksud menarik manusia perlahan-lahan). Kita boleh lihat betapa tepatnya perkataan yang Allah gunakan di sini, dengan segala maksudnya boleh menghuraikan ciri-ciri syaitan, dengan hanya satu perkataan.

    Ada juga sesetengah perkataan yang kita anggap seerti, dan kita menggunakannya secara bertukar-tukar. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan, terutamanya dalam bahasa Arab yang sangat visual maknanya.Contohnya, ayat 5 surah al-Baqarah:

    "... Merekalah orang yang berjaya"

    Allah menggunakan "muflihun" sebagai janji bahawa orang beriman akan berjaya. Satu lagi kata yang kita mungkin anggap seerti ialah "faizun" yang juga bermaksud berjaya. Namun, "muflihun" menunjukkan bahawa kejayaan itu sentiasa ada, sentiasa berjaya. Perakataan "falah" juga berkait rapat dengan "fallah" yang bermaksud petani. Para petani perlu berusaha secara bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil yang baik. Perlu jaga tanah, letak baja, siram air, cantas pokok. Sukar, namun hasilnya akan menjadi yang terbaik. Maka, secara ringkasnya orang beriman ini diklasifikasikan sebagai sentiasa berjaya setelah berusaha bersungguh-sungguh.
    Jadilah seperti Fallah!
    Kredit: http://www.clipartpanda.com/clipart_images/farmer-clip-art-4-419x662-2425058
  2. Simetri (symmetry)

    Eh, kata-kata pun ada simetri? Selalunya kita dengar hanya bentuk ataupun geometri. Teringat profesor selalu menekankan "the S word" untuk Peraturan Gauss dan Ampere (Gauss's Law and Ampere's Law). Bagi yang tak tahu, teknik ini menggunakan simetri untuk memudahkan pengiraan, dan ini hampir mustahil untuk pengiraan yang betul kerana ada banyak perkara lain yang tidak diambil kira, namun amat berguna untuk menggagak nilai yang tidak memerlukan sehingga 6 figur penting (significant figures). Okay, mungkin ada yang dah pening. Kembali kepada topik asal.
    Bulatan antara geometri yang paling simetri
    Kredit: http://www.ux1.eiu.edu/~addavis/1360/24Gauss/SphrChrg.html
    Kadang-kadang, kita ada terfikir mengapa ayat ini tiba-tiba di sini? Bagaimana ayat-ayat ini disusun? Selalunya, jika kita hanya baca, rasa seperti topik itu tiba-tiba muncul. Walau bagaimanapun, pembacaan secara berhati-hati dapat menunjukkan betapa hebatnya susunan Allah. Contohnya, ayat 6-20 surah al-Baqarah (boleh rujuk al-Quran masing-masing).

     (a) Orang kafir yang hatinya tertutup
     (b) Orang munafiq yang mempunyai penyakit hati
     (c) Menegur mereka untuk tidak melakukan kerosakan, tetapi dijawab mereka baik
     (d) Tegur mereka untuk beriman, tetapi dikatakan orang beriman itu bodoh
     (e) Orang munafiq berolok-olok di hadapan orang beriman, tetapi Allah tahu
     (f) Perumpamaan bagi orang kafir: api dan kilat

    Jika kita menganalisis topik-topik ini, kita dapat lihat bahawa (a) dan (f) saling berkait kerana hati yang tertutup juga berpunca daripada menutup telinga dan mata, serta seperti tuli, bisu dan buta. (b) dan (e) pula berkaitan orang munafiq, manakala (c) dan (d) menunjukkan keengganan mereka menerima teguran, menujukkan merekalah yang bodoh dan pembuat kerosakan.
  3. Gema

    Gema gegar vaganza? Eh. Gema di sini bermaksud 'echo,' yang bunyi berulang-ulang disebabkan pantulan tu. Ada sesetengah perkataan ataupun frasa ataupun satu ayat itu, Allah ulang untuk mengingatkan kita terhadap ayat lagi satu itu. Walau bagaimanapun, maksudnya tidak sama. Gaya bahasa ini agak sukar untuk diterangkan dengan menggunakan contoh yang pendek. Contoh yang mudah ialah ayat 48 dan 123 surah al-Baqarah. Boleh rujuk al-Quran :D (jangan malas, mana tahu ada ayat-ayat lain yang kita dapat lihat kebesaran Allah)
    Kredit: http://www.okclipart.com/Echo-Clipart30ulauowef/

    Kedua-dua ayat itu hampir sama secara keseluruhannya, kecuali perkataan "syafaat" dan "adl" diletakkan di tempat berbeza. Dalam ayat 48, syafaat disebut dahulu sebelum adl, dan sebaliknya dalam ayat 123. Ayat 48 merupakan antara ayat-ayat di awal topik Bani Israel, dan ayat 123 merupakan ayat terakhir dalam topik tersebut. Ayat 123 seperti menrumuskan seluruh kisah itu, maka Allah ingatkan kembali kepada ayat di awal. Ini adalah antara pengajaran penting daripada seluruh kisah itu. Namun, perbezaan susunan "syafaat" dan "adl" itu kerana perbezaan anggapan setelah mengetahui seluruh kisah. Pada mulanya, "syafaat"(manusia) dianggap lebih berhasil daripada "adl" (adil, seperti tebusan) kerana mereka merupakan orang yang terpilih. Oleh itu, syafaat itu pasti akan berhasil. Pada akhirnya, kita tahu bahawa Allah, malaikat, rasul semuanya bermusuh dengan Bani Israel yang tidak mahu beriman. Maka, syafaat itu sudah terkeluar daripada pilihan, dan yang tinggal hanya tebusan. Walau bagaimanapun, kedua-dua ayat telah menekankan bahawa kedua-dua pilihan itu tidak akan berjaya.
Ini hanyalah sedikit daripada ilmu Allah. Ingatlah,

"Katakanlah: Kalau lautan menjadi tinta untuk kalimah-kalimah Tuhanku, sesungguhnya habislah lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu." (Al-Kahfi: 109)

Kita bercakap, hatta menulis pun tidak berfikir terhadap simetri, kata seerti, gema dan sebagainya. Bukankah benar ini adalah kata-kata Allah? Allah itu sesungguhnya sangat sempurna, malah hanya Dia yang sempurna. Kerana itulah al-Quran mukjizat sepanjang zaman, kerana kita kaji pun takkan tamat, walaupun secara berkumpulan. Sedikit demi sedikit idea datang menghuraikan kehebatan al-Quran, namun takkan pernah tamat idea itu.

Hebatnya kata-kata ini!

Sumber: Nouman Ali Khan - bayyinah.org




Friday, May 5, 2017

Siapa yang putus asa?

Soalan yang sering timbul di minda: mengapa ada orang yang tahu Islam, tetapi tidak mahu mengamalkannya? Pengalaman bersama rakan-rakan seperti membuktikan perkara itu berlaku. Apabila kami berkumpul, pasti ada satu terdengar, "Eh, janganlah buat macam tu. Ada dialah," terutamanya apabila ada yang mencarut ataupun menceritakan perkara yang tidak bagus. Mereka seperti menghormati orang yang dianggap baik dan suci, tetapi adakah mereka menganggap diri mereka sendiri tidak baik?

1. "Mesti masuk neraka!"

Semua orang pasti mahu masuk syurga. Tetapi, ada pula segolongan kecil yang berpendapat bahawa mereka sudah pasti akan masuk neraka, maka mereka tidak mahu berbuat apa-apa tentang itu. Namun, bukankah Allah Maha Pengampun? Berkali-kali dalam al-Quran, Allah berfirman "Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang" juga "Allah Maha Pengampun, Maha Penyantun." Mungkin ada yang fikir, kalau bertaubat pun pasti akan buat lagi. Ya, memang kita sebagai manusia sentiasa berbuat dosa, itu normal. Anda abnormal jika anda fikir anda tiada dosa. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya kalian tidak pernah berbuat dosa, niscaya Allah akan mengganti kalian dengan mendatangkan suatu kaum yang kemudian kaum tersebut berbuat dosa, kemudian mereka meminta ampun kepada Allah, dan Allah akan mengampuni mereka” (HR. Muslim)"


Maka, Allah tidak murka terhadap manusia yang berdosa, tetapi murka kepada manusia yang berbuat dosa tetapi tidak bertaubat kepada Allah. Allah sendiri yang memberi kita nafsu, membenarkan syaitan menghasut kita, dan Dia faham bahawa kita adalah pendosa.


Ada yang sudah berputus asa untuk menghindari dosa dan bertaubat. "Penatlah... Berapa kali bertaubat, lama-lama terbuat juga." Namun, cuba kita fikir, mengapa Allah masih mengekalkan kita di dunia? Mengapa Allah tidak matikan kita dalam dosa? Ketahuilah, Dia tidak berputus asa dengan kita. Kita tidak mahu tergolong dalam golongan yang Allah panjangkan umur untuk menambah dosa, bahkan kita mahu berada dalam orang-orang yang diberikan nikmat Allah.


Allah tidak berputus asa dengan kita, mengapa kita pula mahu putus asa?

Kredit: https://www.linkedin.com/pulse/best-advice-never-give-up-brigette-hyacinth

2. "Kenapa?"

Ada juga yang masih tertanya-tanya, mengapa kena buat itu, ini? Kenapa banyak sangat halangan? Kenapa Allah suruh?

Solusinya: Baca dan fahami al-Quran. Faham itu penting, kerana menerusi al-Quran, kita dapat mengenal Allah, mengenal sifatnya, dan seterusnya faham perkara-perkara yang dihalalkan dan diharamkan. Allah s.w.t. berfirman:

"Maka adakah mereka tidak menghayati al-Quran, atau adakah hati mereka terkunci?" (47:24)

Saya sebelum ini selalu fokus terhadap tilawah dan hafazan semata-mata. Apabila baca maksud ayat pun, baca tanpa menghayati kerana selalu hilang fokus. Tetapi setelah mendengar tafsir Nouman Ali Khan pertama kali untuk Surah al-Baqarah (bayyinah.org), minda rasa macam terbuka. Sangat-sangat banyak kehebatan Allah yang boleh dilihat hanya melalui bahasa dan kata-kata yang digunakan. Boleh jadi satu perkataan itu, ada banyak maksud dan semuanya boleh digunakan dalam konteks itu. Yang menariknya, cara Allah susun al-Quran juga memandu kita memahami Islam dengan baik. Maka, kita perlu belajar al-Quran mengikut susunan yang betul, dari al-Fatihah sehingga an-Nas. Contohnya, bahagian awal al-Baqarah menceritakan tentang Adam a.s. Oleh itu, perkara pertama yang kita perlu tahu ialah tujuan kita diciptakan. Kemudian, ada cerita tentang Bani Israel, Ibrahim a.s. dan seterusnya. Maka, kita akan dapat jawapannya apabila kita  mengenal Allah.

3. "Kenapa orang lain boleh buat?"

Kebiasaan orang tak semestinya membenarkan perkara itu. Malah, kebiasaan pun berbeza mengikut adat di tempat-tempat lain.

Analogi yang boleh diberi ialah uniform. Di Amerika Syarikat, pelajar sekolah tidak tertakluk kepada uniform. Namun, mereka boleh terikat dengan ikatan sosial. Kalau mahu popular, mesti pakai pakaian tertentu. Jika nak berkawan dengan kumpulan itu, mesti bergaul macam mereka. Bukankah itu lebih sukar daripada ada uniform sekolah, yang mana semua orang boleh bergaul tanpa bergantung kepada pakaian tertentu?

Ingatlah kehambaan terhadap Allah itulah kebebasan yang paling tinggi yang kita akan dapat. Perhambaan terhadap manusia/sosial, benda, dan nafsu akan memakan diri, menyusahkan diri. Jika kita hanya fikir Allah, Allah sudah menunjukkan jalan kepadaNya, serta Dia Maha Mengetahui terhadap keupayaan diri kita kerana Dia Maha Pencipta. Maka, sudah pasti segalanya menjadi mudah. Manusia pula berbeza-beza, kerana manusia pasti ada 'personal bias' dan bukan mudah untuk tahu semua itu. Mengapa mahu menyusahkan diri, sedangkan Allah memudahkan kita?

Jika kita fikir soal haram, Allah menghalalkan banyak benda. Malah, semua benda yang baik Allah halalkan. Perkara yang haram itu hanya membinasakan diri kita. Apa ruginya kita ikut aturan Allah ini?

4. "Aku tertekan..."

Ada beberapa rakan saya yang telah kehilangan ibu ataupun ayah mereka. Benar, mereka berasa kurang kasih sayang, saya tidak nafikan itu. Juga mungkin benar andai mereka memberi alasan bahawa perkara itu menyebabkan mereka melakukan perkara yang tak sepatutnya. Kadangkala, kerenggangan dengan adik-beradik pun boleh menjadi punca seseorang bersama dengan teman lelaki atau perempuan. Kerana mereka mahukan kasih sayang.

Semua itu tidak boleh dinafikan. Namun, Allah tahu bahawa kita akan dapat mengharungi dugaan itu. Bukankah Allah berfirman:

"Allah tidak memberatkan seseorang melainkan dengan kemampuannya." (2:286)

Allah beri ujian ikut kemampuan. Allah tidak akan beri 'dumbbell' paling kepada orang tua!
Kredit: https://wiki.teamfortress.com/w/images/thumb/c/cc/Heavytaunt1.PNG/320px-Heavytaunt1.PNG?t=20110820152258

Dugaan itu untuk menguji kekuatan iman kita. Anggaplah tekanan itu sebagai satu peperiksaan yang paling besar dalam hidup kita, lebih hebat dari SPM. Pasti kita akan berusaha sehabis mungkin untuk berjaya dalam peperiksaan itu. Menggunakan alasan tertekan untuk berbuat dosa, seperti sengaja menggagalkan peperiksaan tanpa belajar sedikit pun, walaupun perkara asas. Padahal, kemenangan itu mungkin hanya selangkah saja lagi. Allah tahu ujian itu akan memberi kelebihan kepada kita. Namun, itu hanya boleh diperoleh jika kita berusaha. Jadikan ujian dan kehilangan itu sebagai alasan untuk kita lebih dekat kepada Allah, bukan lebih jauh daripadaNya.

Pasti ada lagi punca-punca yang menyebabkan kita tidak mengamalkan Islam. Walau bagaimanapun, fokus kepada Allah, dan ingatlah betapa penyayangnya Allah (juga azabnya jika tidak mengikut Islam). Secara ringkasnya, al-Quran jalan penyelesaian utama untuk memberi petunjuk kerana

"Kitab itu tiada keraguan padanya, petunjuk untuk orang yang bertaqwa." (2:2)

Jom jadi orang yang bertaqwa, melalui al-Quran!

Monday, February 13, 2017

Books

Related to my previous post, I just want to share my reading pathway I had written for my class assignment :D


My house is full of books. Every corner, there are books, whether on the shelves or even scattered on the tables. I think that is why I love reading books since I was a child.

            I do not really remember about my early reading. The earliest book I can recall is a novel, a birthday gift from my parents. Written in my native language (Malay), the story revolves around the life of a girl entering a boarding school. Although I was still in elementary school, it was such a good early experience for me with novels. After receiving the novel, I know the books published by the publisher were very good and interesting. That was a kick start that I started searching for new novels, especially when the International Book Fair was approaching. Most of the novels I bought was about adventures and science fiction, such as traveling to the future and the Famous Five series (in Malay). During that age (about 9 years old), I  also started reading English short stories by Enid Blyton from my sister’s collections. Most of the stories were about fairies and talking toys, which I found them interesting and imaginative. I think those were the only English stories I read when I was a child.

            Those novels stated above were only about 200 pages long. The first ‘thick’ novel I read was ADAM, and I love that novel very much. It was not about a person named Adam though. ADAM is actually an abbreviation that generally means ‘I am a Malaysian.’ It was about a Malaysian guy traveling to the states to visit her daughter who was studying there. Alas, they met with an accident. The Malaysian guy was accused as a drunk driver and was sentenced to prison. That novel was heartbreaking yet really suited my interests. From then, I became a fan of the writer, who is claimed as the first thriller novelist in my country. Actually, this interest is shared among my siblings, so we never miss even a single of his books, although sometimes we need to wait for the Book Fair to get lower prices.

            My experience in exploring books does not stop there. During my years in middle school, most of my friends liked to read the novels written by a popular anonymous writer. They are popular among my brother’s friends too. Thus, we decided to buy one of his or her novel, which was about a young woman’s life. We tried to read, and it surprised us! Both of us did not like the book at all. The most irritating factor about the book is the language used. The words are so informal and sometimes we could not understand them. Maybe it is suitable for the current generation who used with weird and unnecessary abbreviations, and misused words. Although it was not using improper words, but I still feel that it was not appropriate to use spoken words in writing. That makes me realized that I am quite a perfectionist on using the proper language, and also concern about the changes of language culture.

            Currently, I have three favorite authors: Ramlee Awang Murshid, Faisal Tehrani and Hilal Asyraf. The similarities between them are of course, they are Malays, and their books includes religious perspectives of Islam and moral values which I think are beneficial. Ramlee Awang Murshid’s novels are mostly fictional, and there are always plot twists in the stories beyond one’s expectations. That what makes his stories interesting. For example, at first the story looks like a horror story, but at the end it actually has a scientific explanation about the scary incidents. Faisal Tehrani’s novels are mostly about histories and they are told in excellent ways such that people will not feel bored. One of his book was about our nation’s history, but he supplied it with food stories, about how certain food got their names.  On the other hand, Hilal Asyraf actually writes both fictional and also motivational books. However, I mostly read the novels, which always about friendships, action and faith. What makes his books special are religious moral values are instilled while people enjoying the action stories. An example of his book is Hero, which basically about a superhero in a suit, who was changing himself to the better. I really enjoyed reading their books.

            The books I currently read is different from my childhood readings in which I read thicker books with more intellectual and religious values. My family and I always go to the International Book Fair held every year to get new books and novels, mainly because there are discounts. Although our house is full of books, they are still not enough for us to fill our free time.



Sunday, February 12, 2017

Buku



Baru-baru ini saya ke Public Library (dinamakan Metropolitan Library mungkin disebabkan di bandar besar), tetapi bukan Main Library. Maka, saiznya tidaklah begitu besar, seperti Perpustakaan Shah Alam. Malah, rasanya lebih kecil dari perpustakaan di Selayang. Kebanyakan buku di situ sama seperti di Malaysia: novel fiksyen dan bukan fiksyen, ensiklopedia, buku kanak-kanak. Namun, mereka juga ada menyediakan DVD dan buku audio (CD AudioBook) bagi sesiapa yang lebih suka mendengar dan menonton. Mungkin masyarakat akan lebih tertarik untuk membaca dengan adanya sumber-sumber itu, kerana sebahagian orang lebih fokus jika mendengar. Namun, saya tak meminjamnya, kerana saya bukan peminat audiobook (saya lebih kepada pembelajaran visual). Teringin juga meminjam DVD, tetapi tidak jumpa pula cerita yang sangat menarik, dan rasanya tiada masa pun untuk menonton. Ada satu servis yang saya sangat tertarik: Meminjam secara digital! (https://www.hoopladigital.com/) Bukan sahaja e-book, malah ada movie, audiobook dan majalah. Walaupun tempoh meminjam hanya 3 hari, namun itu sangat memudahkan bagi sesiapa yang tiada masa ke perpustakaan ataupun tiada kenderaan ke sana. Di situ, ada juga ruang di mana pelajar-pelajar sekolah boleh mendapatkan bantuan tutor untuk menyelesaikan kerja sekolah, yang mana sangat bermanfaat dan menarik remaja-remaja ke perpustakaan.

audio-book-Getty
Kredit: http://www.forbes.com/sites/deborahljacobs/2014/06/25/summer-reading-listening-to-audiobooks-while-you-do-something-else-is-the-ultimate-in-multitasking/#3fb22fef1435


Perpustakaan di universiti sangat berbeza dengan perpustakaan komuniti. Di universiti, apa yang saya lihat apabila masuk ialah komputer, laptop, desktop. Di rak-rak pula, kebanyakan buku adalah untuk kajian dan jurnal-jurnal rujukan. Kebanyakan pelajar ke perpustakaan hanya untuk menggunakan komputer (termasuk saya. :P), walaupun ada juga yang datang untuk mendapatkan suasana senyap. Walau bagaimanapun, kebanyakan perpustakaan-perpustakaan di sini terlibat dalam satu kumpulan yang melibatkan seluruh negeri (Contoh: OhioLink). Para pelajar atau mana-mana ahli perpustakaan boleh meminjam buku dari tempat lain, dengan cara buku tersebut dihantar ke tempat masing-masing. Contohnya, buku dari State Library dihantar ke perpustakaan universiti. Oleh itu, kekurangan sumber di perpustakaan sendiri bukanlah penghalang. Begitulah antara kelebihan perpustakaan di sini.

Kredit: https://andersoncompanies.com/anderson_portfolio/osu-thompson-library/

Membaca sememangnya penting dalam kehidupan kita: dapat ilmu, merangsang perkembangan minda, mengetahui adat resam kaum dan negara lain, mengisi masa lapang, mengembangkan imaginasi dan sebagainya. Eh, bagaimana membaca boleh mengembangkan imaginasi? Berbanding dengan menonton filem, minda akan cuba membayangkan apa yang dibaca, bukan hanya menerima. Cuba fikir, apabila kita membaca novel, kemudian menonton cerita yang sama, selalunya bayangan kita akan berbeza daripada yang ditonton. Sebaliknya, apabila novel dibaca selepas menonton, kita akan lebih ke arah membayangkan filem yang ditonton. Sebagaimana yang kita semua tahu, antara ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. juga menyuruh kita membaca.

"Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan."
(Al-Alaq:1)

Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang ummi (tidak pandai membaca), Allah s.w.t. menyuruh Baginda s.a.w. membaca. Ironi, bukan? Namun, apa yang ditekankan di sini ialah kunci kepada segala-segalanya ialah membaca. Walaupun Baginda s.a.w. tidak pandai membaca, dengan panduan daripada Allah s.w.t., Al-Quran itu menjadi sumber yang amat penting bagiNya. Allah s.w.t. menyuruh kita merangsang pemikiran kita, bukan hanya membaca, kemudian, "Oh, begitu." Selepas itu, tamat. Allah s.w.t. menyuruh kita berfikir dan berfikir, walaupun apabila melihat. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyarankan kita melihat dan berfikir tentang ciptaan Allah.


"Maka tidakkah mereka melihat unta, bagaimana mereka diciptakan?"
(Al-Ghasyiyah:17)

Pernahkah kita berfikir begitu apabila melihat unta? Bagaimana adanya bonggol, bagaimana mereka boleh bertahan di padang pasir, bagaimana mereka boleh membawa barang yang berat?

Image result for camel shoe
Bagaimana unta menjadi kasut?
Kredit: https://www.aliexpress.com/item/Luxury-genuine-leather-men-dress-shoes-pointed-toe-wedding-shoes-slip-on-loafers-men-oxfords-Camel/32694435363.html?spm=2114.40010508.4.159.l8RvlM

Kembali kepada membaca. Bahan bacaan yang bagaimana mahu dipilih? Pilihlah yang dapat memberi manfaat kepada kita. Tak semestinya hanya buku-buku tafsir, syariah, akhlak. Buku motivasi pun bermanfaat. Novel juga ada yang bermanfaat, yang diselitkan motivasi, moral, agama, ilmu dan sebagainya. Ada juga buku-buku yang merangsang minda, seperti buku penyiasatan. Buku-buku Inggeris juga bermanfaat, walaupun mereka bukan Islam. Kita boleh membaca idea-idea mereka yang hebat. Bukan Islam bukanlah bermaksud kita tak boleh langsung mengambil idea mereka. Dalam sejarah pun, tatkala umat Islam di zaman kegemilangan, tiada masalah untuk umat Islam berkongsi ilmu dengan orang bukan Islam. Maka tiada salah untuk kita saling berkongsi ilmu, asalkan kita tahu batas-batas iman kita, tahu apa yang benar dan salah. Asalkan kita pilih buku bermanfaat, itu sudah bagus!

Namun, jangan lupa perkara yang amat penting, disebut dalam Hadis pertama dalam hadis 40 Imam An-Nawawi.

"Sesungguhnya amalan itu bermula dengan niat,..."
(Hadith 40 Imam An-Nawawi)

Kunci paling penting untuk mendapat pahala! Rugilah jika kita melakukan perkara yang baik, tapi pahalanya ... Niatkan untuk mendapat ilmu, dan berkongsi ilmu supaya dapat meningkatkan iman ke arah keredaan Allah. Buku motivasi pun? Ya, kita akan lebih bermotivasi untuk memakmurkan bumi sebagaimana yang diperintahkan Allah. Novel? Supaya kita dapat mengetahui budaya orang lain, mengelakkan perpecahan akibat salah faham. Ini hanyalah contoh-contoh.

Akhir sekali, ilmu-ilmu melalui bacaan itu kalau boleh, kongsikan kepada orang lain. Ingat, ilmu yang bermanfaat meruupakan antara amalan yang tidak terputus apabila meninggal dunia. Walaupun kita hanya menyampaikan ilmu daripada bacaan yang ditulis oleh orang lain, kita juga telah menyebarkannya.

“Jika seorang manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya.”
(HR Muslim (1631))

Semoga amalan kita sentiasa mendapat keredaan Allah, InsyaAllah! :D